Bismillahirrahmanirrahim.
Segala pujian bagi Allah Jalla Wa ‘Ala atas segala nikmat dan kurniaan-Nya yang tidak terhingga. Seketika menyaksikan keindahan alam ciptaan-Nya, bertafakurlah. Moga dengan tafakur itu menerbitkan zikir yang tidak putus-putus. Tatkala waktu terluang, bermuhasabahlah. Agar dengan muhasabah itu meningkatkan lagi ‘ubudiyah kepada Allah Jalla Wa ‘Ala.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam. Insan mulia yang suci nuraninya. Menjadi qudwah pada seluruh makhluk di dunia. Menyebut tentangnya menghadirkan rindu yang direstu. Teruskan mengungkapkan mahabbah kepada kekasih agung-Nya itu. Mudah-mudahan kita dihimpunkan bersama baginda di akhirat kelak. Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Alihi Sayyidina Muhammad.
Menyingkap tabir yang menutupi pandangan di luar sana. Subhanallah, segar dan damai suasana di waktu subuh. Betapa alam masih tidak jemu menghiaskan pandangan mata ini dengan kecantikan dan keindahannya. Subhanallah, Indahnya Pencipta yang menciptakannya. Mudah-mudahan hati tidak dibutakan dari mengakui kebesaran-Nya.
Mukmin Sejati – Hasnul Jamal
Orang mukmin yang sejati
Jika terbuat dosa
Hatinya luka punah, sedih dan derita
Jiwanya parah tak boleh melupakannya sepanjang masa
Kalau ia anggota lahir tentu nampak berdarah
Kalaupun sembuh dari lukanya
Namun parutnya masih ada
Begitulah halus perasaan seorang hamba yang berdosa
Ia tak boleh melupakannya sepanjang masa
Bagaimana dia boleh melupakannya
Kerana parutnya masih ada
Ertinya, ingatannya pada dosa tak boleh dilupakannya
Teringat sahaja jiwanya tersiksa
Teringat sahaja hatinya derita
Payah sekali dia mahu melupakannya
Perasaan ini anugerah dan nikmat dari Tuhannya
Takut dengan dosanya itu
Jadi syafaat padanya
Tersiksa dengan dosa
Derita dengan kesalahan
Dianggap oleh Allah, itulah hukuman pada hamba-Nya
Moga di akhirat kelak terselamat
Daripada siksa neraka
Begitulah hati seorang mukmin
Sentiasa sahaja ia bergelora
Kerana takut dengan Tuhannya
Lebih lagi setelah terbuat dosa
Syahdunya alunan nasyid dendangan Hasnul Jamal, vokalist kumpulan Diwani satu ketika dahulu. Menjentik hati yang buas agar kembali jinak dengan rasa kehambaan. Liriknya biasa tetapi mampu menusuk ke dalam jiwa. Allah Akbar! Moga perkongsian ini ada manfaatnya buat kita.