Berusahalah Untuk Ikhlas

Begitu pantas masa berlalu, sederas aliran darah yang mengalir dalam jasad…maka begitu jualah umur yang semakin meningkat…dulunya bergelar kanak-kanak, kini sudah menginjak dewasa… tetapi sedarlah akan hakikat bahawa usia kita semakin berkurang…semakin hampir kepada waktu yang dijanjikan iaitu kematian.

Ke mana pergi, ada saja cerita yang dibualkan…di tempat kerja, rumah, kedai dan sebagainya. Kebanyakannya menyuarakan keluhan masalah masing-masing. Bila kita dijadikan tempat meluah, apa sajalah yg boleh dibuat. Untuk bersetuju kepada yang jelas salah, tidak mungkin sekali!!! Jika mampu, bawa mereka berfikir ke arah positif, tapi jika tak mampu hanya boleh berdiam diri sahaja.

Memang sulit untuk memahami karenah manusia… lahiriah yang baik tapi dalaman penuh dengan tipu daya…begitulah sebaliknya. Letih memikirkan orang lain…rupanya jawapannya ada pada diri sendiri… untuk mendapat yang baik, semuanya bermula pada diri…

“Awak muda lagi, ada banyak masa lagi”.

Seringkali ungkapan itu dituju kepada diri…entahlah, tak berani untuk meng-iyakan. Ajal itu tak mengenal erti muda atau tua. Mungkin saja esok atau sebentar lagi giliran kita, maka apakah waktu itu masih panjang untuk memperbaiki diri? Tak perlu sibuk menghitung panjangnya waktu, tetapi sibukkanlah diri menghitung berapa banyakkah ilmu yang masih belum diamalkan. Kerana ilmu tanpa amal itu sia-sia belaka dan ketahuilah bahawa ilmu itu hanya dapat dinikmati setelah diamalkan.

“Ditelan mati emak, di luah mati ayah”

Itulah peribahasa melayu yang terlintas difikiran bila berdepan dengan situasi yang memerlukan diri membuat keputusan. Serba salah dibuatnya…tak tahu apa yang harus dilakukan. Cuma mampu berdoa dan berserah pada Tuhan agar ditunjukkan jalan dalam membuat pilihan. Moga setiap tindakan mendapat keredhaan-Nya.

Hidup ini terlalu singkat untuk membenci. Sakit dan parah menanggung karatnya hati… resah gelisah menanti hari… bilakah semua ini akan berakhir? Usah memanjangkan persoalan, kelak kita pula yang terbelit dgn soalan. Tetapi cubalah ikhlaskan hati menghadapi mehnah hidup…hanya itu yang mampu menenangkan jiwa. Bertafakur memuhasabah diri…pasti terungkai hikmah yang tersirat. Bersabarlah walaupun pahit…yakinlah bahawa kemanisan itu pasti hadir, andai bukan di dunia…pastinya di Akhirat sana. Insyaallah.

Wallahua’alam.

No comments:

Post a Comment