Bila Manusia Menguji

Bismillahirrahmanirrahim.


Alhamdulillah, puji-pujian kepada yang selayaknya dipuji. Dialah Tuhan Yang Maha Terpuji. Seluruh makhluk bertasbih mensucikan-Nya, bertahmid memuji-Nya dan bertakbir membesarkan-Nya. Sungguh beruntung mereka yang dilembutkan lisan menyebut nama yang terindah di antara yang indah. Moga dikurniakan lisan yang petah dalam menutur kalam-Nya yang indah dan moga lisan ini terdiam kaku dari menuturkan kata-kata yang tidak diredhai-Nya. Allahumma Amin.


Selawat dan salam tertuju buat insan teragung Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam dan seluruh Ahl al-Bayt. Tidak akan sempurna cinta hamba kepada Tuhannya tanpa dihadirkan cinta kepada kekasih-Nya yang mulia ini. Mencintai baginda harus mempamerkan sunnahnya. Moga termasuk dalam kalangan umatnya yang tidak segan dan malu menghidupkan sunnah baginda dalam keadaan dunia yang sudah memandang pelik kehidupan seperti ini. Ya Allah, himpunkan kami bersama baginda Sallallah ‘Alayh Wasallam di dunia dan di akhirat dalam setiap waktu dan ketika. Allahumma Amin.


Mungkin dari sekarang sudah boleh menghitung hari. Tak lama lagi fatrah imtihan kembali lagi. Sekali lagi ilmu diuji. Allah, inilah yang membuatkan diri lemas dan bimbang. Bimbang terkalah dalam usaha. Saban waktu dari satu semester ke semester lain berlalu tanpa kesedaran. Kadang-kala semangat sudah membara, namun bila diuji terus rebah tak bermaya. Lesu seluruh fikiran dan anggota. Lemahnya iman pada diri. Sungguh ia begitu rapuh. Di mana hendak berpaut? Apakah ini ujian atau bala buat diri? Hanya kepada-Nya diserahkan segalanya. Dia yang menciptakan pertanyaan, pada-Nya juga ada jawapan. Moga diberikan jalan keluar dalam setiap kerunsingan.


Bila manusia mula menguji, maka mereka mula menilai orang lain. Sama ada penilaian itu positif atau negatif bergantung kepada kritiria yang ditetapkan si penguji. Bagi yang diuji oleh mereka, mereka akan berusaha menunjukkan yang terbaik untuk dilihat baik dan hebat. Maka dalam manusia menguji, Tuhan juga menguji. Apakah semua itu dilakukan untuk mendapatkan perhatian makhluk atau al-Khaliq? Apakah usaha yang dikerah hanya untuk dilihat pada mata manusia atau Dia? Andai semua itu tertuju untuk dipandang mulia di sisi manusia, bererti hidup sudah bertuhankan makhluk. Wal‘iyazubillah. Sebaliknya andai semua itu dilakukan semata-mata untuk mendapatkan redha-Nya, bersyukurlah kerana sifat hamba itu masih wujud dalam diri. Bagaimana untuk membezakan antara keduanya? Lihatlah saat melakukan, adakah mendapat ketenangan? Kerana ketenangan itu salah satu anugerah Allah kepada hamba-Nya yang ikhlas. Moga direzekikan keikhlasan yang merupakan rahsia di antara rahsia-rahsia-Nya. Allahumma Amin.


Begitulah juga tatkala diri diuji dalam dunia peperiksaan. Zahirnya guru yang menguji ilmu pelajarnya, tetapi ketahuilah hakikatnya Allah juga sedang menguji hamba-hamba-Nya baik mereka itu di pihak guru ataupun pelajar. Ujian-Nya hadir dalam niat, dalam usaha, dalam soalan dan dalam segala perkara. Andai hakikat ini difahami, apakah kita masih lagi ingin mengambil mudah dan sambil lewa? Andai hakikat ini dihayati, tidak adalah yang namanya merendahkan kemampuan orang lain atau memandang diri hebat. Sungguh, inilah peringatan buat diriku yang sering terleka dan tertipu dengan nafsu.


Tuhan Yang Esa (In Team)

Di dalam cahaya-Mu Tuhan kuharap petunjuk-Mu

Di dalam sinaran purnama kumohon keampunan

Moga terlerailah segala dosa-dosaku

Moga ku jadi hamba yang bersyukur


Tuhan Yang Esa, udara yang kuhirup

Terasa nikmat-Mu yang menggunung

Tidak terhitung harga nilaiannya

Oh Tuhan Kau Pengasih Maha Penyayang


Oh Tuhan di depan ujian

Terasa diri ini memerlukan-Mu

Kuharap Kau lindungi hamba yang lemah ini

Kau Tuhan Maha Kuasa Maha Pengampun


Kuharapkan pintu taubat-Mu terbuka luas

Untuk hamba-Mu yang sering leka

Dengan rahmat-Mu dan kasih sayang-Mu

Kau ampunilah segala dosaku

Moga selamat di dunia dan akhirat


Ya Allah, permudahkanlah segala urusan hamba-Mu dalam perjalanan menuntut ilmu ini, sesungguhnya nabi-Mu pernah bersabda bahawa, “…sesiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah memberinya kemudahan jalan menuju syurga-Nya”. Kerana meyakini janji-Mu, langkahan ini kuteruskan walaupun sukar. Sesungguhnya semua itu bukanlah atas usahaku semata-mata bahkan ia adalah rahmat-Mu yang utama. Ya Hadi, luruskanlah jalan ini dalam pandangan dan penitianku, sekalipun hakikatnya berliku, bantulah aku untuk menikmatinya dalam khusyu‘ dan tawadu‘, agar hilang rasa liku-liku yang meresahkan. Perkenankanlah Ya Mujib.


Wallahua‘alam.

Hentian Perjalanan

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin. Puji dan syukur hanya pada Tuhan yang Esa yang mengurniakan segala nikmat kepada sekalian makhluk di langit dan bumi. Tatkala udara dihirup terasa nikmatnya meneruskan kehidupan yang sihat. Tatkala udara dihembus terasa bimbang tak berpeluang bersujud lagi di bumi. Ajal dan maut dalam pengetahuan-Nya. Apabila tiba masanya, tidak akan terlewat walau sesaat. Mudah-mudahan hasanah yang diperoleh dihujung riwayat ini. Allahumma ikhtim La-na Bi Husni al-Khotimah Wa La Takhtim ‘Alay-na Bi Su’ al-Khotimah.

Selawat dan salam atas junjungan tercinta Habibuna Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam dan seluruh Ahl al-Bayt. Moga pengakuan cinta dan rindu kepada baginda menghanyutkan kita dalam lantunan mahabbah berupa selawat, maulid, qasidah dan sebagainya yang dengannya terhubung hati kita kepada baginda, seterusnya menghubungkan pula kepada Allah Jalla Wa ‘Ala. Allahumma ij‘al-na Min Ahli Syafaat Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam.

Sejak awal tidak berminat untuk berhubung dengan rakan melalui laman sosial yang ada. Selepas mencuba dari satu laman ke satu laman sosial yang lain tidak menemukan apa-apa yang dirasakan cukup bermanfaat buat diri. Namun pengajian di universiti memaksa diri menggunakannya juga. Walaupun terasa letihnya mengikut peredaran masa yang sentiasa berubah ini, Alhamdulillah dalam pencarian ini ditemukan dengan sahabat-sahabat yang mulia yang hatinya tulus mencari cinta yang diredhai iaitu cinta Allah dan Rasul-Nya. Melalui mereka-lah banyak manfaat ditemukan di sini. Semoga Allah Jalla Wa ‘Ala merahmati usaha-usaha mereka menarik manusia ke jalan Allah.

Namun kebelakangan ini agak terganggu sehingga terasa waktu terbuang sia-sia. Cuba pelbagai cara untuk memulihkannya namun masih terasa gangguan itu. Mengkoreksi diri hingga terdetik suatu perkara. Bagaikan mengerti apa yang sedang melanda diri tika ini. Mungkin kerana terlalu kerap berfacebook membuatkan diri leka dan alpa. Walaupun tak dinafikan di dalamnya banyak seruan dan ajakan kepada kebaikan, namun kadangkala hati ini perlukan waktu untuk dilayani oleh tuan yang dimanahkan menjaganya.

Rupanya hati ini ingin diberikan perhatian dan layanan mesra dari tuannya. Astaghfirullah, hak hati diabaikan lagi. Kalam nasihat itu sememangnya baik dan mendidik jiwa namun kadangkala memerlukan masa untuk meresapkannya ke dalam diri. Berikanlah ruang untuk mendengar jeritan batinmu sendiri kerana mereka berhak mendapatkannya. Semoga Allah Jalla Wa ‘Ala membukakan jalan mentafsir diri.

Kesesakan dunia yang meletihkan
Menyesakkan jiwa yang inginkan ketenangan

Seruan ‘uzlah kedengaran lagi
Meminta ruang memperbaiki diri

Batinmu menjerit sepi
Meminta agar haknya didengari
Mengapa mengabaikan raja di dalam diri
Sedangkan nazrah (pandangan) Allah tertuju kepadanya?
Andai hatimu gersang…mampukah matamu melihat kebenaran?
Andai hatimu resah…mampukah lisanmu mengungkap hikmah?
Apatah pula jika hatimu mati, bagaimana mungkin kau dilihat Ilahi?

Lihatlah rupa kalbumu
Kikislah kotoran yang berdebu
Hakikat hidupmu bukan pada jasad yang bisa menipu
Hakikat hidupmu terpancar dari segumpal daging yang membeku
Andai disucikan dengan nur iman, pasti mulialah pekerti
Andai dihanyutkan dalam zulmat, pasti hinalah peribadi

Jalan jelas terbentang
Pilihan berada di tangan
Hanya kehendak diri yang perlu ditawan
Moga taufiq-Nya mengiringi perjalanan

Moga Allah menunjukkan jalan kebenaran yang dipenuhi cahaya keimanan yang bersinar terang dalam jalan menemui-Nya. Cukuplah kembara hidup dihentikan di sini dahulu. Dalam membuat penyelidikan pun, pasti ada ruang untuk menganalisis maklumat yang diperoleh. Maka, apakah salah jika diri ini juga mengambil langkah yang sama menganalisis pertemuan di sepanjang perjalanan yang dilalui? Moga langkah ini diberkati dan direstui-Nya.

Mungkin sedikit berbeza dengan tindakan sebelum ini yang berdiam tanpa berita atau maklumkan terlebih dahulu jika hendak mengasingkan diri. Itu kerana kejahilan yang lalu. Maaf kerana bertindak melulu. Setelah mempelajari bab al-Sulhu (perdamaian) dalam talaqi bersama Tuan Syeikh yang dikasihi kerana Allah Jalla Wa ‘Ala, al-Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Abdullah al-Banjari al-Makki (semoga Allah memeliharanya), baru memahami hakikat berterus-terang supaya tidak menyakiti orang lain dalam diam. Maka kali ini dinyatakan juga walaupun kelihatan seperti mengheboh-heboh perkara yang tidak penting. Mudah-mudahan ada doa yang bisa dikirimkan buat diri. Moga diberikan ruang untuk memahami.

Benarlah kata para salafuna soleh, kerap berhubung dengan manusia itu boleh membawa kepada penyakit hati terutama jika tidak ada langkah atau dinding yang membentenginya berupa amalan dan mujahadah. Bermuamalah itu baik, tetapi terlalu kerap itu membimbangkan, terutama jika bi’ah yang wujud tidak mampu membawa manusia mengingat Allah dan Rasul. Ya, akui hakikat ini ketika bersama mereka yang benar-benar tulus menuntut ilmu…bicara mereka hanya sedikit. Mungkin jika ada ruang-ruang kosong yang membenarkan untuk berbual sahaja. Selebihnya ditumpukan sepenuhnya untuk mendengar kalam guru yang mulia. Itulah yang menjadikan mereka lebih mulia dan berbeza dari yang lain.

Sungguh kagum dan terharu melihat peribadi mereka. Bagaikan terasa hidup sezaman dengan para ulama dahulu yang kini hampir tidak ditemukan kerana terlalu sedikit yang benar-benar seperti mereka. Syukurlah masih diberikan peluang menikmati majlis ulama. Terubat rindu dan harapan untuk menikmati kehidupan yang diimpikan selama ini. Mudah-mudahan direzekikan untuk tetap berada dalam majlis ulama yang diberkati Allah ini. Allahumma Amin.

Mungkin juga selepas ini akan terlepas banyak info berguna dari laman facebook berupa kuliah-kuliah pengajian dan majlis-majlis ulama yang mulia. Namun setelah berfikir panjang, bukan itu sahaja medium yang boleh dirujuk. Bahkan rasa kurang hormat meletakkan kalam ulama dan gambar mereka yang mulia sebaris dengan iklan-iklan yang agak pelik disekitarnya. Apapun, hakikatnya diri ini tak memerlukan alasan dan hujah untuk dijelaskan kerana perjalanan hati dan diri setiap manusia itu tidak sama. Mungkin pada kita ia perlu tetapi pada yang lain tidak perlu. Tak mengapalah, saya tidak bertanyakan jawapan sama ada dibenarkan atau tidak, sebaliknya ini adalah suatu keputusan setelah membuat pertimbangan. Tidak perlu memikirkan, hanya perlu menghormati. Mudah-mudahan ada ruang untuk memahami.

Keyakinan saya lebih kuat pada hubungan hati. Dan pastinya itu lebih menguji nilaian ukhwah. Moga bertemu dalam doa yang tulus biarpun hanya di alam ruh. Sama-sama kita menyucikan rohani agar ruh ini bisa berhubung dengan izin-Nya dan ketahuilah hubungan ini lebih suci dan murni. Moga dalam pemeliharaan Allah Jalla Wa ‘Ala sentiasa. Wallahua’alam.

Makhluk Berbudi

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji dan puja hanya bagi Allah Jalla Wa ‘Ala, Tuhan sekalian alam. Yang Maha Mengatur dan Mentadbir tanpa sebarang kecacatan dan kekurangan. Subhanallah! Seluruh makhluk tidak berhenti bertasbih dan memuji-Nya. Iringkanlah tasbihmu bersama mereka agar timbangan tasbihmu dan tasbih mereka memenuhi langit dan bumi. Subhanallah Wa Bihamdihi, Subhanallah al-‘Azim. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Rasullullah Sallallah ‘Alayh Wasallam, pembawa rahmat sekelian alam. Berkat rahmatnya, insan mula mengenal Tuhan, manusia mula berakhlak mulia, azab ditangguhkan bagi yang berdosa agar berkesempatan untuk bertaubat dan sebagainya. Alunkanlah selawatmu kepada baginda, amalkan sunnahnya dalam kehidupan, mudah-mudahan beroleh syafaatnya di akhirat kelak.

اللهم اجعلنا من أهل شفاعة سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم

Mendung petang itu cukup membimbangkan. Kegelapan mula menutupi bumi. Mengundang resah kepada seluruh penduduk bumi. Manusia mula meyelamatkan diri. Burung-burung dan haiwan di bumi segera melindungi diri. Masing-masing berusaha mencari tempat berteduh. Namun di sana, masih ada yang setia menanti titisan kasih-Nya yang turun dari mendung kelabu itu. Bagaikan tidak mengenal apa itu benci dan bimbang. Bagaikan tidak mengerti apa itu musibah yang mengundang. Dipukul angin kencang pun masih teguh di tempat berpijak. Disambar panahan petir pun masih tetap tegak berdiri. Hati mereka cukup murni dari berburuk sangka terhadap apa yang berlaku. Mereka itulah tumbuh-tumbuhan di bumi yang tidak pernah berganjak dari tempat asal mereka berdiri. Mereka itulah makhluk yang setia menanti curahan kasih-Nya.

Kadangkala mereka menjadi tempat berteduhnya manusia dari terik mentari. Merekalah sumber makanan insan dan haiwan. Apakah kita masih tidak mahu memikirkan? Hampir seluruh hidup ini, manusia bergantung kepada tumbuh-tumbuhan. Mereka tak pernah mengeluh, tapi manusialah yang sering mengeluh. Mereka jugalah makhluk yang mendoakan mereka yang berada di jalan ilmu dengan kebaikan. Sungguh jika direnungkan, manusia sudah banyak terhutang budi pada tumbuhan.



Sungguhpun hidup ini tidak terpisah dengan tumbuhan, tetap saja manusia itu jauh dari memahami dan menyedari kewujudan mereka. Diperindahkan rupa mereka dengan kehijauan saujana mata memandang. Memandang mereka bisa menenangkan. Menghirup udara pagi cukup menyegarkan. Mereka itulah makhluk ciptaan Tuhan yang dikurniakan pelbagai kemuliaan. Mereka itulah tentera Allah yang patuh dengan perintah Tuhannya. Andai yang dihadapan matapun ia tak mampu dihayati dan diakui, bagaimana kira-kira hendak menghayati hakikat kasih sayang Allah Jalla Wa ‘Ala? Kebaikan yang diberikan mereka, kekejaman yang kita balas kepada mereka. Mencabut dan memetik mereka tanpa izin itu cukup menyakitkan mereka, bahkan terhenti zikirnya yang tidak pernah terhenti. Mungkin itu ajal mereka, tetapi apa hak manusia untuk membunuhnya? Andai dengan tumbuhan pun tidak mampu bermuamalah dengan baik dan beradab, janganlah mengharapkan diri kita dilayan dengan baik dan beradab pula.

Hakikatnya, manusia sudah mula menyakiti makhluk Tuhan yang tidak pernah berlaku zalim kepada manusia. Apakah tidak adil jika manusia itu pula disakiti oleh makhluk-Nya yang lain? Apakah kerana mereka bukan manusia mereka dilayan seperti itu? Apakah kerana mereka itu tak berakal mereka itu tidak menjadi perhatian? Apakah kerana mereka itu tidak tahu membalas maka kita semakin berleluasa? Ketahuilah zikir mereka jauh lebih banyak dan memenuhi langit dan bumi. Ibadah mereka sudah jauh meninggalkan manusia. Lihatlah kebesaran Allah dalam sabda Rasulullah Sallallah ‘Alayh Wasallam: “barangsiapa yang membaca Subhanallah Wa Bihamdihi Subhanallah al-‘Azhim sebanyak 100 kali setiap hari, maka akan terhapuslah semua dosanya sekalipun dosanya itu sebanyak buih di lautan”. Hanya dengan bilangan yang sedikit itu mampu mendapat keampunan yang cukup besar. Tidakkah kita memikirkan rahsia dan percaturan disebalik tawaran itu?

Ketahuilah, 100 kali yang diucapkan itu bisa mendapat ganjaran yang besar kerana ia bersatu dengan zikir seluruh makhluk di bumi. Itulah zikir-zikir seluruh tumbuh-tumbuhan, itulah zikir-zikir sekalian haiwan, makhluk-makhluk di langit dan bumi bersatu dalam zikir. Maka sertailah mereka dalam zikir. Sambutlah tawaran hebat dari Pemilikmu yang menawarkan keampunan yang menjadi jalan menuju Syurga-Nya. Sekali lagi manusia terhutang budi kepada makhluk Tuhan.

Wahai manusia, sedarilah bahawa mereka itu makhluk yang mencintai Rasulullah. Dalam kalangan mereka, ada yang pernah berbicara dengan Rasulullah. Kecintaan mereka jauh lebih tulus dari manusia yang memiliki hati. Janganlah terus-terusan melakukan kekejaman terhadap dirimu dan makhluk sekelilingmu. Itu akan menyakiti mereka yang mencintai Rasulullah. Itu juga akan menyakiti kekasih Allah Jalla Wa ‘Ala. Dan apabila kekasih-Nya disakiti, tunggulah kemurkaan dari Allah yang Maha Adil dan Maha Perkasa mengadilinya. Muliakanlah yang dimuliakan Allah.

Cukuplah melihat perbalahan umat itu menyesakkan jiwa mereka yang ingin tenang bersama Tuhan. Kalian mengangkat ulama yang berada dipihak kalian untuk mengajak umat menyetujui tindakan kalian. Tidakkah kalian menghormati ulama yang dimuliakan Allah? Mengapa mereka yang dijadikan alat perdebatan kalian? Cukuplah kalian dengan pandangan dan pemahaman kalian. Jika kalian faham dan yakin apa yang kalian perjuangkan, teruskanlah perjuangan kalian. Ikutlah nasihat guru dan ulama kalian di pihak haraki atau talaqi dan berpeganglah dengan yakin dan benar. Jika benar perjuanganmu untuk Islam, pasti tidak ada yang namanya perbalahan bahkan diganti pula dengan hormat-menghormati dan dan kasih-sayang. Tidakkah manusia tahu apa yang dinamakan “adab”?. Perbaikilah adab dari detik ini, tingkatkan ia kepada yang lebih tinggi. Kerana itulah yang diajarkan baginda Rasulullah Sallallah ‘Alayh Wasallam kepada umatnya. Moga tergolong dalam golongan yang dihimpunkan bersama baginda di akhirat kelak. Wallahua‘lam.