Ramadhan Bulan Tarbiyah




Sedar tak sedar dah hampir ke pertengahan Ramadhan kita menjalani ibadah puasa. Begitu pantas masa berlalu namun tak terasa perjalanannya. Semoga bulan yang berkat ini dimanfaatkan sebaiknya semaksimum yang mungkin untuk memperoleh keberkatan yang terkandung di dalamnya.



Ramadhan adalah bulan untuk mentarbiyah diri. Pelbagai hikmah terkandung di dalamnya memberi ruang kepada umat islam memenuhinya. Usah disia-siakan bulan ini dengan maksiat dan dosa… kerana apakah masih berkesempatan untuk menikmati Ramadhan yang akan datang? Sedangkan ajal maut itu tak mengenal masa dan keadaan, bila tiba waktunya tiada apa yang dapat menghalangnya.


Isilah ramadhan yang barakah ini dengan memperbanyakkan zikrullah dan doa siang dan malam, bertarawikh, bertadarus al-Quran di samping mentadabbur maknanya, bertahajjud di pertengahan malam dengan memanjangkan rukuk dan sujud, bersedekah, beriktikaf di sepuluh malam terakhir di samping berusaha untuk bertemu malam al-Qadr, memperbaiki hubungan persaudaraan sesama muslim dan segala amal kebajikan yang lain. Sesungguhnya pada bulan ini segala amalan dilipat gandakan pahalanya. Maka rebutlah peluang yang ada selagi masih berkesempatan untuk mendapatkannya.




Sama-samalah kita memanfaatkan usia yang tersisa ini dengan memperbanyakkan amalan yang akan menjadi bekalan di akhirat kelak khususnya pada bulan yang penuh barakah ini.

Wallahua’alam.