Hakikat Sahabat

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya selayaknya buat Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Mudah-mudahan dikekalkan dalam nikmat Islam, Iman dan Ihsan. Selawat dan salam buat junjungan mulia, Nabi Muhammad Sallallah 'Alayh Wasallam serta seluruh Ahl al-Bayt dan para sahabat yang diredhai Allah. Mudah-mudahan keikhlasan berselawat ke atas baginda menenggelamkan kita dalam lautan cinta kepadanya yang bererti cinta kepada Allah jua. Moga beroleh syafaat baginda di mahsyar kelak. Amin Ya Rabb.

Berbicara tentang sahabat, siapalah diri ini untuk digelar sahabat. Tambahan dengan personaliti diri yang tidak pandai berbicara, siapalah sahaja yang sudi untuk berjabat tangan. Sifat insani untuk berteman itu memang ada kerana diri cuma manusia biasa seperti yang lain. Namun setelah persahabatan diikat, ia dileraikan dengan sebuah pengkhianatan. Bagi kanak-kanak, apalah yang mereka faham dengan pengkhianatan, tapi tidak mustahil jika Allah berkehandak mereka faham. Bukankah ilmu itu milik Allah, dan Dia yang berkuasa memberikan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Beruntunglah mereka yang dikurniakan ilmu oleh-Nya. Mudah-mudahan semakin panjang sujud kita kepada-Nya.


Memujuk diri sendiri untuk memahami mungkin tidak sesukar mana. Tapi untuk menjelaskan kepada yang lain, ia cukup mencabar untuk memahamkan. Mudah-mudahan Allah memudahkan mereka untuk faham. Mengutarakan sebuah kebenaran kadangkala membuatkan kita kehilangan kawan. Di sini teruji adakah ’setia kawan’ yang diutamakan atau ’kebenaran’ yang dipertahankan. Seandainya persahabatan yang diagungkan sedangkan terpaksa bersatu dengan kebatilan, maka tertipulah kita oleh dunia dan nafsu. Namun jika kebenaran yang diperjuangkan, mungkin zahirnya kita kehilangan sahabat, tapi hakikatnya diri berteman dengan teman yang selayaknya. Syaratnya semua itu dilakukan kerana Allah yang satu.

Bila menjadikan Allah itu sahabat, ke mana pun kaki melangkah tidak pernah gusar dengan apa yang bakal berlaku. Kerana yakin akan pertolongan-Nya di setiap ketika. Tapi bukanlah bermakna menolak sesiapa yang ingin bersahabat. Di sinilah terujinya persahabatan yang dihulurkan. Adakah benar-benar ikhlas atau hanya mengambil kesempatan dalam kesempitan.

Aku hanya mengimpikan seorang kawan...
Yang dapat mengingatkan aku kepada Allah, Rasulullah saw dan hari akhirat setiap kali aku terleka.
Yang dapat menyedarkan aku akan tipu daya dunia…
Yang sama-sama mengajak aku beramal untuk bertemu Allah kelak.
Itulah sebaik-baik insan yang layak ku gelar sahabat buat diriku…

Jika aku menilai sahabat melalui kata-katanya,
Pasti mereka mampu memberikan 1000 kata-kata yang tak masuk akal…
Lalu aku kembali kepada fitrah,
Bahawa aku hidup hanya kerana Allah…

Andai ini tidak ditemukan dalam hidup,
Bersendirian lebih baik dari terus berteman...
Moga Allah mengurniakan Qana'ah untukku.


Dalam bersahabat, jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan pada orang lain. Sebaliknya bentuklah kesempurnaan itu pada diri terlebih dahulu. Mengharapkan kesempurnaan hanya mengundang kecewa dan hampa sedangkan membentuk peribadi yang sempurna mengajar kita memahami dan menerima antara satu sama lain. Di sinilah terbitnya keikhlasan, memberi tanpa mengharap balasan. Sekalipun tuba yang dibalas, dendam sedikitpun tidak terlintas bahkan tangan tetap dihulur saat mereka mengharap belas.


Kadangkala aku merenung
Apakah erti sebuah PERSAHABATAN?
Puas ku rungkaikan maksudnya…
Aku kaitkan dengan manusia-manusia di sekelilingku
Namun aku tak menemukan jawapannya.

Kemudian aku singkap kisah para sahabat,
Digelarkan sahabat itu bagi mereka yang hidup sezaman dengan Rasulullah.
Lalu aku kaitkan pula kehidupan mereka
Di situ, ku temui jawapannya

Mereka mengasihi antara satu sama lain
Dengan ingat-mengingati akan kebaikan dan kebenaran

Maka, apakah layak gelaran ‘SAHABAT’ itu untukku?

Menghulur tangan untuk bersahabat memang mudah tetapi untuk membina persahabatan memerlukan pengorbanan yang besar. Andai persahabatan dengan Allah masih belum terbina, jangan mengharapkan persahabatan dari insan lain. Kerana kejujuran dalam bersahabat itu bermula dengan kejujuran kita dalam mentaati perintah Allah. Hasilnya, tidak malu dan segan menasihat dan mengingatkan diri kepada Allah. Itulah hakikat sahabat...bertemu tak jemu, berpisah tidak gelisah. Wallahua’alam.