Hentian Perjalanan

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin. Puji dan syukur hanya pada Tuhan yang Esa yang mengurniakan segala nikmat kepada sekalian makhluk di langit dan bumi. Tatkala udara dihirup terasa nikmatnya meneruskan kehidupan yang sihat. Tatkala udara dihembus terasa bimbang tak berpeluang bersujud lagi di bumi. Ajal dan maut dalam pengetahuan-Nya. Apabila tiba masanya, tidak akan terlewat walau sesaat. Mudah-mudahan hasanah yang diperoleh dihujung riwayat ini. Allahumma ikhtim La-na Bi Husni al-Khotimah Wa La Takhtim ‘Alay-na Bi Su’ al-Khotimah.

Selawat dan salam atas junjungan tercinta Habibuna Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam dan seluruh Ahl al-Bayt. Moga pengakuan cinta dan rindu kepada baginda menghanyutkan kita dalam lantunan mahabbah berupa selawat, maulid, qasidah dan sebagainya yang dengannya terhubung hati kita kepada baginda, seterusnya menghubungkan pula kepada Allah Jalla Wa ‘Ala. Allahumma ij‘al-na Min Ahli Syafaat Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam.

Sejak awal tidak berminat untuk berhubung dengan rakan melalui laman sosial yang ada. Selepas mencuba dari satu laman ke satu laman sosial yang lain tidak menemukan apa-apa yang dirasakan cukup bermanfaat buat diri. Namun pengajian di universiti memaksa diri menggunakannya juga. Walaupun terasa letihnya mengikut peredaran masa yang sentiasa berubah ini, Alhamdulillah dalam pencarian ini ditemukan dengan sahabat-sahabat yang mulia yang hatinya tulus mencari cinta yang diredhai iaitu cinta Allah dan Rasul-Nya. Melalui mereka-lah banyak manfaat ditemukan di sini. Semoga Allah Jalla Wa ‘Ala merahmati usaha-usaha mereka menarik manusia ke jalan Allah.

Namun kebelakangan ini agak terganggu sehingga terasa waktu terbuang sia-sia. Cuba pelbagai cara untuk memulihkannya namun masih terasa gangguan itu. Mengkoreksi diri hingga terdetik suatu perkara. Bagaikan mengerti apa yang sedang melanda diri tika ini. Mungkin kerana terlalu kerap berfacebook membuatkan diri leka dan alpa. Walaupun tak dinafikan di dalamnya banyak seruan dan ajakan kepada kebaikan, namun kadangkala hati ini perlukan waktu untuk dilayani oleh tuan yang dimanahkan menjaganya.

Rupanya hati ini ingin diberikan perhatian dan layanan mesra dari tuannya. Astaghfirullah, hak hati diabaikan lagi. Kalam nasihat itu sememangnya baik dan mendidik jiwa namun kadangkala memerlukan masa untuk meresapkannya ke dalam diri. Berikanlah ruang untuk mendengar jeritan batinmu sendiri kerana mereka berhak mendapatkannya. Semoga Allah Jalla Wa ‘Ala membukakan jalan mentafsir diri.

Kesesakan dunia yang meletihkan
Menyesakkan jiwa yang inginkan ketenangan

Seruan ‘uzlah kedengaran lagi
Meminta ruang memperbaiki diri

Batinmu menjerit sepi
Meminta agar haknya didengari
Mengapa mengabaikan raja di dalam diri
Sedangkan nazrah (pandangan) Allah tertuju kepadanya?
Andai hatimu gersang…mampukah matamu melihat kebenaran?
Andai hatimu resah…mampukah lisanmu mengungkap hikmah?
Apatah pula jika hatimu mati, bagaimana mungkin kau dilihat Ilahi?

Lihatlah rupa kalbumu
Kikislah kotoran yang berdebu
Hakikat hidupmu bukan pada jasad yang bisa menipu
Hakikat hidupmu terpancar dari segumpal daging yang membeku
Andai disucikan dengan nur iman, pasti mulialah pekerti
Andai dihanyutkan dalam zulmat, pasti hinalah peribadi

Jalan jelas terbentang
Pilihan berada di tangan
Hanya kehendak diri yang perlu ditawan
Moga taufiq-Nya mengiringi perjalanan

Moga Allah menunjukkan jalan kebenaran yang dipenuhi cahaya keimanan yang bersinar terang dalam jalan menemui-Nya. Cukuplah kembara hidup dihentikan di sini dahulu. Dalam membuat penyelidikan pun, pasti ada ruang untuk menganalisis maklumat yang diperoleh. Maka, apakah salah jika diri ini juga mengambil langkah yang sama menganalisis pertemuan di sepanjang perjalanan yang dilalui? Moga langkah ini diberkati dan direstui-Nya.

Mungkin sedikit berbeza dengan tindakan sebelum ini yang berdiam tanpa berita atau maklumkan terlebih dahulu jika hendak mengasingkan diri. Itu kerana kejahilan yang lalu. Maaf kerana bertindak melulu. Setelah mempelajari bab al-Sulhu (perdamaian) dalam talaqi bersama Tuan Syeikh yang dikasihi kerana Allah Jalla Wa ‘Ala, al-Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Abdullah al-Banjari al-Makki (semoga Allah memeliharanya), baru memahami hakikat berterus-terang supaya tidak menyakiti orang lain dalam diam. Maka kali ini dinyatakan juga walaupun kelihatan seperti mengheboh-heboh perkara yang tidak penting. Mudah-mudahan ada doa yang bisa dikirimkan buat diri. Moga diberikan ruang untuk memahami.

Benarlah kata para salafuna soleh, kerap berhubung dengan manusia itu boleh membawa kepada penyakit hati terutama jika tidak ada langkah atau dinding yang membentenginya berupa amalan dan mujahadah. Bermuamalah itu baik, tetapi terlalu kerap itu membimbangkan, terutama jika bi’ah yang wujud tidak mampu membawa manusia mengingat Allah dan Rasul. Ya, akui hakikat ini ketika bersama mereka yang benar-benar tulus menuntut ilmu…bicara mereka hanya sedikit. Mungkin jika ada ruang-ruang kosong yang membenarkan untuk berbual sahaja. Selebihnya ditumpukan sepenuhnya untuk mendengar kalam guru yang mulia. Itulah yang menjadikan mereka lebih mulia dan berbeza dari yang lain.

Sungguh kagum dan terharu melihat peribadi mereka. Bagaikan terasa hidup sezaman dengan para ulama dahulu yang kini hampir tidak ditemukan kerana terlalu sedikit yang benar-benar seperti mereka. Syukurlah masih diberikan peluang menikmati majlis ulama. Terubat rindu dan harapan untuk menikmati kehidupan yang diimpikan selama ini. Mudah-mudahan direzekikan untuk tetap berada dalam majlis ulama yang diberkati Allah ini. Allahumma Amin.

Mungkin juga selepas ini akan terlepas banyak info berguna dari laman facebook berupa kuliah-kuliah pengajian dan majlis-majlis ulama yang mulia. Namun setelah berfikir panjang, bukan itu sahaja medium yang boleh dirujuk. Bahkan rasa kurang hormat meletakkan kalam ulama dan gambar mereka yang mulia sebaris dengan iklan-iklan yang agak pelik disekitarnya. Apapun, hakikatnya diri ini tak memerlukan alasan dan hujah untuk dijelaskan kerana perjalanan hati dan diri setiap manusia itu tidak sama. Mungkin pada kita ia perlu tetapi pada yang lain tidak perlu. Tak mengapalah, saya tidak bertanyakan jawapan sama ada dibenarkan atau tidak, sebaliknya ini adalah suatu keputusan setelah membuat pertimbangan. Tidak perlu memikirkan, hanya perlu menghormati. Mudah-mudahan ada ruang untuk memahami.

Keyakinan saya lebih kuat pada hubungan hati. Dan pastinya itu lebih menguji nilaian ukhwah. Moga bertemu dalam doa yang tulus biarpun hanya di alam ruh. Sama-sama kita menyucikan rohani agar ruh ini bisa berhubung dengan izin-Nya dan ketahuilah hubungan ini lebih suci dan murni. Moga dalam pemeliharaan Allah Jalla Wa ‘Ala sentiasa. Wallahua’alam.

No comments:

Post a Comment