'Abid di sisi Allah


Kematian...suatu yang mengasyikkan
Bagi seorang ‘abid yang ‘alim
Kerana penantiannya semakin berakhir…
Untuk menemui Kekasih yang dicintai

Seorang ‘abid itu…
Dihatinya tiada lain hanyalah cinta dan rindu pada Kekasihnya…
Dilepaskan kesenangan hidupnya demi melamar cinta Kekasihnya
Kurus tubuhnya menampakkan tulang belulang…
Lemah langkah kakinya kerana berdiri sepanjang malam…
Namun tidak pernah lelah menunaikan hakNya…
Dipandangan insan dia faqir…
Namun dipandangan Tuhannya dialah yang kaya…

Seorang ‘abid itu,
Siangnya diisi dengan amal kebajikan dan tuntutan hidup…
Malamnya dipenuhi dengan munajat yang indah
Lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah dan kalam-kalamNya
Matanya tak pernah lekang dengan tangisan
Wajahnya sentiasa dihiasi dengan sinar wudhuk
Dirinya dihiasi dengan pakaian iman dan taqwa…
Kerendahan hatinya disegani setiap insan…
Mulianya hatinya kerana Allah

Apalagi yang didambakan oleh kekasih terhadap Kekasihya, 
Selain cinta dan redhaNya
Hati yang zuhud, menundukkan dunia dan isi-isinya…
Apalah yang diharapkan lagi oleh kekasih yang sudah mabuk dalam cintanya
Selain pertemuan yang indah dengan Kekasihnya…
Ibadahnya bukan lagi untuk Syurga yang dijanjikanNya…
Bukan lagi untuk ganjaran yang dijaminkanNya
Bahkan semata-mata kerana Tuhannya…
Rindunya pada sujud dalam ibadahnya…
Dalam setiap sendunya hanya mengharapkan redha Ilahi

****************************************

Setelah bertahun saat ini ku serah padaMu Tuhan, 
Detik ini Kau menguji aku dengan pelbagai dugaan,
Tapi aku masih tabah menyingkap rahsia yang telah Kau abadikan,
Pada sehelai sutera yang bernama Illiyin,
Sebelum sempat aku mengenal dunia ini, 
Telah Kau ukir sejarahku di sana, 
Entah indah entah sebaliknya hanya Kau yang mengerti…
(credit to Nazatturaha)

***************************************

 Tuhan,
Sujudku tidak seindah para ‘abid,
Dan rintihku tidak semerdu para pejuangMu,
Tapi dalam setiap senduku,
Aku mengharap cinta dan kasihMu Rabbi…

Ya Ilahi…
Rindunya aku kehidupan para ‘abid
Siapalah aku untuk memiliki gelaran itu…
Hanya pada sekeping nama yang dititip kedua ibu bapaku…
Harapanku,
Mudah-mudahan ia terbit dalam diriku…


Ahad – 14 September 2008 bersamaan 14 Ramadhan 1429 H – 12:41 a.m.

1 comment:

  1. rindunya pd cintaMu..lemah diri ini di bwh keagunganMu ya Rabb..
    aku rindu saat air mata menyentuh bumi milikMu..kekalkanlah ya Allah kehambaan hambaMu ini..

    ReplyDelete