Wasiat Sayidina Ali r.a.

Setelah sedar dari pengsan akibat ditetak oleh Abdul Rahman bin Muljam, Sayidina Ali r.a. melihat anaknya Sayidina Hassan r.a. sedang menangis maka beliau berwasiat dengan katanya: “Wahai anakku, hafalkanlah empat perkara di samping empat perkara”.

Jawab Sayidina Hassan r.a.: “Apakah semuanya itu?”

Kata Sayidina Ali r.a.: “KEKAYAAN yang sebenarnya adalah akal, KEPAPAAN yang sebenarnya ialah rosak akal, SEPI yang sebenarnya ialah kagum dengan diri sendiri dan KEMULIAAN yang sebenarnya ialah akhlak yang baik. Empat perkara lagi pesanku ialah (1) Jauhilah berteman dengan orang yang tamak kerana pada zahirnya ia ingin membahagiakan dirimu tetapi hakikatnya ia akan mencelakakan. (2) Jauhilah berteman dengan pembohong kerana ia boleh menjadikan orang yang dekat denganmu lari darimu dan sebaliknya. (3) Jauhilah dari berkawan dengan orang yang bakhil sebab ia akan melupai kamu di waktu kamu sangat memerlukannya dan (4) Jauhilah orang yang suka membuat jahat sebab ia tidak malu untuk menjualmu dengan harga yang sangat murah”

Adab-adab Persahabatan Dengan Allah

Ketahuilah saudara-saudaraku, sahabat sejati yang tidak pernah berpisah dengan kita itu adalah pencipta kita yang Maha Agung yakni Allah SWT. Maka bersahabat dengan-Nya juga ada adab-adabnya yang harus kita pelihara dan lazimi.

Di dalam kitab ‘Bidayatul Hidayah’ karangan al-Imam Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah. ada menjelaskan adab-adab persahabatan dengan Allah dan adab-adab itu seperti berikut:

  1. Menundukkan kepala di hadapan-Nya
  2. Merendahkan pandangan di hadapan-Nya
  3. Menumpukan perhatian kepada-Nya
  4. Mendiamkan segala anggota badan
  5. Bersegera mengikuti perintah-Nya
  6. Menjauhi larangan-Nya
  7. Tidak menyangkal perbuatan-Nya (Tidak menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap takdir-Nya)
  8. Mengakali zikir (ingat) kepada-Nya
  9. Melazimi fikir akan qudrat-Nya
  10. Mengambil yang hak dan meninggalkan yang batil
  11. Putus harapan daripada makhluk
  12. Tunduk kerana kehebatan-Nya
  13. Pecah hati kerana malu daripada-Nya
  14. Merasa tenang dalam kehidupan kerana percaya dengan jaminan-Nya
  15. Bertawakal (berserah diri) kepada kelebihan-Nya kerana percaya dengan pilihan-Nya

Persahabatan dengan Allah itu sangat indah, sehingga merasa cukup segala-galanya dan tidak memerlukan sesuatu yang lain lagi selainNya. Maka ambillah sedikit dari waktumu untuk merenung dan bermuhasabah diri kerana itu yang akan mendekatkan dirimu kepadaNya lalu menginsafi diri sebagai seorang hamba.

Sedarlah bahawa dunia ini sudah hampa dari manusia, siapa lagi yang boleh diharapkan kalau bukan Kekasihmu sendiri iaitu Allah SWT. Takkah terasa malu bahawa setiap hari kita dikurniakan rezekiNya sedangkan kita jarang mentaati perintahNya, bahkan sesaat pun kita tiada masa untuk mengingatinya apalagi mengucapkan rasa syukur seikhlas hati. Sama-samalah kita perbaiki hubungan kita denganNya agar kita tidak tergolong dikalangan orang yang rugi dan jauh dari rahmat dan redhaNya. Wallahua'alam

Syair Persahabatan

Ketika aku memaafkan orang lain dan aku tidak menaruh sebarang kedengkian terhadap mereka, aku telah selamat daripada sebarang kesusahan dan permusuhan.

Aku memberi penghormatan kepada musuh ketika aku berjumpa dengannya. Dengan cara ini aku dapat selamat dari kejahatan mereka.

Ketika aku menunjukkan kegembiraanku terhadap orang yang hendak aku marahi, maka aku Berjaya memenuhi hatiku dengan kebahagiaan.

Sebenarnya aku masih belum selamat dari kejahatan orang yang aku tidak kenali maka betapa aku akan selamat dari kejahatan orang yang sudah aku cintai.

Manusia itu sebenarnya penyakit dan cara menyembuhkannya hanya dengan tidak mencampuri urusan mereka, tetapi memutuskan hubungan sama sekali (adalah tidak baik kerana itu) bermakna memutuskan persaudaraan.

Maka janganlah engkau mengganggu mereka nescaya engkau selamat dari gangguan mereka dan hendaklah engkau mencari kecintaan yang tulin.

Apabila engkau mahu bersahabat dengan mereka, maka hendaklah engkau bersabarmenghadapi perangai mereka, dan jadikanlah dirimu seakan-akan tuli, bisu, buta daripada kesalahan mereka dan hendaklah engkau sentiasa melazimi ketakwaan.


**************************************
Syair oleh Hilal bin Alak

Jihad Melawan Nafsu

Alhamdulillah, hari ni masuk hari ke-4 umat islam menyambut kedatangan bulan Syawal. Bulan Syawal adalah bulan kemenangan bagi umat Islam…kita menyedari hakikat itu. Tetapi apa yang dimaksudkan dengan kemenangan umat islam itu? Kemenangan yang dimaksudkan di sini ialah kemenangan umat Islam dalam memerangi hawa nafsu. Apa yang kita faham dan ketahui, jihad yang paling besar adalah jihad dalam memerangi hawa nafsu. Insyaallah, kalau kita ikhlaskan hati dan bersungguh-sungguh menjalani ibadah puasa Ramadhan, kita berjaya dalam memerangi hawa nafsu ini.

Mengapa perlu mengawal nafsu? Nafsu adalah punca segala maksiat dan dosa. Apabila manusia menjadi hamba kepada nafsu, akan musnahlah hidupnya. Segala kebaikan tidak akan terlihat lagi bahkan segala kejahatan dilihatnya sebagai suatu yang mulia. Semua ini adalah bisikan iblis dan syaitan kepada manusia semata-mata yang telah berjanji kepada Allah SWT untuk menyesatkan manusia sejak penciptaan Nabi Adam a.s lagi. Mahukah kita menjadi hamba kepada iblis dan syaitan laknatullah ini? Betapa hinanya kita, bukan sahaja terhadap makhluk Allah SWT yang lain tetapi juga hina pada pandangan Allah SWT. 

Ada di kisahkan mengenai nafsu dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah. Menurut kitab tersebut, setelah Allah SWT menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, menghadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau." 

Setelah itu Allah SWT menyiksanya dengan neraka Jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."

Lalu Allah SWT menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hambaMu dan Kamu adalah Tuhanku."

Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah SWT mewajibkan puasa. Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat. Oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, kerana kalau nafsu yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.

Namun, masih ramai lagi insan yang tak menyedari hakikat ini…biarpun ada yang menyedarinya tetapi seringkali tidak mengendahkannya. Inilah rupanya manusia apabila meletakkan agama di bawah dan meletakkan nafsu di atas. 

Oleh itu, dalam bulan yang mulia ini, marilah kita sama-sama sucikan hati dengan bertaubat dan kembali kepada fitrah asal kejadian. Dekatkanlah diri kita kepada Allah SWT kerana hidup kita sebagai khalifah di muka bumi ini hanya untuk mendapatkan keberkatanNya dan mencari bekalan untuk menampung timbangan pahala di padang Mahsyar nanti. Ambillah peluang yang ada ini juga untuk kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi ke rumah sanak saudara untuk kita saling bermaaf-maafan sesama muslim. Sesungguhnya Islam itu bersaudara dan ingatlah bahawa Allah SWT tidak menyukai orang yang bermusuhan dengan saudaranya sendiri.

Ingin ditegaskan di sini, jangan sesekali membenarkan diri dikuasai oleh nafsu kerana ia adalah punca segala maksiat dan dosa. Tidaklah sia-sia Allah SWT mewajibkan kita berpuasa di bulan Ramadhan kerana salah satu tujuannya adalah untuk mendidik jiwa supaya mengawal nafsu yang degil. Kita menahan lapar dan dahaga, menjaga pandangan, menjaga pendengaran, memperbaiki adab dan akhlak, mendirikan solat berjemaah dan sebagainya. Semua itu adalah cara kita mendidik diri supaya tidak menuruti nafsu. 

Maka, janganlah kita sia-siakan pengorbanan dan perjuangan kita yang zahirnya kelihatan sedikit tetapi hakikatnya besar kesannya terhadap hidup kita pada hari-hari berikutnya. Sama-samalah kita memohon doa kepada Allah SWT supaya mengekalkan Islam dan Iman yang diberikan ini serta memohon agar sentiasa dikurniakan taufiq dan hidayahNya supaya tidak sesat dalam agamaNya. Amin…..


Sabtu – 4 Oktober 2008 bersamaan 4 Syawal 1429 H – 3:18 p.m.