Selangkah Menuju Cita

Orang muda jangan terburu-buru. Jangan sombong untuk minta pendapat orang yang lebih berpengalaman. Jangan diturutkan darah muda yang membara. Kelak ia memakan diri sendiri.


Allah kurniakan setiap kita ibu bapa. Mereka yang mendidik kita sehingga dewasa. Sekalipun ada yang kehilangan mereka dalam usia yang masih kecil dan mungkin juga tidak sempat melihat mereka sebaik menjejakkan kaki di dunia ini, tetapi sentuhan belaian mereka yang lebih tua tetap diperoleh. Kasih sayang yang kita peroleh mungkin berbeza atas nama ’ibu bapa’ atau ’penjaga’, namun tidak ada yang membesar dengan sendiri sehingga dewasa.


Baru ini diizinkan Tuhan untuk mengkhatamkan kisah hidup Imam Syafi’e Rahimahullah. Subhanallah, betapa mulia peribadinya. Pelbagai ilmu dan hikmah dapat diambil dan dikupas dari pengalaman hidupnya untuk dijadikan pelajaran. Adabnya yang tinggi terhadap ibu bapa, orang tua, guru-guru dan setiap insan mencontohi pekerti Rasulullah saw. Ketinggian adab itu menjadikannya insan hebat.


Tersentuh dengan salah satu kisah hidup beliau ketika keinginannya memuncak untuk berguru dengan Imam Malik. Imam Malik ketika itu tinggal di Madinah sedangkan beliau menetap di Mekah bersama ibunya. Setiap hari kitab Muwattho’ itu diulang-ulang dan dipeluknya, mempamerkan rasa rindunya yang tak tertahan lagi untuk menemui Imam yang ’alim dan mulia itu. Namun antara hasrat hati dan kewajipan terhadap ibunya yang lebih utama, dipendamkan sahaja keinginan yang membara. Doa terus-menerus dipanjatkan... mudah-mudahan ada ruang dan peluang untuk merealisasikan kehendak hati.


Satu ketika, beliau menyatakan hasratnya untuk berguru dengan Imam Malik kepada ibunya. Namun beliau akur dengan apapun keputusan ibunya. Sekiranya ibunya tidak mengizinkan, beliau tidak akan mendesak. Betapa ini menunjukkan tingginya adab seorang ahli ilmu dan pencinta ilmu. Walaupun telah banyak ilmu yang dituntut, hormatnya terhadap orang tua tidak berbelah bahagi apatah lagi, ibunya bukan ahli ilmu sepertinya. Subhanallah!!! Sesungguhnya perancangan Allah lebih hebat dari perancangan makhluk. Tanpa diduga, ibunya dengan besar hati merelakan pemergiannya untuk mengutip mutiara-mutiara ilmu biar sejauh mana sekalipun. Semua itu dilakukan dengan redha. Ibunya bersedia melepaskan anaknya merantau untuk menuntut ilmu yang haq. Inilah yang melahirkan keredhaan Allah. Dan si anak pula pergi setelah mendapat restu ibunya. Inilah yang dikatakan redha Allah terletak pada keredhaan ibu bapa. Apabila redha Allah dan manusia telah berpadu, maka segala urusan dipermudahkanNya. Moga kita mengambil pelajaran daripadanya.

Berkisar tentang kisah di atas, tergerak untuk mengulas peristiwa zaman ini. Sekarang ni, musim pelajar lepasan SPM pula sambung pengajian, sama ada diperingkat matrikulasi, diploma, STPM atau yang seumpama dengannya. Pastinya masing-masing sudah menentukan kehendak dan matlamat yang ingin dikecapi pada masa akan datang. Bagi yang berhasil mendapat tempat di IPT yang dikehendaki, tahniah diucapkan kerana antum memang layak berada di sana. Bagi mereka yang mendapat tempat pengajian yang di luar perancangan juga, tahniah diucapkan kerana hakikatnya di situlah tempat terbaik untuk antum. Berlapang dadalah menerima kehendak Allah dan jalanilah kehidupan sebagai pelajar/siswa yang bersyukur dan ikhlas menuntut ilmuNya.


Mungkin apa yang kita inginkan tidak kita perolehi tika ini. Misalnya, kita harapkan IPTA yang ditawarkan berdekatan dengan rumah atau kursus yang ditawarkan seperti yang kita pohon. Tetapi yang ditawarkan tempat yang jauh atau kursus yang kita tidak minat. Apapun jangan cepat melatah dan mengalah. Siapa tahu di tempat itulah kita bisa membina jati dari dan mencipta kejayaan. Andai masih ragu dengan apa yang telah ditentukan, beristikharahlah dan berdoalah kepada Allah sebanyak-banyaknya agar diberi kekuatan dan kecekalan hati serta keyakinan yang teguh untuk meneruskan langkah pertama ini.


Bagi mereka yang seusia dan lebih tua dari ana, zaman ini sudahpun dilalui... hatta melepasi tahap genting hingga berperang dengan suasana dan kehendak hati juga telah dirasai. Kadangkala kita rasakan tindakan kita lebih tepat berbanding apa yang dicadangkan oleh orang tua kita. Mungkin ungkapan yang lebih tepat pada masa itu adalah (seolah-olah) ”kita lebih faham diri sendiri berbanding orang lain”. Benarkah begitu?!! Atau sebenarnya, ”kita juga masih cuba memahami diri sendiri”. Fikir-fikirkan...Mereka yang mengenal diri mereka sendiri pun masih memerlukan nasihat dan tunjuk ajar dari mereka yang berpengalaman. Bagaimana kita boleh yakin tindakan kita tepat sehingga ego untuk menerima pendapat orang lain. Tertarik dengan nasihat Dr. ’Aidh Abdullah al-Qarni dalam karyanya Indahnya Cinta,


”Sebenarnya yang kita inginkan adalah kita memiliki perasaan pemuda dengan akal orang tua kerana perasaan orang tua dengan akal pemuda akan menjadikan seseorang itu ’mati’ sehingga ia tidak melihat siapa yang menyuruh atau melarang”.



Apa yang dimaksudkan adalah supaya kita tidak bertindak mengikut nafsu dan terburu-buru kerana menurutkan perasaan dan darah muda yang membara. Matanglah dalam berfikir dan bertindak...dan ia akan membuahkan hasil yang baik dan kepuasan hati bila dilakukan semata-mata kerana mengharapkan redha Allah. Matang itu adalah kamu berfikir dan bertindak sesuai dengan ilmu yang kamu ada dan bersedia menerima pandangan dan tunjuk ajar orang yang lebih berpengalaman, bukan berfikir dan bertindak dengan meniru lagak orang dewasa tetapi ego dan sombong untuk meminta nasihat dan tunjuk ajar dari mereka yang berpengalaman.


Menuju Wawasan

Umat islam harus cemerlang

Hari ini mesti lebih baik dari semalam

Jangan buang masa

Siapa kata kita tidak boleh

Kita ada Allah Maha Kuasa

Kita punya kuasa tenaga

Doa sebagai senjata

Umat islam sentiasa boleh


Umat islam zaman lampau

Taat perintah Rasulullah

Bersama berusaha

Bersatu tuju wawasan dunia & akhirat

Wawasan dunia & akhirat

Akhirnya islam cemerlang seluruh dunia



Wawasan diri, penuhi dada dengan ilmu

Wawasan agama, bekalan masa depan dan akhirat

Kuat, usaha, jujur dan amanah

Sentiasa mengharap keredhaan Allah


Akidah, ibadah harus sempurna

Ibadah tanpa akidah wawasan syaitan

Ulama' warisan anbiya'

Pegangan mereka harus diikut

Ajaran sesat wajib hindari



Lagu ini ana dedikasikan buat adik ana yang akan menyambung pengajian ke UniSZA, Terengganu. Semoga terus semangat dalam mengutip mutiara-mutiara ilmu yang berharga. Kelemahan diri bukan alasan untuk gagal kerana ia mampu diperbaiki. Tetapi pada setiap kegagalan ada pelajaran yang Allah beri. Apatah pula kejayaan, kesyukuranmu teruji dalam kegembiraan yang bisa melalaikan. Moga berjaya meraih cita-cita sebagai ’Juruaudit Bertaqwa’. Selamat belajar!!!


Wallahua’alam.


======= 01 Jun 2011; 03:05 am ===