Alhamdulillah, hari ni masuk hari ke-4 umat islam menyambut kedatangan bulan Syawal. Bulan Syawal adalah bulan kemenangan bagi umat Islam…kita menyedari hakikat itu. Tetapi apa yang dimaksudkan dengan kemenangan umat islam itu? Kemenangan yang dimaksudkan di sini ialah kemenangan umat Islam dalam memerangi hawa nafsu. Apa yang kita faham dan ketahui, jihad yang paling besar adalah jihad dalam memerangi hawa nafsu. Insyaallah, kalau kita ikhlaskan hati dan bersungguh-sungguh menjalani ibadah puasa Ramadhan, kita berjaya dalam memerangi hawa nafsu ini.
Mengapa perlu mengawal nafsu? Nafsu adalah punca segala maksiat dan dosa. Apabila manusia menjadi hamba kepada nafsu, akan musnahlah hidupnya. Segala kebaikan tidak akan terlihat lagi bahkan segala kejahatan dilihatnya sebagai suatu yang mulia. Semua ini adalah bisikan iblis dan syaitan kepada manusia semata-mata yang telah berjanji kepada Allah SWT untuk menyesatkan manusia sejak penciptaan Nabi Adam a.s lagi. Mahukah kita menjadi hamba kepada iblis dan syaitan laknatullah ini? Betapa hinanya kita, bukan sahaja terhadap makhluk Allah SWT yang lain tetapi juga hina pada pandangan Allah SWT.
Ada di kisahkan mengenai nafsu dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah. Menurut kitab tersebut, setelah Allah SWT menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, menghadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."
Setelah itu Allah SWT menyiksanya dengan neraka Jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."
Lalu Allah SWT menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hambaMu dan Kamu adalah Tuhanku."
Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah SWT mewajibkan puasa. Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat. Oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, kerana kalau nafsu yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.
Namun, masih ramai lagi insan yang tak menyedari hakikat ini…biarpun ada yang menyedarinya tetapi seringkali tidak mengendahkannya. Inilah rupanya manusia apabila meletakkan agama di bawah dan meletakkan nafsu di atas.
Oleh itu, dalam bulan yang mulia ini, marilah kita sama-sama sucikan hati dengan bertaubat dan kembali kepada fitrah asal kejadian. Dekatkanlah diri kita kepada Allah SWT kerana hidup kita sebagai khalifah di muka bumi ini hanya untuk mendapatkan keberkatanNya dan mencari bekalan untuk menampung timbangan pahala di padang Mahsyar nanti. Ambillah peluang yang ada ini juga untuk kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi ke rumah sanak saudara untuk kita saling bermaaf-maafan sesama muslim. Sesungguhnya Islam itu bersaudara dan ingatlah bahawa Allah SWT tidak menyukai orang yang bermusuhan dengan saudaranya sendiri.
Ingin ditegaskan di sini, jangan sesekali membenarkan diri dikuasai oleh nafsu kerana ia adalah punca segala maksiat dan dosa. Tidaklah sia-sia Allah SWT mewajibkan kita berpuasa di bulan Ramadhan kerana salah satu tujuannya adalah untuk mendidik jiwa supaya mengawal nafsu yang degil. Kita menahan lapar dan dahaga, menjaga pandangan, menjaga pendengaran, memperbaiki adab dan akhlak, mendirikan solat berjemaah dan sebagainya. Semua itu adalah cara kita mendidik diri supaya tidak menuruti nafsu.
Maka, janganlah kita sia-siakan pengorbanan dan perjuangan kita yang zahirnya kelihatan sedikit tetapi hakikatnya besar kesannya terhadap hidup kita pada hari-hari berikutnya. Sama-samalah kita memohon doa kepada Allah SWT supaya mengekalkan Islam dan Iman yang diberikan ini serta memohon agar sentiasa dikurniakan taufiq dan hidayahNya supaya tidak sesat dalam agamaNya. Amin…..
Sabtu – 4 Oktober 2008 bersamaan 4 Syawal 1429 H – 3:18 p.m.
No comments:
Post a Comment