'Aid Mubarak 1430H

Assalam’alaykum wbt,

Ramadhan yang dirindui kini tiba lagi… menyeru kita seluruh umat islam menunaikan ibadah puasa. Perintah puasa telah diwajibkan Allah dalam firmanNya;

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. (Al-Baqarah : 183)

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dengan yang batil), kerana itu barangsiapa di antara kamu menyaksikan (masuknya bulan ini), maka hendaklah ia puasa”. (Al-Baqarah : 185).



Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh barakah. Pada bulan ini pintu syurga dibukakan dan pintu neraka ditutup serta syaitan-syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini juga pelbagai peristiwa penting umat islam berlaku antaranya al-Quran diturunkan, tersetusnya perang Badar, pembukaan Kota Mekah, peristiwa perjalanan Nabi saw ke Tabuk, Islam sampai ke Yama, penyerahan Bandar Thaif, Islam membuka Andalus dan banyak lagi. Bulan ini penuh dengan kemuliaan, terhimpun dengan pelbagai keindahan… keindahan dalam beribadah, beramal dan mengidupkan sunnah. Bagi umat islam inilah bulan untuk memperbanyakkan amalan berbanding bulan-bulan yang lain. 

Dari Abu Hurairah r.a: Bahawa sesungguhnya Rasulullah saw pernah bersabda: Ketika datang bulan Ramadhan; Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu Jannah dibuka, pintu Neraka ditutup, Syaitan-syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilanya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya (tidak beramal baik di dalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini). (HR Ahmad, Nasai dan Baihaqy).

Sebelas bulan kita hidup bersama dengan godaan syaitan dan nafsu, namun pada bulan ini kita dibebaskan daripada mereka yang mana syaitan dibelenggu dan nafsu ditundukkan…maka inilah peluang untuk kita memperbanyakkan ibadah kepada Yang Maha Kuasa. Sebulan yang Allah berikan ini sebenarnya cukup untuk memperbaiki diri insan dalam menghadapi serangan-serangan para syaitan durjana pada bulan-bulan yang mendatang. Kerana itulah kita tidak boleh menjadikan puasa ini hanya sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata. 

Kerana hakikatnya puasa itu bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata bahkan untuk melatih diri menundukkan nafsu yang degil. Nafsu jika dibiarkan ia akan memusnahkan diri seseorang hamba itu… maka, ia mestilah dilemahkan sehingga tak mampu memperdaya lagi. Puasa adalah salah satu jalan untuk menundukkan nafsu, kerana berlapar dan dahaga adalah dua martabat yang dapat melemahkan nafsu seorang hamba. 

Oleh itu, marilah kita berusaha menjadikan Ramadhan kali ini sebagai landasan untuk memperbaiki diri dengan bermuhasabah diri, memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat, bersedekah dan segala amal kebajikan yang mampu kita laksanakan. Semoga dengan amalan-amalan di bulan barakah ini memberikan suatu kekuatan untuk istiqamah di bulan-bulan yang berikutnya. Dan mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa yang tinggi martabanya di sisi Allah. Wallahua’lam

Klik [LINK] untuk lihat artikel Ramadhan yang lepas.

No comments:

Post a Comment