Imtihan dan Ibtila'

Bismillahirrahairrahim.

Bulan ini bulan imtihan akhir bagi semester ini. Semester pertama ana di UKM ini. Alhamdulillah, masuk hari ini dah tiga paper selamat diduduki. Hasilnya, mudah-mudahan tidak mengecewakan. Saat ini hanya mampu bertawakal dan berserah kepada Dia yang selayaknya.

Tiga kali berada di dalam dewan exam, bermacam-macam gelagat dapat diperhati. Bersemangatnya mereka menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Ada yang kelihatan tenang, ada yang berkerut-kerut dahi mengingat semula apa yang diulangkaji sebelum ini, masing-masing dengan gaya tersendiri. Diri ini? Berlegar-legar minda ini di sekeliling dewan memikirkan jawapan bagi setiap soalan yang tidak dapat dijawab. Ditambah dengan kesejukan dewan yang semakin membeku, khuatir akal pula semakin kaku. Secepat mungkin point penting dicari dan dianalisis di dalam minda. Ya Hakim...berikanlah aku al-hikmah tika ini.

Melihatkan kesungguhan mereka, terfikir sendiri...satu semester yang telah dilalui ini, lebih banyak main dari belajar. Jika dibandingkan dengan mereka, pastinya jauh sekali perbezaan yang wujud. Langsung tiada kesungguhan...menjalani kehidupan tanpa sepenuh penghayatan. Di kala mereka semakin membara semangat untuk berjuang di lubuk ilmu ini, diri ini terasa lemah untuk berpijak. Ditambah dengan kekangan waktu mentelaah pelajaran kerana study last minute, membuatkan fikiran semakin bercelaru. Apa yang dibaca tak lekat di kotak fikiran....fikiran ini melayang-layang kembara jauh entah ke mana.... Astaghfirullah al-’azhim, ungkapan inilah yang terbit dibibir tatkala tersedar dari lamunan yang mengasyikkan. Mujurlah ada teman-teman yang ajak berbincang, sekurang-kurangnya ada idea yang dikembangkan. Pengasihnya Tuhan, di kala diri masih leka dan tak berdaya, dihulurkannya pertolongan untuk memahamkan ilmu.

Ya Allah, betapa aku ini hambaMu yang tidak tahu bersyukur. Nikmat yang Kau beri, pengkhianatan yang kubalasi. Diriku lalai dan leka seolah-olah hidup ini untuk selamanya. Aku memikirkan tentang dunia sehingga lupa memikirkan akhirat. Ampunkan dosaku ya Allah...tak sanggup untuk aku teruskan semua ini. CintaMu yang kudambakan, tapi amalku seolah memburu cinta duniawi. Pimpinlah aku ya Hadi, aku lemah di arus ini.

Terkenang zaman belajar STAM dulu, bersemangatnya belajar tika itu. Semangat yang bukan biasa-biasa. Dalam hati dan jiwa hanya inginkan ilmu yang diberkati dan diredhai. Pengurusan masa sangat teratur, penjagaan diri amat teliti. Apa-apa yang boleh menjejaskan dan menghalang penerimaan ilmu ke dalam jiwa diambil peduli walau sekecil perkara sekalipun. Natijahnya hanya diri yang merasai...setahun yang dilalui bermacam-macam ilmu yang dipelajari baik yang termaktub dalam silibus pengajian apatah lagi diluar silibus iaitu ilmu kehidupan. Tersemat kenangan indah itu dihati hingga kini. Tapi kenapa semangat itu tiada di sini? Di sana aku membina diri sendirian. Di sini mungkin berteman tapi hakikatnya tetap sendirian. Semangat ini mula luntur dari hari ke hari. Bimbang ia merebak dan menjadi semakin parah. Apa yang harus dilakukan? Pasti ada jalan keluarnya. Mungkin kerana ada tuntutan jiwa yang diabaikan sehingga mereka semua anggota bangun memberontak untuk tidak menunaikan kehendak diri. Wahai diri, maaf kerana tidak menjaga kalian dengan baik. Kalian adalah amanah Allah terhadapku. Elok penjagaannya maka eloklah hasilnya... aku terlupa bahawa nafsu sentiasa mengintai untuk menggoda kalian melakukan hal yang bertentangan dengan kehendak Tuhan. Maafkan aku, kadangkala kealpaanku membuat aku hilang ingatan... sedarkanlah aku agar kita tidak terjebak dalam perangkap nafsu. Aku merasa lemah tanpa kesungguhan dari kalian. Kita sama-sama menuju Tuhan, sama-samalah kita ingat-meingati. Mudah-mudahan kesatuan kita bertambah kuat dan teguh.

Mengenang semua itu, rasa ingin kembali ke sana semula. Mengutip kenangan-kenangan yang ditinggalkan. Bertemu ustaz-ustaz yang pernah mendidik, manalah tahu berkat jumpa tok guru ni, kesulitan dan kerunsingan yang melanda jiwa terungkai semula. Tapi kesempatan tidak mengizinkan, tiada ruang untuk menuju ke sana. Hanya doa yang menjadi wasilahnya. Mudah-mudahan hati yang keras ini dihidupkan kembali dan diteguhkan di atas jalanNya. Ya Allah Ya Rahim....tuntunlah aku ke jalan yang Kau redhai, kuatkanlah diriku menghadapi ujianMu. Pimpinlah aku dalam rahmat dan kasih-sayangMu. Amin ya Rabb.

Ketentuan Milik Allah

Bismillahirrahmanirrahim.

Kebelakangan ini kerap mendengar keluhan dari insan sekeliling. Masing-masing meluahkan rasa tidak puas hati terhadap nasib yang diterima. Ada yang menyuarakan rasa kecewa, geram, marah dan bermacam-macam lagi ekspresi yang mempamerkan rasa tidak senang. Semuanya hanya kerana satu perkara iaitu apa yang diinginkan tidak tercapai.

Siapa yang bersalah dalam hal ini? Pihak yang membuat keputusan atau pihak yang menerima hasil keputusan? Nasihat ana, berhati-hatilah dengan soalan sebegini.... kadangkala terlalu kecewa membuatkan kita bertutur mengikut emosi yang hakikatnya dipimpin oleh nafsu ketika itu. Jangankan orang awam, mereka yang mempelajari ilmu agama juga tidak terlepas dari ujian ini.

Di mana silapnya? Hakikatnya tidak ada yang silap! Tidak ada yang salah! Tapi semuanya benar belaka... Tidak semua yang kita inginkan akan kita peroleh, namun segala yang kita peroleh sama ada kita inginkan atau tidak adalah terbaik buat kita. Bila kita mula menyoal tentang nasib, kita sebenarnya mempertikaikan tentang takdir. Dan apabila takdir Allah dipertikai, ketahuilah hakikatnya kita telah mula hilang keyakinan terhadap Allah Yang Maha Esa lagi Maha Kuasa. Inilah perkaitan yang tidak kita sedari. Inilah laluan halus yang dinanti oleh syaitan untuk menyesatkan anak adam. Ini bukan perkara biasa, tapi ini soal iman, ini soal akidah.

"Usaha sudah sehabis daya, tapi keputusan mengecewakan. Kalaulah saya tahu, saya tak payah berusahapun takpe"

"Orang lain yang tak layak pun boleh dapat, aku yang cukup syarat kelayakan kenapa tak dapat?"

Apabila ungkapan begini terlintas difikiran kita, ingatlah manusia hanya mampu merancang tetapi takdir dan ketentuan tetap di tangan Tuhan. Kerana Dia ingin melihat siapakah hamba-Nya yang ikhlas mencintai-Nya, siapakah hamba-Nya yang redha dengan ketentuan-Nya, siapakah hamba-Nya yang sabar menyusuri jalan-Nya dan siapakah hamba-Nya yang benar-benar beriman kepada-Nya. Jangan terpedaya dengan hasutan syaitan yang memujuk. Adakah yang lebih bijak mengatur selain Allah? Fahamilah, ini soal rezeki, dan rezeki setiap orang tidak sama. Maka, mengapa jika kita diberikan rezeki kita mengeluh dan mencemuh? Lagi pula ianya kurniaan Allah? Jangan kita menjadi biadap terhadap Tuhan, khuatir kemurkaan-Nya pula yang bertandang. Sebaliknya, jadilah hamba yang bersyukur, agar iman kan subur.

Fitrahnya, sifat hamba itu memang suka mengeluh tetapi biarlah keluhan itu tepat pada jalannya. Mengeluh pada insan, hanya memanjangkan kesedihan. Sesungguhnya Allah-lah yang layak mendengar keluhan para hamba-Nya. Di samping-Nya juga ada jawapannya. Yakinlah bahawa segala takdir-Nya berhikmah.

"saya terima semua ni dan saya tau ada hikmah disebaliknya tapi sampai sekarang saya masih tak nampak lagi hikmahnya"

Kadangkala kita tidak sedar bahawa kita sering memaksa Tuhan. Kita meminta itu dan ini tapi kita lupa untuk menunaikan hak Allah. Hikmah itu ada, tapi mata hati kita yang kotor kerana dosa-dosa telah menghijabnya. Bersihkanlah kotoran itu agar hikmah itu bisa disingkap dan dilihat. Itulah antara hak Allah yang mesti dipenuhi kerana hati itu milik Allah dan mensucikannya adalah hak Allah yang perlu kita laksanakan. Ketahuilah, berjayanya melihat hikmah itu sesuatu yang sangat indah dan suatu berita yang menggembirakan. Bagai kecewa semalam tidak pernah dirasa dan diderita. Berusahalah menyelami lautan hidup ini sedalamnya, carilah apa yang masih tersimpan dan yang masih belum disingkap. Syukurlah atas kesedihan, kerana ia bisa memanjangkan sujudmu kepada Tuhan. Berlapang dadalah dalam mengharungi segala kemungkinan kelak kita akan sampai kepada hakikat sebuah kehidupan.

Wallahua’alam.