Berdoalah Insan...

Doa adalah senjata bagi orang mukmin baik dalam senang atau susah. Dengan berdoa, kita merasa kuat kerana kita yakin bahawa Allah SWT sentiasa bersama kita. Alhamdulillah, dari kecil lagi kita dilazimi dengan pelbagai doa harian…baik yang pendek mahupun yang panjang. Antaranya doa makan, doa masuk tandas, doa keluar rumah, doa belajar dan lain-lain lagi…Insyaallah, ianya akan menjadi amalan yang berkekalan sepanjang hayat ini.

Dalam risaalah kali ini, ana ingin berkongsi dengan antum semua beberapa doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada sahabat dan doa yang diajarkan oleh Imam al-Ghazali r.a. kepada anak muridnya. Semoga ianya dapat diamalkan dalam kehidupan kita, Insyaallah Taala.

Hakikatnya,doa merupakan ibadat kepada Allah…kita harus menyedari bahawa kita adalah insan yang lemah dan tidak berdaya. Hanya dengan pertolongan dan petunjukNyalah yang menjadikan kita sebagai manusia yang mulia, berakhlak, dan berperibadi mulia. Ketahuilah bahawa di dalam doa itu, terdapat ketenangan jiwa, kelapangan dada dan ketenteraman hati yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Doa memiliki pengaruh besar dalam kehidupan seorang muslim. Cuba kita lihat, berapa ramai orang yang pernah melakukan dosa mendapat hidayah dari Allah?! Berapa ramai orang yang sakit dapat disembuhkan?! Yang miskin menjadi kaya…dan macam-macam lagi. Semua ini adalah kerana doa yang dipanjatkan oleh mereka kepada Allah atau doa yang ditujukan oleh orang lain untuk mereka dengan tulus dan ikhlas.

Dalam kitab al-Mustadrak al-Hakim termaktub hadith riwayat Abu Hurairah dari Nabi SAW yang menyatakan tentang perkara ini. Nabi SAW bersabda: “Berdoalah kepada Allah dengan hati yang amat yakin bahawa doa tersebut pasti akan dikabulkan dan ketahuilah bahawasanya Allah tidak akan menerima doa yang datang dari hati yang lalai.”

Dari hadith ini, kita sedari bahawa sebenarnya doa merupakan penawar yang mujarab yang dapat menghilangkan penyakit. Sayangnya, kelalaian hati manusia terhadap Allah itulah yang sering memusnahkan kemujaraban dan kekuatan doa. Begitu juga halnya memakan makanan yang haram, ia dapat memusnahkan dan melemahkan dan kekuatan doa.

Abu Hazim al-A’raj mengatakan: “Tidak boleh berdoa bagiku lebih aku takuti daripada jika doaku tidak dikabulkan”.

Mus’ir meriwayatkan dari Ibn ‘Aun, ia berkata: “Manusialah yang menjadi penyebab datangnya penyakit dan Allah jua yang menciptakan ubatnya.”

Lalu Adz-Dzahabi menegaskan: “Ya, demi Allah. Memang amat menghairankan semua itu disebabkan kebodohan kita. Mengapa kita meninggalkan penawar, sedangkan kita selalu diserang penyakit?”

Firman Allah SWT:

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu.” (Al-Baqarah : 152)

"Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabur dalam beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina" (Ghaffir : 10)

"Sesungguhnya Allah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh" (Adz-Dzariyat : 58)

Diriwayatkan dari Syadad ibn Aus r.a dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Penghulu segala istighfar adalah; ‘Ya Allah, Engkau Tuhanku, tiada Tuhan selain Engkau, Engkau yang telah menciptakanku dan aku adalah hambaMu, aku berusaha semampuku untuk selalu berada dalam pemeliharaan dan janjiMu. Aku berlindung kepadaMu dari akibat buruk perbuatanku. Aku akui akan nikmatMu atas diriku dan aku juga mengakui betapa besarnya kesalahanku, maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau’”.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membacanya dengan hati yang yakin pada waktu siang, lalu pada hari itu ia meninggal dunia sebelum tiba waktu petang, maka ia termasuk ahli (penduduk) syurga dan barangsiapa yang membacanya dengan hati yang yakin pada waktu malam, lalu ia meninggal dunia sebelum tiba waktu pagi, maka ia termasuk ahli syurga”.

Diriwayatkan dari Abu Bakar As-Siddiq r.a, bahawa ia pernah berkata kepada Nabi SAW: Ajarkan aku doa yang dapat aku baca di dalam solatku”. Rasulullah SAW menjawab: “Bacalah, Ya Allah, sesungguhnya aku telah banyak berbuat kezaliman atas diriku sendiri dan sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Engkau. Berikanlah aku keampunan dariMu, kasihilah Aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Berkata Imam al-Ghazali r.a. kepada anak muridnya (dalam sepucuk surat): “sesungghnya aku telah tuliskan dalam warkah ini apa-apa yang engkau kehendaki. Maka sayugia engkau mengamalkan dengan isinya dan jangan engkau lupa padanya daripada mengingati aku dalam doa-doamu yang baik. Adapun doa yang engkau tanyakan itu maka carilah lafaznya di dalam kita-kitab yang sohih, dan bacalah pula doa yang aku tuliskan ini pada sekalian waktumu, khususnya selepas sembahyang engkau.

Doa itu ialah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلَُكَ مِنَ النِّعْمَةِ تَمَامَهَا ، وَمِنَ الْعِصْمَةِ دَوَامَهَا ، وَمِنَ الرَّحْمَةِ شُمُولَهَا ، وَمِنَ الْعَافِيَةِ حُصُولَهَا ، وَمِنَ الْعَيْش ِأَرْغَدَهُ ، وَمِنَ الْعُمُرِ أَسْعَدَهُ ، وَمِنَ الإِحْسَانِ أَتَمَّهُ، وَمِنَ الإنعَام أَعَمَّهُ ، وَمِنَ الفَضْلِ أَعْذَبَهُ ، وَمِنَ اللُّطْفِ أقْرَبَهُ.

اللَّهُمَّ كُنْ لَنَا وَلاَ تَكُنْ عَلَيْنَا.

Ya Allah, aku memohon akan engkau daripada nikmat itu yang paling sempurna,dan daripada pemeliharaan itu yang paling kekal, dan daripada rahmat itu yang paling menyeluruh, dan daripada afiat itu yang paling berhasil, dan daripada kehidupan itu yang paling senang, dan daripada umur itu yang paling bahagia, dan daripada ihsanMu itu yang paling sempurna, dan daripada nikmatMu itu yang paling menyeluruh, dan daripada kelebihanMu itu yang paling sedap dan daripada lemah lembutMu itu yang paling dekat.

Ya Allah, jadilah Engkau sentiasa pembela kami, bukan penghukum ke atas kami.

اللَّهُمَّ اخْتِمْ بِالسَّعّاَدةِ آجَالَنَا ، وَحَقِّقْ باِلزِّيَادَةِ آمَالَنَا ، وَاقرِنْ باِلعَافِيَةِ غُدُوَّنَا وَآصَالَنَا ، وَاجْعَلْ إِلىَ رَحْمَتِكَ مَصِيْرَنَا وَمَآلَنَا ، وَاصْبُبْ سِجَالَ عَفوِكَ عَلىَ ذُنُوبِنَا ، وَمُنَّ عَلَيْنَا بِِإِْصْلا َحِ عُيُوبِنَا ، وَاجْعَلِ التّقوَى زَادَنَا ، وَفِي دِينِكَ اجْتِهَادَنَا ، وَعَليْكَ تَوَكُّلنا وَاعْتِمَادَنَا.

Ya Allah, habiskanlah ajal kami dengan kebahagiaan, dan berikanlah kepada kami yang lebih baik daripada apa yang kami harapkan dan iringkanlah pagi dan petang kami dengan keafiatan dan jadikanlah kesudahan kami dan kemuncak cita-cita kami untuk mendapatkan rahmatMu. Dan tuangkanlah hujan yang lebat daripada kemaafanMu ke atas dosa-dosa kami dan sentiasalah Engkau member nikmat kepada kami dengan membaikkan segala keaiban kami dan jadikanlah takwa itu sebagai bekalan kami, dan jadikan pula kesungguhan kami itu dalam memperjuangkan agamaMu dan jadikanlah tawakal dan pegangan kami hanya dengan Engkau.

اللَّهُمَّ ثَبِّتْنَا عَلَى نَهْجِ الاِسْتِقاَمَةِ ، وَأَعِذ نَا فِي الدُّنْيَا مِن مُوجِبَاتِ النَّدَامَةِ يَومَ الْقِيَامَةِ ، وَخَفِّفْ عَنَّا ثِقْلَ الأَوْزَارِ، وَارْزُقْنَا عِيشَة َ الأَبْرَارِ ، وَاكْفِناَ وَاصْرِفْ عَنَّا شَرَّالأَشْرَارِ، وَاعْتِقْ رِقاَبَنَا وَرِقاَبَ آبَائِنَا وَأُمَّهَاتِنَا وَإِخْوَانِنَا وَأَخَوَاتِنَا مِنَ النَّارِ ، ِبرَحْمَتِكَ يَا عَزِيْزِ يَِا غَفَّارُ يَا كرِيمُ يَا سَتَّارُ يَا عَلِيمُ يَا جَبَّارُ ، يَا أَلله يَا الله يَا الله ِبرَحْمَتِكَ يَا أََرْحَمَ الرَّاحِمِينَ ، وَيَا أوَّلَ الأوَّلِيْنَ ، وَيَا آخِرَ الآخِرِيْنَ ، وَيَا ذَاالقُوَّةِ المَتِين ِ ، وَيَا رَاحِمَ المَسَاكِين ِ، وَيَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ ، لاَ إِِلهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ.

Ya Allah, tetapkanlah kami berada di atas jalan istiqamah, dan lindungilah kami di dunia ini daripada mengerjakan perkara-perkara yang mengakibatkan penyesalan kami di hari kiamat nanti dan ringankanlah bebanan dosa-dosa kami dan kurniakanlah kepada kami kehidupan hamba-hambaMu yang baik-baik dan jauhkan daripada kami segala kejahatan orang-orang jahat dan lepaskanlah leher kami dan leher ibubapa kami dan seluruh saudara kami yang lelaki dan perempuan daripada belenggu api neraka. Semuanya itu berkat rahmatMu. Wahai Tuhan Yang Maha Mulia dan Maha Mengampuni dan Maha Pemurah lagi menutupi keaiban kami, wahai Tuhan Yang Mengetahui dan Maha Perkasa Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah dengan rahmatMu wahai Tuhan Yang Lebih Pengasih daripada segala yang pengasih, wahai Tuhan yang dahulu daripada segala yang terdahulu, wahai Tuhan yang kemudian daripada segala yang kemudian, wahai Tuhan yang mempunyai kekuatan yang sangat kukuh, wahai Tuhan yang sangat mengasihi orang-orang yang miskin dan Tuhan yang terlebih kasih sayang daripada segala orang yang kasih sayang, tidak ada Tuhan yang layak disembah selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini termasuk dikalangan orang yang menzalimi dirinya sendiri.

*****************************************************

Sabda Rasulullah SAW:"Berdoalah kalian kepada Allah dengan keyakinan agar dikabulkan. Ketahuilah bahwa Allah tidak akan mengabulkan doa orang yang hatinya hampa dan tidak sungguh-sungguh" (HR Tirmidzi dan al-Hakim)


وصلَّى الله على سيِّد نا محمَّدٍ وآلهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ. وَالْحَمْدُللهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ.

No comments:

Post a Comment