Luahan Mahabbah

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah Rabb al-'Alamin. Setinggi-tinggi puji dan syukur kepada Allah Jalla Wa 'Ala atas segala nikmat dan kurniaan-Nya. Tiada apa yang menjadi milik hamba. Semua hanya pinjaman di dunia sementara. Pergunakanlah ia ke arah kebaikan yang diredhai Allah, itulah cara hamba mensyukuri pemberian-Nya.

Selawat dan salam buat junjungan mulia tercinta Habibuna Sayyiduna Rasulullah Sallallah 'Alayh Wasallam dan seluruh Ahl al-Bayt. Malulah umat Muhammad andai bakhil untuk berselawat walau sekali. Sedangkan Allah, para malaikat serta makhluk lain di bumi tidak jemu-jemu berselawat ke atas baginda yang dimuliakan Allah. Kenali peribadi itu agar terbit cinta dan rindu kepadanya yang bererti cinta dan rindu kepada Allah Jalla Wa 'Ala. Sollu 'Ala Khoir al-Anam, Mustafa Sallallah 'Alayh Wasallam. Allahumma Solli 'Ala Sayyidina Muhammad Wa 'Ala Aalihi Sayyidina Muhammad.


Indahnya alunan qasidah yang dialunkan oleh para pencinta Allah dan Rasul. Kecintaan itu terpamer dalam rentak dan irama yang dihayati bersama. Subhanallah! Sowtun Jamil! Allah Ajmal! Tenggelam dalam lautan memuji Allah dan Rasul itu lebih mulia dan bererti dari dunia dan segala isi-isinya. Beningnya hati para pencinta. Semoga hati mereka yang mencintai Allah dan Rasul terus bercahaya selama mereka terus mencintai dan memuji Allah dan Rasul-Nya. Ya Allah masukkanlah kami dalam golongan muhibbin (para pencinta Allah dan Rasul). Allahumma Amin.

Tertawan dengan alunan dan bait qasidah ini. Moga diberi kesempatan untuk menghayati bait-baitnya. Mudah-mudahan bermanfaat kepada semua khususnya kepada para pencinta yang sebenar-benar cinta.  Walau cintaku tidak sehebat mereka, itu tidak mematahkan semangatku untuk terus memburu cinta Allah dan Rasul-Nya. Moga perhatian-Nya bisa kuraih juga. Allah...

دَعُونِي دَعُونِي أُنَاجِي حَبِيبِي 


دَعُونِي دَعُونِي أُنَاجِي حَبِيبِي
وَلاَ تَعْذُلُونِي فَعَذْلِي حَرَام
Biarkanlah aku, biarlah aku bermunajat dengan kekasihku
Janganlah engkau menghina aku, kerana penghinaan itu adalah haram

تَعَلَّمْ بُكَايَ وَنُحْ يَا حَمَام
وَخُذْ عَنْ شُجُونِي دُرُوسَ الغَرَام
Belajarlah dari tangisanku sambil menyanyi wahai merpati
Hayatilah kisah-kisahku sebagai pedoman untuk kerinduanmu

تَعَلَّمْ بُكَايَ وَنُحْ يَا حَمَام
سُكِرْتُ بِخَمْرِ الهَوَى الغَرَام
Belajarlah dari tangisanku sambil menyanyi wahai merpati
Aku telah dimabukkan oleh arak pencintaan

وَمَنْ كَانَ مِثْلِي مُعَنًّى مُضَنًّى
بِحُبِّ النَّبِي لِمَاذَا يُلاَم
Sesiapa sepertiku yang penuh dengan kecintaan terhadap Nabi kita (Sallallah 'Alayh Wasallam)
Mengapa ditegah dan mengapa perlu dimarahi?

لاَمُونِي لاَمُونِي بِحُبِّكَ رَمُونِي
يَا قُرَّة عُيُونِي عَلَيْكَ السَّلاَم
Mereka menegerku kerana cinta padamu
Wahai cahaya kepada mataku, kepadamu kusampaikan salam

فُؤَادِي لِنَحْوِ المَدِينَةِ هَام
وَقَلْبِي تَوَلَّع بِخَيْرِ الأَنَام
Hatiku rindu kepada Madinah
Hatiku terpesona ke atas sebaik-baik manusia

أَنَا يَا ابْنَ رَامَة حُرِّمْتُ المَنَام
وَزَادَنِي سِقَامًا غَرَامُكَ تَمَام
Aku, wahai kekasih tidurku tidak pernah lena
Dan bertambah dengan kesedihan kerana kerinduan terhadapmu.


اللهم صل وسلم وبارك عليه وعلى آله

Pengkhianatanku

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah Rabbil ‘Alamin. Puji dan syukur ditujukan kepada Allah Jalla Wa ‘Ala. Selawat dan salam ke atas peribadi mulia Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam. Himpunkanlah zikrullah dan selawat dalam hari-harimu. Moga yang demikian itu bisa menghubungkan hati kita dengan Allah dan Rasul-Nya yang menerbitkan mahabbah yang sebenar-benarnya. Amin Ya Rabb

Bersama sahabat-sahabat ke Yayasan al-Jenderami tempoh hari. Berhajat untuk bertalaqi kitab bersama Tuan Guru Haji Hafidz bin Selamat. Sampai sahaja di sana, seorang wanita memaklumkan bahawa Tuan Guru berada di Kelantan kerana ada sambutan Mawlid di sana. Seusai bertukar nombor telefon dengan wanita tersebut, kami bergerak pulang. Walaupun ada sedikit hampa, tetapi tidaklah sesedih mana. Cuba berbaik sangka, mungkin hari itu kami cuma diizinkan melihat tempat belajar sahaja dulu. Pasti ada hikmah yang terselit di dalamnya. Ya, kami yakin tentang itu. Apapun, bersyukur atas kurniaan-Nya. Melihat tempatnya sahaja sudah menenangkan, bagaimana agaknya mereka yang berpeluang belajar di sana. Subhanallah, damainya. 


Memang sangkaan kami tidak sia-sia, mungkin pembatalan kuliah itu hanya satu asbab sahaja kerana selepas itu secara takdirnya, kami pergi ke pesta buku di PWTC. Rasanya, kalau bukan kerana tiada kuliah pasti kami tak berpeluang langsung untuk ke sini. Syukurlah, Sungguh Allah Maha Mengetahui segala-galanya. Dalam perjalanan pergi dan balik, berbual dengan sahabat yang salah seorangnya adalah adik usrah saya. Berbual dengan mereka yang ada rasa cinta yang sama pada majlis talaqi sungguh menyeronokkan. Tak sabar rasanya nak bertalaqi bersama. Mudah-mudahan selepas ini kami berpeluang ke majlis-majlis talaqi bersama. Moga Allah merezekikannya. Allahumma Amin

Namun, dalam ungkap katanya ada sedikit kerisauan yang menggamit hatinya. Mungkin itu ujian untuknya di kala izin dari ayah telah diberikan, dipertanggungjawabkan pula dengan tugasan-tugasan persatuan yang pelbagai. Moga Allah Jalla Wa ‘Ala memberikan rahmat kepadanya dan memberikan jalan keluar bagi setiap masalah dan kerisauan. Semangatnya membuatkan diri sedikit tercuit gembira. Sudah lama rasanya tak seseronok ini. Bebanan masalah benar-benar menghalang untuk menikmati kehidupan ini. Silap diri juga kerana sudah lama tidak mengatur usrah bersama mereka. Ada sedikit rindu yang disembunyikan dari pengetahuan mereka. Mudah-mudahan masih ada lagi pertemuan sebelum terpisah selamanya. 


Menzahirkan perasaan itu amat rumit dan payah sebenarnya pada diri. Bukan kerana ego, tapi kerana tidak mampu dan kelu, walaupun pada ahli keluarga, apatah pula pada sahabat handai dan lain-lain. “Tidak ada perasaan”, ucapan yang biasa ditujukan kepada diri ini sejak di bangku sekolah lagi. Argh…biarlah apapun bicara mereka, aku tidak pernah hirau dan peduli. Cukuplah ucapan itu hanya dalam pengetahuan-Nya sahaja. Berbicara dengan manusia membuatkan diri letih dan penat. Kadangkala apa yang ingin dimaksudkan, difahami yang sebaliknya. Kadangkala seolah menunjuk pandai sahaja. Hakikatnya hanya menipu diri. Benarlah kata mereka yang bersih nuraninya, banyak berbicara itu boleh menimbulkan riya’ dalam hati. Wal‘iyazubillah

Nasuha (Mestica) 

Pada-Mu kuserah segala 
Harta sepenuh jiwa raga 
Hanya Kau Yang Maha Pemurah 
Meredakan hati yang gundah 
Ya Allah… 

Pada-Mu kucurah segala 
Perasaan yang melara 
Engkaulah yang punyai cinta 
Membawaku ke puncak nasuha 

Kukesali kealpaan diriku 
Kutangisi kesilapan lalu 
Walaupun sekali takkan kuulangi 

Ya Allah Tuhanku 
Bantulah hamba-Mu 
Jangan biarkan diriku terus dibelenggu 
Ampuni dosaku 
Terangi hatiku 
Izinku kembali ke jalan redha-Mu 

Tiada lain yang kuharap 
Hanya kasih sayang-Mu Tuhan 
Membawaku ke rimbun keampunan 

Ya Allah 
Pada-Mu kuserah segala 


Dalam tak sedar, sikap begini mengundang rasa pelik dan kagum pada mereka yang lain. Mereka menyangka bahawa diri ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Tiada masalah yang mengganggu fikiran. Sedangkan mereka setiap hari dibebani masalah yang pelbagai. Cukuplah! Jangan terlalu memandang tinggi pada insan yang kalian tidak pernah kenal. Luaranku mungkin kelihatan tenang, tapi batinku menderita dengan penjara dunia ini. Aku ini hanyalah pendosa yang setiap hari mengulangi dosa-dosa lalu. Setiap waktuku adalah pengkhianatan yang tidak berkesudahan kepada Tuhan. Jangan menyanjungi aku dengan kata-kata kalian yang berbunga dan indah. Semua itu hanya membuat jiwaku terhiris dan terluka. Semua itu hanya mengkhayalkan aku di alam ilusi. Cacilah aku kerana aku layak dicaci dan dihina. Aku ini munafik yang memungkiri janji. Sedangkan pujian hanya layak untuk Tuhan dan buat mereka yang mulia di sisi Tuhan. 

Jika kalian mengakui hakikat ukhuwah, nasihatilah aku atas nama sahabat dan teman. Hidupku sudah cukup lama dibuai kesenangan yang melekakan. Pujian hanya mematikan hati. Tatkala kalian meminta nasihat dariku, ketahuilah bahawa akulah yang lebih layak dinasihati. Tatkala aku menukilkan kata-kata para kekasih Allah, ketahulilah bahawa aku hanya ingin memujuk diri. Itulah hiburanku. Aku berhibur dengan kalam mereka. Mudah-mudahan dengan keberkatan kalam mereka bisa menguatkan ruh kembali. Dan ketahuilah, semua itu kulakukan kerana aku adalah hamba-Nya yang hina dan lemah. Aku tidak pernah jujur terhadap Tuhan. Hatiku memberontak tatkala Tuhan berkehendak. Maka selayaknyalah aku dipandang keji pula oleh penduduk dunia. 


Ya Ilahi, walau diriku sering berlaku khianat kepada-Mu, jangan Kau kenalkan aku erti jemu dalam memburu keampunan dan rahmat-Mu. Kerana hanya dengan rahmat-Mu hamba bisa memiliki cinta-Mu. Ya Razzaq, rezekikanlah kepadaku perasaan cinta kepada-Mu dan juga kepada Rasul-Mu yang tidak berbelah bahagi untuk selama-lamanya. Allahumma Amin


------- April 2012---

Amalan Malam Raya

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Jalla Wa 'Ala dan selawat serta salam ke atas junjungan mulia dan dicinta, Sayyiduna Rasulullah Sallallah 'Alayh Wasallam dan Ahl-Bayt

Di ambang Syawal yang bakal menjelang, walau itu petanda Ramadhan 1433H bakal meninggal pergi, itu tidak bererti amal 'ubudiyah juga terhenti. Bersama kita beramal dengan kandungan hadith ini andai diizinkan Tuhan menikmati Syawal. Moga ada manfaatnya buat semua. Ramadhan Kareem!


Soal Hati Atau Nafsu?

Bismillahirrahmanirrahim

Puji dan syukur pada Tuhan Yang Maha memberi keamanan. Kegundahan dan keresahan yang melanda jiwa hamba, diatasi-Nya dengan mengirimkan ketenangan. Subhanallah, tidak mampu menghuraikan maksud disebalik ketenangan itu. Kerana ia hanya bisa dinikmati dan dirasai sendiri oleh hamba yang melalui. Tetapi percayalah, sekali seorang hamba itu menikmati lazatnya ketenangan, pasti kemewahan dan kelazatan dunia yang menipu ini tidak lagi dipedulikan. Indahnya hidup bersama Tuhan. Allah… 

Selawat dan salam buat junjungan mulia dan tercinta, Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam. Mempamer rasa cinta tidak perlu segan dalam mempamerkan hidup bersunnah. Apabila sunnah mula ditolak ke tepi, bid‘ah pula yang akan mengganti. Wal‘iyazubillah. Amalkanlah walau hanya satu sunnah sahaja yang termampu, sebagai permulaan pembuktian cinta kepada baginda yang mulia. Moga tergolong dalam kalangan pencinta Rasulullah Sallallah ‘Alayh Wasallam dan Ahl al-Bayt yang melayakkan kita memperoleh syafaat baginda kelak. Allahumma Amin.


Hidup mesti diteruskan walau apapun halangan yang mendatang. Untuk sampai kepada Tuhan perlu tabah mengharungi pelbagai ujian. Bukan kerana Dia terlalu jauh dan sukar untuk ditemui bahkan terlalu dekat. Semua itu kerana mahalnya nilai sebuah pengorbanan. Pengorbanan itu mematangkan fikiran. Fikiran yang matang akan mampu melihat hikmah yang tersurat dan tersirat. Apabila hikmah diperoleh, akan tercapailah ‘hakikat’. Lalu dengan kefahaman ‘hakikat’ yang jelas itulah yang akan menyampaikan kepada ‘makrifat’. Maka, apakah seseorang yang tidak sanggup mengharungi ujian-Nya bisa terasa lebih dekat dengan-Nya? Umpama hanya sekadar doa tanpa pengahayatan, mampukah merasai khusyuk dan tawaduk? Atau barangkali membaca ayat-ayat-Nya tanpa memahami maksudnya, apakah terasa indahnya syurga bila disebut nikmat-nikmatnya? Atau apakah terasa gerunnya neraka bila disebut azab dan siksaannya? Ambillah sedikit waktu untuk merenung kembali perjalanan hidup ini. Itu jauh lebih bererti daripada sibuk dengan ucapan kosong untuk berseronok semata-mata. 

Kita sering berbicara soal hati. Tetapi ‘soal hati’ itu lebih tertumpu pada hidup berpasangan dan kehendak diri. Kadangkala sampai menyalahkan pihak yang lain tanpa alasan yang pasti. Itu bukan ‘soal hati’, tapi ‘soal nafsu’. Perlu bijak membezakan antara keduanya. Jangan terlalu mengikut kata hati dalam meluahkan rasa tidak puas hati. Pujuklah hati untuk berbaik sangka dan mencari jalan penyelesaian. Jadilah orang yang berhikmah (bijaksana) dalam menghadapi apa-apa situasi. Orang berhikmah meletakkan nafsunya di tepi dalam membuat sebarang pertimbangan. Wahyu yang utama, ilmu yang memandu. Kebenaran itu tidak semestinya tepat dengan kehendak kita tetapi yang pasti ia tepat dengan kehendak Allah Jalla Wa ‘Ala


Tidak adakah yang ingin berbicara ‘soal hati’ yang tertumpu pada hidup bertuhan? Ataukah mereka sudah berasa selesa sehingga yakin akan mencapai hakikat mukmin? Jika ‘soal hati’ hanya tertumpu kepada makhluk, mampukah makhluk itu menjamin kebahagiaan dan ketenangan. Ingin hidup bersyariat, perlu kembali kepada hukum Tuhan. Ingin hidup mengikut sunnah lebih lagi perlu memperbaiki hubungan dengan Tuhan. Ingin bahagia bersama pasangan hidup dan keluarga, perlu lebih dekat dengan Tuhan. Semuanya kembali kepada Allah. Tidak ada yang terlepas dari pengetahuan dan pandangan-Nya. Lalu mengapa manusia membeza-bezakan antara keduanya? 

Mereka lantang berbicara soal pasangan hidup, tanggungjawab dan amanah mereka sebagai ketua keluarga dan sebagainya. Seolah-olah mereka-lah yang lebih pakar dan paling mengerti tentang hal ini. Tetapi mengapa tidak lantang dan serius tatkala berbicara soal hubungan dengan al-Khaliq? Bukankah Dia juga yang mengurniakan perasaan kepada makhluk? Ketahuilah, kerana mengabaikan hak hati-lah manusia hari ini bertindak mengikut nafsu dan emosi. Jangan hanya pandai berbicara tetapi tidak berminat untuk beramal. Kerana ia bisa mengundang murka Allah. Fahamilah hakikat ‘soal hati’. Dihujung pencarian hakikat itu, diri akan tunduk dan mengakui bahawa ‘soal hati’ itu adalah hidup bersama Tuhan dan tenang bersama-Nya. Tidakkah kita impikan sebuah kehidupan yang jauh lebih menenangkan? Berfikirlah agar terbit zikir di lisan dan hatimu. Moga tergolong dalam kalangan mereka yang diberikan al-hikmah agar terungkap segala resah dan keliru. Allahumma Amin


Hati insan sering berbicara 
Menghurai bisikan antara akal dan nafsu 
Manakah yang bisa dituruti? 
Kehendak akal atau kehendak nafsu? 

Tanyalah akal yang mencadangkan… 
Apakah ia dipimpin oleh wahyu…? 
Tanyakan juga pada nafsu… 
Apakah redha Allah bisa diburu…? 

Usah mempersulit soal hatimu… 
Jangan menyalah tafsir soal nafsumu… 
Keduanya itu tidak akan menyatu… 
Dalam menuju Allah Yang Satu. 

Katamu, soal hati itulah soal perasaan 
Perasaan bersama pasangan hidup 
Barangkali jodoh yang dimaksudkan. 
Semudah itukah tafsiranmu tentang bisiknya hati? 

Kataku, mungkin benar ia soal perasaan 
Namun tidak hanya pada pasangan 
Bahkan lebih dari itu. 
Ia soal tenang atau gelisahnya perasaan 
Tenang itu apabila hatimu bisa merasa dekat dengan Tuhan 
Lalu apakah yang dibicarakan hati? 
Itulah soal dekat atau jauhnya hati insan dengan Tuhan 
Maka persoalkanlah, di mana Allah dihatimu?

Mencari al-Hikmah

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala pujian bagi Allah Jalla Wa ‘Ala yang membukakan mata untuk melihat ciptaan-Nya dan mencelikkan hati untuk menghayati kebesaran-Nya. Subhanallah, Alhamdulillah. Besarnya kekuasaan Allah. Terasa kerdilnya diri insan bila disedari. Sungguh, suntikan dan ketukan pintu hati itu atas rahmat-Nya. Syukurlah kerana masih diperhati. Allah…

Selawat dan salam ke atas kekasih tercinta Habibuna Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam. Insan termulia ciptaan Tuhan. Memancar nur Muhammad ke seluruh alam. Menghapus segala kegelapan yang sekian lama mencengkam. Sollu!…Sollu ‘Ala Khair al-Anam! Ya Nabiyyuna, syafaatmu kami dambakan. Syafaatkanlah kami umatmu akhir zaman. ‘Alayka Sallallah Ya Khaira Khalqillah Wal Aali Wal-As-hab Wal-Qawmi Ahl Allah. Allahumma Solli ‘Ala Muhammad Wa ‘Ala Aalih.

Empat minggu berpraktikal. Menjalani kehidupan sebagai seorang pra-staff. Masih baru dan banyak perkara yang perlu dipelajari. Itu tidak dimungkiri. Rasanya empat minggu sudah cukup untuk menguji hipotesis awal sebelum membuat kesimpulan akhir. Pelbagai perkara disaksikan. Entah. Berkerja itu seronok kerana ia sebahagian dari tugas dan melaksanakannya termasuk dalam ibadah. Tetapi ia menjadi kurang menyenangkan apabila mereka yang berstatus ustaz-ustazah bermuamalah seperti orang biasa yang kurang pendedahan agamanya. Ikhtilat masih banyak yang perlu diperbetulkan. Mungkinkah diri terlalu syadid sehingga mengatakan mereka tidak benar? Tidak, bukan begitu. Cuma tidak selayaknya mereka yang terbiasa dan tahu tentang hukum melakukan hal yang sedemikian. Agak terguris hati dan perasaan melihat hal sedemikian diambil mudah. Mungkinkah senario ini yang hendak ditunjukkan sebenarnya sebelum benar-benar melangkah ke dunia pekerjaan? Semoga ia menjadi suatu pengajaran buat diri.

Ingatan terhadap Tuan Syeikh semakin menebal. Tatkala melihat satu persatu adab tidak diambil peduli, pasti terbayang wajah guruku yang mursyid itu. Bagai hendak menangis menghadapi keadaan ini. Dua bulan perlu berkampung di sini. Hendak tidak hendak perlu kuatkan rohani dan jasmani menghadapi situasi ini. Mungkin Allah ingin menguji ilmuku di sini. Bagaimana hendak mempraktik ilmu dan sunnah saat berhadapan dengan dunia yang manusia di dalamnya sudah melupakannya. Mujurlah Ketua Pusat merangkap penyeliaku kelihatannya lebih thiqah dan menenangkan untuk bermuamalah. Alhamdulillah, terubat sedikit kesedihan dan kebimbangan tadi. Wahai diri, yakinlah, pasti ada hikmah ditempatkan di sini.


Ya Allah, berikan kekuatan hati dan al-hikmah kepadaku. Agar dengan kekuatan hati itu aku bisa menjalani kehidupan ini dengan tabah dan sentiasa mendekatkan diri kepada-Mu. Dan agar dengan al-hikmah itu aku bisa merungkai rahsia dan maksud-Mu dibalik tiap peristiwa. Perkenankanlah Ya Mujib. Allahumma Amin.