Showing posts with label Zikrullah. Show all posts
Showing posts with label Zikrullah. Show all posts

Jom Beramal!!!

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Jalla Wa 'Ala, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Habibuna Sayyiduna Muhammad Sallallah 'Alayh Wasallam. Moga ditempatkan bersama kekasih-Nya yang tercinta dan bersama para solihin di dunia dan di akhirat. Allahumma Amin.

Berikut adalah antara zikir yang boleh diamalkan di bulan mulia Ramadhan ini... Mudah-mudahan Ramadhan kita sentiasa diisi dengan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah dan Rasul.

Pesanan Luqman Al-Hakim

Hai anakku! Ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

Orang- orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga. 

Hai anakku! orang yg merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH. 

Hai anakku! Seandainya ibu bapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibu bapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman. 

Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam. 

Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH. 

Hai anakku! Seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal-hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti. 

Hai anakku! Engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

Hai anakku! Janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan. 

Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya. 

Hai anakku! Bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja. 

Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

Hai anakku! Janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja kerana pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan. 

Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang-orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka. 

Hai anakku! Bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya. 

Hai anakku! Bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah. 

Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

Hai anakku! Bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu. 

Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yg akan mendatangkan cela pada dirimu. 

Hai anakku! Janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya. 

Hai anakku! Usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain. 

Hai anakku! Janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatupun yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu. 

Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

Hai anakku! Bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan. 

Hai anakku! Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Bermunajat Kepada Allah...

Selain berdoa, berzikir adalah salah satu cara manusia untuk berhubung dengan Allah SWT. Zikir boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja melainkan ditempat-tempat kotor seperti di tandas. Berzikir bermaksud mengingati Allah dengan menyebut asma’-asma’Nya baik dalam keadaan duduk, berbaring, berdiri dan sebagainya.

Ibnul Qayyim berkata: “Membaca al-Quran itu lebih utama dari zikir dan zikir lebih utama dari doa. Ini apabila dipandang dari sudut masing-masing tanpa melihat kepada perkara-perkara lain yang berhubungan dengan ketiga-tiganya. Kecuali dalam keadaan tertentu, doa atau zikir boleh sahaja menjadi lebih bermanfaat baginya dari membaca al-Quran”

Zikir Munajat merupakan kaedah bermunajat yang telah disusun oleh ulama silam untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Zikir ini jika terus diamalkan dapat membantu melunakkan jiwa, menenangkan hati, membentuk pekerti mulia, menggugurkan sifat-sifat keji, menyerlahkan personaliti muslim sejati dan menjadikan diri kekasih Allah.

Ma’qil bin Yasar r.a. berkata, bahawasanya Nabi saw bersabda, Allah SWT berfirman : ”Wahai anak Adam! Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nescaya akan Kupenuhi hatimu kekayaan dan Kupenuhi juga kedua tanganmu rezeki. Wahai anak Adam! Janganlah engkau berjauhan denganKu, nanti akan Kupenuhi hatimu kemiskinan, dan Kupenuhi juga tanganmu dalam kesibukan” (Riwayat Hakim)

Saidina Uthman Bin Affan r.a. berkata: Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah hatinya selalu berniat suci, lidahnya selalu basah dengan zikrullah, kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa), segala perkara dihadapaiya dengan sabar dan tabah dan mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia”

Berikut adalah zikir munajat yang biasa kita baca selepas menunaikan solat fardu. Jadikanlah ia suatu amalan kerana ini adalah salah satu bukti kepada Allah bahawa kita sentiasa mengingatiNya. Banyak lagi zikir-zikir yang boleh diamalkan tapi ana tumpukan kepada zikir munajat ini dahulu. Selain solat fardu, hiasilah malam-malam kita dengan Qiyamul Lail dan isilah Qiyamul Lail itu dengan bermunajat kepada Allah…berzikirlah sebanyak mana yang mampu dan istiqamahlah dalam mengamalkannya.

أسْتَغْفِرُاللهَ العَظِيم الَّذِي لاَ إلهَ إلاَّ هُوَ الحَيُّ القيُّوم وَأتُوبُ إلَيْهِ

Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah


لا إله إلاَّ الله وحده لاَ شريك له، له الملك وله الحمدُ وهو على كلِّ شئٍ قديرٌ

Tiada Tuhan yang lain melainkan Allah yang Maha Esa. Tiada sesuatu yang menyengutu bagi-Nya. Tuhan yang memiliki segala kekuasaan. Tuhan yang memiliki segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan Mematikan. Dialah Allah Tuhan yang Berkuasa atas segalanya


الله - الله - الله - الله يا الله - الله يا الله - الله يا الله - الله يا الله - الله يا الله

الله - الله - الله - يا الله - الله - الله - الله - يا الله - الله يا الله - الله يا الله - الله يا الله

Allah- Allah-Allah-Allah ya Allah, Allah ya Allah- Allah ya Allah- Allah ya Allah, Allah-Allah-Allah- ya Allah, Allah-Allah-Allah ya Allah, Allah ya Allah-Allah ya Allah-Allah ya Allah.


فَسُبْحَانَ مَنْ لاَ يَقدَ رُ الخَلقُ قدَْرُهُ وَمِنْ هُوَ فَوْقَ العَرْشِ فَرْدٌ موَّحَّدٌ مَلِيكٌ عَلى عَرْشِ السَّمَاءِ مُهَيْمِنُ لِعِزَّتِهِ تَعْنُوْ الوُجُوهُ وَتَسْجُدُ.

Maha Suci Tuhan (Allah). Tiada kuasa makhluk mengatasi kudrah kekuasaan-Nya, Dialah Tuhan (Allah) di atas singgahsana Arasy, dengan kerana Esa dan Tunggal, memiliki segala di atas Arasy langit dengan senang dan mudah demi kerana kemuliaan-Nya semua wajah-wajah sujud dan tunduk kepada-Nya.


حَسبِي رَبِّي جَلَّ اللهِ، مَا فِى قَلبِي غَيْرُاللهِ، نورُ مُحمَّدٍ صَلَّى اللهِ .

Cukuplah perhitunganku dengan Tuhanku yang Maha Mulia. Tiada sesuatu yang lain di hatiku selain daripada Allah, nur Muhammad s.a.w


لَيْسَ لهاَ مِن دُ ونِ اللهِ كاَشِفَة ٌ .

Tiada sesuatu yang lain yang tersingkap selain daripada Allah


لاَ إلهَ إلاَّ اللهُ المَلِكُ الحَقُّ المبينُ، مُحمَّدٌّ رَسُولُ اللهِ، صَادقُ الوَعْدِ الأَمِينِ .

Tiada Tuhan melainkan Allah. Tuhan yang memiliki. Tuhan yang hak. Tuhan yang benar (nyata). Muhammad pesuruh Allah, benar segala janjinya lagi dipercayai


أستغفر الله إنَّ اللهَ كاَنَ تَوَّابَا.

Hamba memohon keampunan kepada-Mu ya Allah, sesungguhnya Engkau yg Allah Maha Penerima Taubat


يا الله يا الله يا الله يا الله

Ya Allah, ya Allah, ya Allah, ya Allah


تبنا الى الله، ورجعنَا الى الله، وندِمْنَا على مَا فعلْنَا

Kami memohon taubat kepadaMu ya Allah, Kami kembali kepadaMu ya Allah, Kami sesungguhnya menyesal atas perbuatan maksiat yang pernah kami lakukan


تُبنَا يا الله، تُبنَا يا الله، تُبنَا يا الله

وَرَجَعْنَا يا الله، وَرَجَعْنَا يا الله، وَرَجَعْنَا يا الله

وَنَدِمْنَا يا الله، وَنَدِمْنَا يا الله، وَنَدِمْنَا يا الله

Kami bertaubat kepadaMu ya Allah (3x). Kami kembali kepadaMu ya Allah (3x). Kami sesungguhnya menyesal atas perbuatan maksiat yang pernah kami lakukan (3x)

************************************************

“Dengan berzikir kepada Allah, gumpalan ketakutan, kecemasan dan kesedihan, akan lenyap. Lebih dari itu, dengan berzikir kepada Allah tompokan beban hidup dan masalah kehidupan akan hilang” --(kata hikmah)--

Marilah kita jadikan doa dan zikrullah sebagai amalan harian, sesungguhnya doa itu senjata mukmin dan zikrullah itu penenang jiwa... Maka, sucikanlah hati kita dengan menyebut nama-nama Tuhan Yang Esa, sebagai tanda kita mengingatiNya...Ikhlaskanlah hati dalam beribadah agar amalan kita tidak menjadi sia-sia belaka...

Wallahua’alam, Wassalam.