Bismillahirrahmanirrahim.
Sesekali ingatan kepada peristiwa lepas menyapa di benak. Seringkali jua diri ini menepis sapaannya. Mungkin kerana sukar untuk menerima sebuah hakikat kebenaran. Dikhianati…tercalar nilai kepercayaan pada sebuah persahabatan. Namun Tuhan Maha Mengetahui, apa yang terbaik buat hamba-Nya…mungkin jua kerana itu Dia terus-menerus mengingatkan memori silam yang pedih dan pahit itu. Tujuannya hanya satu…berfikir!
Seketika diri ini termangu, merenung maksud tersirat dibalik yang tersurat… Apakah ia sekadar mengingatkanku agar jangan mudah mempercayai orang lain? Itu ada benarnya, tapi bukan keseluruhannya. Bila tak berhasil menemui jawapannya, maka ia dibiarkan berlalu begitu sahaja. Mungkin sekadar perasaan pada sebuah lamunan yang tak berkesudahan.
Dalam tak sedar, bayangan itu masih menyinggah…menarik diri, hati dan fikiran ini untuk mencari rahsia yang tersembunyi…hikmah yang terselindung. Pasti ada mesej yang ingin disampaikan.
Pada Yang Esa ku adukan segala…
Merintih, merayu, mengharap belas ehsan-Nya.
Agar ditunjukkan jalan kebenaran dan keselamatan.
Agar dugaan ini berjaya diharungi.
Kerana menjadi mukmin bertaqwa itu matlamat hidupku,
Menempa Syurga abadi itu cita-citaku.
Berikanlah aku petunjuk Ya Hadi,
Agar jalanku terang disuluh cahaya melalui lorong berliku ini.
Peliharalah daku Ya Muhaimin,
Agar langkahku terhindar dari dosa dan noda.
Tatkala hal yang sama diungkit lagi oleh pihak lain, diri kembali terpaku lantaran mata dan hati jauh mengimbau… mengapa setiap kali dibicarakan, hati ini akan sakit? Bukan sakit yang biasa, tapi sakit kerana pedihnya hati menanggung beban. Bagaimana dapatku hapuskan beban ini Ya Tuhan?
Ya Allah, apakah aku ada menyimpan hasad atau dendam dibalik kisah ini? Ya ‘Aziz, seandainya ikhlas itu adalah syaratnya, maka kini aku ikhlaskan seluruh jiwa ragaku menerima cubaan ini. Ya Rahman, jika redha itu adalah solusinya, maka bersaksilah bahawa kini aku berlapang dada menerima takdir-Mu… cukuplah sakit ini mendera hati dan perasaanku… jangan biarkan ia berlarutan, sebaliknya balutilah ia dengan keampunan-Mu. Agar terubat luka semalam dengan sentuhan kasih dan sayang-Mu.
Pernah hati ini terguris
Dengan fitnah dan tohmahan menghiris
Sehingga terasa diri ini hina
Kerana tiada siapa yang sudi membela
Kutabahkan hatiku harungi hidup
Biarpun tiada siapa yang menemani
Keseorangan aku di lautan sepi
Ditinggalkan mereka yang aku percayai
Namun ku tahu ada hikmahnya
Setiap segala yang menimpa diri
Kuserahkan segala padaMu Tuhan
Yang Berkuasa jua Mencipta
Kerana engkau Maha Mengetahui
Segala apa yang terbuku di hati
Ya Allah tidakku terdaya lagi
Menahan dugaan yang mencabar ini
Terasa bagai noktah telah kutemui
Mengakhiri segala yang telah aku mulai
Ya Allah engkau lindungilah aku
Bekalkanlah daku dengan limpahan iman
Agar tabahku menghadapi dugaan
Agar tidakku terhenti di pertengahan
Kini di sini aku berdiri
Bersama harapan yang tulus suci
Agar terbitlah kembali mentari pagi
Setelah malamku berkalut benci
Syukurlah, kini segalanya telah kembali pulih… tiada lagi kesakitan, tiada lagi kebencian, yang ada cuma harapan pada sebuah kehidupan. Moga di akhirnya hasanah yang diperoleh. Mungkin ini rahmat-Nya. Dalam ujian yang kecil, Dia ajarkan banyak perkara…. Di sinilah aku mempelajari erti sabar, ikhlas, redha dan lain-lain. Namun apa yang paling berharga adalah nilaian terindah dalam membina hubungan dengan Tuhan. Mudah-mudahan sentiasa dalam rahmat dan redha-Nya…
******************************************
Hakikatnya, pengalaman lalu bukanlah untuk diri hilang percaya pada yang lain tetapi mengajar erti kasih sayang sesama insan. Perlu memahami dan menghormati hak sesama manusia. Tak dinafikan lagi, tarbiah Allah sangat dalam maksudnya, halus penyampaiannya tetapi indah perasaanya. Moga kita dikurniakan hikmah agar bisa menyingkap siratan makna disebalik setiap suratan ujian. Wallahua’alam.