1431H

Assalamualaykum wbt.

Segala pujian bagi Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang telah melimpahkan rahmat dan hidayah-Nya kepada hamba-hamba-Nya sehingga ke hari ini. Syukur pada Ilahi dengan nikmat islam dan iman yang dimiliki hingga ke saat ini. Semoga ia menjadikan kita hamba yang bersyukur dan bertaqwa. Selawat dan salam atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallah 'Alayh Wasallam, ahli keluarganya serta para sahabat radiallahu ‘anhum. Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan mereka yang mendapat syafaat baginda di Mahsyar kelak.

Memang pantas masa berlalu. Rasanya seperti semalam baru dilahirkan. Seolah-olah baru pertama kali melihat dunia dan menjejakkan kaki di sini. Tapi rupanya kita tertipu oleh diri yang sentiasa menurutkan nafsu jahatnya demi menakluki dunia fana ini. “Apa yang terfikir dibenakmu sehingga kau tega untuk menjadi teman kepada nafsumu yang keji? Atau mungkin ilmu itu belum sampai ke pengetahuanmu? Carilah ilmu itu seumur hidupmu…mudah-mudahan kau mengenal yang hak dan batil”

Ingatlah, suatu saat kita akan ditanya tentang apa yang kita kerjakan seumur hidup ini? Setiap anggota akan membuat pengakuan yang benar tanpa ada satu pun yang terlindung di hadapan al-Hasib. Andai kita merasa aman ketika ini dengan dosa-dosa yang menggunung, merasa indah dengan fatamorgana duniawi maka sedarlah bahawa kita ini sebenarnya sudah tergolong dikalangan orang yang terpedaya dan diperdaya oleh Allah sendiri.

Mungkin ada yang mempersoalkan, mengapa Allah sanggup memperdayakan kita? Cubalah renung pada diri, apakah selama ini nikmat-Nya yang banyak kepada kita itu kita syukuri? Apakah selama ini kita melaksanakan sesuatu sesuai dengan syariat yang telah digariskan dalam al-Quran dan al-Hadis? Bagaimana pula dengan hukum islam yang kita permainkan dan kita pandang remeh tentang perlaksanaan dan kesannya? Hakikatnya sudah banyak kerosakan yang kita lakukan di dunia ini bahkan tanpa segan silu pula kita menyalahkan al-Haq. 

Bila manusia sudah menjadikan nafsu sebagai pemimpin kepada akalnya, maka inilah yang akan terjadi… mereka melihat segala yang buruk itu indah, yang keji itu mulia, yang salah itu benar sehingga menjerumuskan diri mereka ke lembah yang keji dan hina…yang menempatkan darjat mereka lebih rendah dari binatang. 

Renungkan kembali perjalanan hidup ini… Siapa kita? Apa tujuan hidup kita sebenarnya? Apa tanggungjawab kita di dunia ini? Ke mana destinasi akhir yang akan dituju? Bagaimana pula bekalan untuk ke sana sedangkan perjalanannya terlalu jauh? Apakah dengan bekalan yang ada pada saat ini sudah cukup untuk membawa kita ke sana? Siapakah yang akan kita temui? Dan berbagai-bagai persoalan yang lain. Andai persediaan itu tidak dilakukan dari sekarang, belum tentu esok kita berkesempatan untuk melakukannya. Sedarlah bahawa usia hidup ini tidak lama, bahkan ajal maut itu sendiri tak diketahui, maka mengapa kita benar-benar yakin bahawa kita masih berpeluang menikmati hari esok? Berfikirlah sebelum melakukan sesuatu. Berusahalah mencari ilmu yang bermanfaat yang akan mengeluarkan diri dari kejahilan yang menyesatkan. 

Singkap kembali lembaran-lembaran sirah umat Islam. Bagaimana perjalanan dakwah Rasulullah Sallallah 'Alayh Wasallam menyebarkan islam kepada umatnya dengan penuh gigih. Pelbagai cabaran dan dugaan dihadapi dengan penuh ketabahan sehingga terjadinya peristiwa hijrah. Dari situlah bermulanya pembinaan sebuah negara islam pertama yang mana mampu menghidupkan toleransi dan keharmonian dikalangan penduduk Madinah dan hal ini tidak dapat dinafikan oleh catatan sejarah. Dari situ jugalah kemenangan demi kemenangan diraih oleh umat islam. Semuanya demi menegakkan kalimah tauhid di muka bumi ini. Ambillah iktibar daripadanya…mudah-mudahan pintu hati ini akan terbuka untuk berada di jalan yang benar dan berusaha ke arahnya. 

Kini sudah 1431 tahun peristiwa hijrah itu berlalu…namun amat menyedihkan kerana islam pada hari ini sangat menderita. Bukan kerana ujian yang hebat tetapi kerana umat islam zaman ini tertipu oleh syaitan dan nafsu. Mereka sanggup menggadaikan agama demi memenuhi kehendak nafsu durjana. Mereka sanggup menjual agama demi kemewahan yang melimpah-ruah. Mereka juga sanggup membunuh agama demi merebut dunia dan isi-isinya. Betapa kejinya manusia seperti ini…Na’uzubillah min zalik.

Justeru, apa takrifan Hijrah pada diri kita sebenarnya? Jika ‘HIJRAH’ itu diertikan sebagai perpindahan, maka Hijrahkanlah hati dan fikiran kita ke arah yang benar, terang dan selamat. Apa yang kita lakukan ketika ini fikirkan apa kesannya nanti di Akhirat. Jika hari ini api yang membakar itu mampu membuatkan kita merasa sakit, apakah kita sanggup menghadapi api Neraka yang jauh lebih dahsyat panasnya, yang bahan bakarnya dari manusia sendiri? Jika kita merasa seronok dengan nikmat dunia yang sedikit ini, bagaimana agaknya rasa nikmat Syurga yang jauh lebih indah itu? 

Marilah kita menjadi umat islam yang cemerlang akalnya, hatinya dan agamanya. Hijrah itu menjadi asas kepada kegemilangan umat islam. Oleh itu sesuailah jika dikatakan umat islam yang belum atau tidak mahu berhijrah sebagai orang yang tidak cemerlang dan bukan orang yang berjaya kerana mereka tidak mahu membebaskan diri dari pimpinan syaitan dan nafsu yang menyesatkan. Berhijrahlah daripada kebodohan kepada kebijaksanaan, daripada kejahilan kepada kefaqihan, daripada keburukan kepada kebaikan, dan daripada kesesatan kepada cahaya kebenaran. 

Moga kita dipermudahkan jalan mencari kebenaran yang menghantarkan kita kepada ketaqwaan yang tinggi nilainya di sisi Allah. Wallahua’alam.


Besar harapan insan untuk bertemu Tuhan
Namun apakah benar jalan yang ditempuh?
Pastinya jalan kebenaran itu penuh duri dan berliku
Sabar dan doa itulah kekuatan
Ilmu yang haq menyuluh ke jalan terang
Moga Allah memudahkan segalanya
Moga menjadi insan bertaqwa


SALAM MAAL HIJRAH 1431H

******************************************

كل عام أنتم بخير و في طاعة الله

No comments:

Post a Comment