Kampung Yang Dirindu

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Jalla Wa 'Ala yang masih mengizinkan hati ini terus hidup di saat jasad hampir mati. Yang dengan hidupnya hati itu bisa menyedari dan menginsfi diri. Allah, Tuhan Yang Maha Sempurna, Maha Kaya lagi Maha Berkuasa. Selawat dan salam ke atas insan termulia di sisi Allah Jalla Wa 'Ala habibullah wa habibuna Sayyiduna Muhammad Sallallah 'Alayh Wasallam. Yang dengan kemuliaannya diciptakan alam ini. Baginda dicintai oleh seluruh makhluk di langit dan di bumi. Maka layakkah manusia membenci insan yang dicintai Allah dan makhluk-makhluknya? Berselawatlah sebanyaknya. Beramallah dengan sunnah baginda semampunya. Mudah-mudahan di akhirat kelak kita peroleh syafaatnya yang bisa menyelamatkan kita dari azab Allah yang Maha Keras. Allahumma Solli 'Ala Sayyiduna Muhammad Wa 'Ala Aaihi Sayyiduna Muhammad.


Manusia semuanya berketurunan ahli Syurga kerana insan pertama dicipta oleh Allah Jalla Wa 'Ala datangnya dari sana. Maka bagaimana kelakuan ahli syurga layaknya? Ajarkan aku agar aku tidak berkelakuan seperti ahli neraka yang memurkakan Tuhan. Di dunia ini hampir tidak tersisa manusia yang bisa menunjukkan jalan untuk membawa aku mengenal Tuhan. Hampir-hampir aku berputus asa dalam pencarian itu. Mujurlah Tuhan tidak membiarkanku sendirian. Memang menemukan insan yang benar pegangan agamanya dan beramal dengan sunnah sukar ditemukan hari ini. Tetapi bukanlah bermaksud tidak ada cuma terlalu sukar menemukannya. Umpama barang berharga yang tinggi nilainya. Hanya yang benar-benar mencari akan menemukannya. Itupun dengan cara yang benar pula.

Tuhan tidak pernah mengecewakan hamba-hamba-Nya. Terutama mereka yang benar-benar memohon petunjuk dan pertolongan-Nya. Walau kadangkala apa yang diminta dari-Nya tidak diperkenankan, malah diberikan yang lain pula. Rupanya bukanlah permintaan asal itu tidak diperkenankan-Nya malah Dia memenuhi hajat hamba itu dengan jalan yang paling baik sekali. Yang apabila hajat si hamba itu terpenuhi, dia tidak hanya mendapat apa yang dihajatnya selama ini bahkan dia turut memiliki ilmu dan hikmah yang mematangkan dirinya, dia menjadi lebih akrab dengan Tuhannya, lebih hampir menuju syurga-Nya, juga dia semakin mengenali Allah Jalla Wa 'Ala. Allah, betapa indahnya percaturan Allah Yang Maha Mengatur.


Allah, rindu untuk lihat kampung asal di sana. Namun, semua itu hanya dengan rahmat-Nya. Kerna aku tidak tahu apakah aku akan berpeluang menikmatinya atau selamanya tersiksa di dalam neraka. Wal'iyazubillah.

Allah...

اللهم أدخلنا الجنة مع الأنبياء عليهم الصلاة والسلام

Citra Dunia

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, segala pujian kepada Allah Jalla Wa ‘Ala yang menggerakkan hati untuk terus tetap berada di atas jalan-Nya. Nikmat dan rahmat-Nya tidak putus-putus kepada sekelian makhluknya, baik yang taat mahupun yang menderhaka. Pemurahnya al-Rahman terhadap hamba-Nya. Sedang diri ini kerap kali berlaku zalim terhadap kurniaan-Nya. Astaghfirullah al-‘Azhim. Muhasabah dan tafakur ini membuat diri tertunduk malu di hadapan-Nya. Kerap kali kemurahan-Nya dibalas dengan penderhakaan dan maksiat. Ya Ilahi, ampunilah hamba-Mu yang sering mengulangi dosa ini. Allahumma Amin

Selawat dan salam buat junjungan mulia Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam, seluruh Ahl al-Bayt dan para sahabat Radiyallah ‘Anhum. Basahi lidah dengan zikrullah dan selawat sebanyak-banyaknya. Moga keberkatan mengalir dalam diri dan syafaat baginda diperoleh di akhirat kelak. Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Aalihi Sayyidina Muhammad


Menyentuh kisah masyarakat untuk dikaji dan diteliti. Tidak lain hanyalah untuk mengungkapkan hikmah-hikmah yang tersembunyi dibalik peristiwa orang lain. Semua itu ada ‘ibrah untuk dipelajari dan difahami. Pernah terbaca kisah seorang wanita yang ditinggalkan oleh kekasihnya atau orang yang dikasihinya kerana kekasihnya itu sudah bertunang atau menikahi wanita lain. Sukar untuk dia menerima pada awalnya tetapi akhirnya dia redha melepaskan. Namun, yang menjadikan hati wanita itu terus-terusan dalam keadaan sedih dan terluka adalah pada saat dia ingin membina hari-hari hidupnya yang baru dan penuh semangat, dia terus diburu oleh insan yang sudah berstatus tunang orang atau suami orang tadi. Kalaulah orang ramai mengetahui apa yang disembunyikan di dalam hati wanita itu, pasti tidak menyangka bahawa kegembiraan dan keceriaan yang tampak pada wajahnya hanyalah delusi dan lakonan semata. Barangkali manusia mampu untuk melakonkan pelbagai watak, tetapi ketahuilah bahawa anak mata itu takkan mampu menyembunyikan setiap duka atau gembira yang ditanggung. 
“Mengapa terus memburu sedangkan dirimu sudah memiliki kehidupan yang baru?” 
Itu cuma sebuah sketsa kehidupan yang direka atau diolah dalam cerpen dan novel-novel. Namun kali ini realiti kisah ini dihadapkan di hadapan mata sendiri. Apabila orang yang hampir dengan diri melalui kisah ini, membuat diri teringat kembali kisah tersebut. Bukan seorang, tapi tiga orang sudah menghadapi kisah yang sama. Suatu ketika aku bertanya kepada seorang kakak yang pernah melalui peristiwa ini. Hubungan yang agak rapat dengannya membuat diri agak berani untuk bertanya. Tambahan, dia yang aku kenali, tidak bercakap dengan emosi semata tetapi berbicara dengan kebenaran yang nyata. 


“Akak, sebenarnya kenapa lelaki bersikap macam tu sedangkan apa yang mereka buat tu hanya bagi harapan palsu je pada orang perempuan? Kalau berlaku pada seorang je mungkin tak persoalkan sangat. Tapi beberapa orang yang saya kenal pernah lalui cerita yang sama. Kenapa ye? Adakah itu memang sikap mereka atau ada mesej lain disebalik semua tu?” 


“Entahlah. Tak pernah pula terfikir tentang ni. Bila awak tanya baru akak mula nak fikir. Mungkin sebab mereka tak sanggup nak lepaskan tapi tak mampu juga nak dapatkan. Ibarat gantung tak bertali. Macamana rasanya? Tapi itulah, akak ambil pengajaran dari kisah Qays dan Laila (Laila Majnun) yang awak pernah cerita dulu. Yang walaupun Laila dah berkahwin dengan lelaki lain tapi hati dia yang kalau Allah dah tetapkan hanya untuk Qays, dia tetap akan ada untuk Qays. Dan semua tu hanya disembunyikan dalam hati. Dunia bukan tempat untuk mereka tapi tempat mereka adalah di akhirat yang akan menyatukan mereka. Kadang-kadang kalau teringat tu, kena tengoklah. Kalau ingat tu boleh buat kita lemah, ingatan tu datang dari bisikan syaitan. Tapi kalau ingat tu bagi kekuatan dan semakin dekat dengan Allah, Allah-lah yang datangkan perasaan tu. Mohonlah kebaikan daripada Allah. Allah nak kita ingat pada Dia” 

“Habis tu, kalau lelaki tu terus cari dan contact. Macamana? Mesti pedihkan kalau nak teruskan hubungan lagipun tak eloklah kalau ganggu hak orang lain. Boleh tak kalau buat tak tau dan tak payah layan langsung?” 

“Tak payah layan. Biar je dia dengan hidup dia. Kita teruskan je hidup kita. Mungkin dia pun tak perasan tentang tindakan dia tu. Tapi kita yang sedar, kita lah yang perlu bertindak. Memang apa-apapun, perempuan yang kena jaga dan kawal diri dari berlaku fitnah” 


Mengangguk-angguk mengiyakan kata-katanya. Ya, kisah Qays dan Layla bukanlah kisah cinta biasa seperti pasangan galak bercinta hari ini. Kisah mereka takkan mampu difahami oleh sesiapapun kecuali bagi yang ingin mencari kebenaran dan hikmah dari kisah mereka. Ia hanya mampu difahami dengan pandangan mata hati yang inginkan kebenaran. Ia takkan difahami oleh mereka yang menurutkan emosi dan nafsu. Begitu juga ia tidak dapat difahami oleh mereka yang hanya menggunakan akal semata. Kisah cinta mereka adalah kisah cinta sufi yang terpelihara dari dosa dan maksiat. 

Hakikat cinta mereka bukanlah pada diri insan yang dicintai tetapi kepada Allah Jalla Wa ‘Ala yang layak dicintai. Cuma ia diterjemahkan dalam gambaran cinta antara pasangan kekasih. Itulah yang mengelirukan. Dan itulah yang membuatkan manusia menganggap mereka ini taksub dengan cinta duniawi. Hakikatnya, tidak sedemikian. Itu menurut pandanganku setelah meneliti perjalanan hidup mereka dari awal hingga akhirnya. Penelitianku bukan pada kisah cinta mereka sahaja tetapi dari pelbagai aspek. Barangkali Qays digelar Majnun (orang gila) oleh masyarakatnya hingga hari ini, tapi siapa tahu di sisi Tuhan, dia adalah antara hamba yang paling dicintai-Nya? Aku tidak ingin menghukumnya sepertimana masyarakat menghukumnya. Tapi aku ingin mengambil ‘ibrah dari kisahnya. Itulah kisah cinta mengenal Tuhan. Andai dengan pendirian ini masyarakat menghukum aku pula yang gila, ketahuilah aku tidak pernah peduli semua itu. 


Ya Tuhan, 
Berbual dengan-Mu di segenap ruang dan ketika 
Menutur madah rindu dan cinta 
Kadangkala terlihat diri tersenyum ceria 
Kadangkala terpandang diri berbicara sendirian 
Mereka mengatakan aku gila kerana berkelakuan seperti itu 

Apakah mereka tidak pernah merasakan kehadiran-Mu?
Sehingga mereka menuduh aku sedemikian rupa? 
Tidakkah mereka pernah larut dalam munajat kepada-Mu? 
Sehingga mereka dengan mudah menilaiku seperti itu? 

Ataukah dunia memang begitu sifatnya?
Menuduh sesiapa tanpa usul periksa? 
Sungguh aku tak mengerti citra duniawi

Lalu aku biarkan mereka dengan dunianya
Kerana aku mengerti dan meyakini 
Bahawa ada-Mu sempurnalah segalanya 
Sedangkan tanpa-Mu punahlah semuanya 

Ya Shahid, 
Kepada-Mu aku berserah diri sepenuhnya dan selamanya 
Terimalah diriku Ya Rahim

Merenung Dosa

Bismillahirrahmanirrahim

Segala pujian bagi Allah Jalla Wa ‘Ala atas segala nikmat dan kurniaan-Nya yang tidak terhingga. Seketika menyaksikan keindahan alam ciptaan-Nya, bertafakurlah. Moga dengan tafakur itu menerbitkan zikir yang tidak putus-putus. Tatkala waktu terluang, bermuhasabahlah. Agar dengan muhasabah itu meningkatkan lagi ‘ubudiyah kepada Allah Jalla Wa ‘Ala

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam. Insan mulia yang suci nuraninya. Menjadi qudwah pada seluruh makhluk di dunia. Menyebut tentangnya menghadirkan rindu yang direstu. Teruskan mengungkapkan mahabbah kepada kekasih agung-Nya itu. Mudah-mudahan kita dihimpunkan bersama baginda di akhirat kelak. Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Alihi Sayyidina Muhammad

Menyingkap tabir yang menutupi pandangan di luar sana. Subhanallah, segar dan damai suasana di waktu subuh. Betapa alam masih tidak jemu menghiaskan pandangan mata ini dengan kecantikan dan keindahannya. Subhanallah, Indahnya Pencipta yang menciptakannya. Mudah-mudahan hati tidak dibutakan dari mengakui kebesaran-Nya. 



Mukmin Sejati – Hasnul Jamal 

Orang mukmin yang sejati 
Jika terbuat dosa 
Hatinya luka punah, sedih dan derita 
Jiwanya parah tak boleh melupakannya sepanjang masa 
Kalau ia anggota lahir tentu nampak berdarah 
Kalaupun sembuh dari lukanya 
Namun parutnya masih ada 

Begitulah halus perasaan seorang hamba yang berdosa 
Ia tak boleh melupakannya sepanjang masa 
Bagaimana dia boleh melupakannya 
Kerana parutnya masih ada 
Ertinya, ingatannya pada dosa tak boleh dilupakannya 
Teringat sahaja jiwanya tersiksa 
Teringat sahaja hatinya derita 
Payah sekali dia mahu melupakannya 

Perasaan ini anugerah dan nikmat dari Tuhannya 
Takut dengan dosanya itu 
Jadi syafaat padanya 
Tersiksa dengan dosa 
Derita dengan kesalahan 
Dianggap oleh Allah, itulah hukuman pada hamba-Nya 
Moga di akhirat kelak terselamat 
Daripada siksa neraka 

Begitulah hati seorang mukmin 
Sentiasa sahaja ia bergelora 
Kerana takut dengan Tuhannya 
Lebih lagi setelah terbuat dosa 

Syahdunya alunan nasyid dendangan Hasnul Jamal, vokalist kumpulan Diwani satu ketika dahulu. Menjentik hati yang buas agar kembali jinak dengan rasa kehambaan. Liriknya biasa tetapi mampu menusuk ke dalam jiwa. Allah Akbar! Moga perkongsian ini ada manfaatnya buat kita.

Warna-warni Alam

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Jalla Wa 'Ala yang terus-menerus mengurniakan pelbagai nikmat buat hamba-Nya yang sering berlaku nista ini. Nikmat terindah adalah apabila lisan ini terus berzikir memuji-Nya dan berselawat ke atas kekasih-Nya, hati sentiasa terpaut kepada hal-hal yang mendekatkan diri kepada-Nya. Subhanallah, Walhamdulillah... Indahnya hidup bersama Tuhan.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Sayyiduna Muhammad Sallallah 'Alayh Wasallam dan seluruh Ahl al-Bayt. Berselawat dan berqasidah, menerbitkan mahabbah yang luar biasa. Bilakah hari pertemuan itu? Bilakah hari bahagia itu? Ya Allah, himpunkan kami bersama kekasih-Mu Sayyiduna Rasulullah Sallallah 'Alayh Wasallam di Mahsyar dan di Syurga-Mu kelak. Allahumma Amin.

Bertafakur melihat alam ciptaan-Nya. Sungguh indah dan mendamaikan jiwa. Sudah 3 semester ditempatkan di tingkat 4, tingkat paling atas dan blok paling tinggi dari blok-blok yang lain. Jika memandang ke luar tingkap, hanya bumbung blok sebelah yang boleh dilihat. Susunan blok atas kawasan berbukit, begitulah. Tidak rata dan agak pelik sedikit. Tapi dalam pelik itu ada seni yang tersendiri. Subhanallah.

Walaupun ditempatkan ditingkat paling atas, itu tidak melemahkan jiwa dan semangat untuk teruskan pengajian. Mungkin agak lelah sedikit setiap kali mendaki tangga yang banyak tapi semua tu hanya bersifat sementara. Akan hilang setelah berehat seketika. Tak kisahlah, diberi tempat untuk menginap pun sudah cukup bersyukur. Alhamdulillah.

Tidak ada yang lebih indah duduk di aras tinggi ini selain diberi peluang mengamati keindahan langit yang membiru dan warna-warni alam ciptaan-Nya. Allah, damai sungguh tatkala melihat pemandangan langit dan awan. Pasti kerana Dia tahu apa yang bisa membahagiakan jiwa hamba-Nya ini. Maha Suci Allah. Terbayang keluasan rahmat-Nya yang tak berpenghujung hingga terbitnya pengharapan setelah ketakutan. Melihat ke ufuk langit, mengajak diri bertafakur seketika. Merenung ciptaan-Nya menerbitkan rasa yang luar biasa. Entah, tidak mampu menggambarkannya. Hanya yang menyaksikan dapat memahaminya, mungkin. 

Dongaklah ke langit tinggi
Tembusi ke tengah rimba
Selami juga ke laut dalam
Pasti terlihat warna-warni ciptaan-Nya

Ciptaan-Nya indah dan mendamaikan
Semuanya tiada yang sia-sia
Bahkan ada fikir yang menerbitkan zikir
Sungguh indah alam ciptaan Tuhan

Jika di dunia sudah terlihat ceria
Bagaimana pula keindahan syurga?
-------------------------------------------------------------------

Subhanallah... Walhamdulillah Wa La-Ilah-Illa-Allah Wa-Allah Akbar

Allahumma Adkhil-na al-Jannata Ma'a al-Anbiya' 'Alayhimu al-Solatu Wassalam 
(Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam syurga bersama para Nabi 'Alayh Salam) ^_^

.:: PENYERAHAN ::.

Bismilahirrahmanirrahim.

Alhamdulilah, segala pujian bagi Allah Jalla Wa 'Ala atas segala kurniaan-Nya yang tidak berbelah bahagi. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Habibullah Wa Habibuna Sayyiduna Muhammad Sallallah 'Alayh Wasallam serta seluruh Ahl al-Bayt.

Bersama menghayati puisi sufi yang indah ini. 


PENYERAHAN

Engkau berdiri dengan sendiri 
Engkau mutlak 
Tiada yang lain mampu mempengaruhi-Mu.

Engkau Maha Perkasa 
Engkau kembangkan payung keperkasaan-Mu 
Melindungi yang lemah dan tidak berdaya 
Akulah yang lemah dan tidak berdaya itu 
Di bawah paying keperkasaan-Mu daku bernaung 
Engkau sekali-kali tidak akan menolak 
Para hamba yang menyerah diri kepada-Mu.

Alangkah mudahnya 
Bila segala sesuatu diserahkan kepada-Mu 
Dan yakin Engkau menerimanya 
Engkau tidak pernah letih atau lalai 
Tidak mengantuk tidak tidur 
Tidak bosan menguruskan hal hamba-hamba-Mu.

Wahai Pelindung diriku 
Penyerahan adalah kelapangan 
Penyerahan adalah kedamaian 
Penyerahan adalah Kesejahteraan.

Wahai Pelindung diriku 
Penuhilah hatiku dengan yakin 
Agar sekaliannya kembali kepada-Mu 
Tanpa sebarang sisa pada diriku.

Engkau gemar mendengar tutur-kata hamba-hamba-Mu 
Engkau tidak jemu mendengar daku membebel 
Tiap ucapanku Engkau jawab dengan kelembutan-Mu 

Wahai al-Latiff 
Kami para hamba sangat Engkau manjai 
Dengan kemaha-lembutan-Mu.

Sumber: Puisi Sufi

Berteman Cahaya Yang Indah

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Allah Jalla Wa ‘Ala atas kesempatan waktu yang masih berbaki untuk terus memburu cinta-Nya. Selagi kaki masih berpijak di bumi, bawalah ruh dan jasadmu mencari kebenaran. Hanya dengan kebenaran manusia bisa mengenal Tuhan. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Nya. Yang berkuasa menghidupkan dan mematikan segala makhluk. Teruslah mencari-Nya dalam setiap helaaan nafasmu. Ketahuilah, Dia tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh-sungguh mencari kebenaran kerana itu janji-Nya. Hidayah-Nya hadir pada sesiapa yang dikehendaki-Nya, apatah pula buat mereka yang bersungguh-sungguh mencarinya. Sedarlah, Tuhan tidak pernah berdusta tetapi kita-lah yang sering berdalih. Astaghfirullah al-‘Azhim…. 

Selawat dan salam buat Habibullah Wa Habibuna Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam dan seluruh Ahl al-Bayt. Memburu cinta Ilahi perlu dahulu membina cinta Rasul-Nya. Subhanallah, mulia dan indah pekertinya meruntun jiwa umat. Nilai qudwahnya terlalu mahal dan bernilai namun sedikitpun tidak memerlukan wang ringgit untuk membelinya. Kenali dirinya, pelajari sunnahnya dan amalkan dalam kehidupan, itulah bayaran untuk mendapat kasih dari-Nya. Tiada cinta makhluk yang kuburu selain cinta Rasul-Nya yang mulia. Mungkin cintaku tidak setulus insan lain. Namun besar harapanku, mudah-mudahan benih cinta ini akan mekar juga sehingga tercuit pandangan peribadi itu ke arahku, walau hanya sedetik, itu sudah mampu membuat senyumku ceria. Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Aalihi Muhammad

Berjalan dan terus berjalan, itulah kehidupan. Dalam setiap langkah perlu waspada. Jalan di bumi banyak yang lurus dan banyak pula yang bersimpang siur. Tanpa pedoman pasti tersesat tanpa haluan. Manakah jalan yang harus dilalui? Mampukah jalan-jalan di dunia ini membawa hamba kepada Tuhan? Bukan itu jalan yang dimaksudkan. Dan bukan itu jalan yang harus dilalui. Lurus atau tidak jalan di bumi, itu tidak akan menyampaikan hamba kepada Tuhan Yang Satu. 

Jalan yang diburu itu terlalu halus. Sangat sukar dilihat dengan mata kasar. Kerana hakikatnya bukan jasad yang berjalan tetapi ruh yang sedang mengembara. Ruh yang suci akan memimpin jasad ke tempat-tempat yang suci dan diredhai. Sebaliknya ruh yang dikotori akan memandu jasad ke tempat-tempat keji dan dimurkai. Moga Allah mengurniakan taufiq dan mengekalkan hidayah-Nya untuk tetap di atas jalan kebenaran. Allahumma Amin

Bagaimana ruh itu bisa melalui jalan yang lurus? Di situlah pentingnya ilmu. Untuk tetap atas jalan yang benar perlu kenal jalan-jalan yang bersimpang siur. Jalan yang bersimpang siur itulah laluan syaitan dan Iblis untuk menyesatkan anak adam. Di situlah tipu dayanya bermain. Tanpa ilmu pasti nafsu dan hasutan jahat menguasai. Tanpa iman yang kukuh pasti terjeratlah ke dalam perangkap durjana itu. Wal‘iyazubillah. Sementara jalan yang lurus itu adalah jalan yang membawa kepada keredhaan Allah. Jalan ini terlihat seperti penuh onak dan duri. Selangkah berpijak cukup terasa peritnya. Hakikatnya bukan kerana benar ia berduri. Tetapi kerana tarikan dan keindahan yang terdapat pada jalan yang bersimpang siur tadi cukup memukau. Sehingga mendorong keinginan hamba untuk menikmatinya. 

Meninggalkan nikmat sementara untuk nikmat yang kekal abadi, itulah ujian dunia yang harus dilalui dan dilepasi. Ilmu itu syarat utama. Mujahadah menyusul saat beramal dengan ilmu. Sangat sedikit orang yang ingin melalui jalan menuju Tuhan. Laluannya terlihat sunyi namun ketahuilah bahawa dalam sunyi itu berteman cahaya yang indah. Indahnya hanya mampu dinikmati sendiri, tidak mampu digambarkan kepada yang lain. Carilah jalan yang bercahaya itu dalam setiap helaan nafasmu. Dengan untaian zikir dan selawat mampu menghidupkan hati yang mati. Moga hatimu terus bercahaya selama engkau terus mengingat Allah dan Rasul-Nya dengan sebenar-benar ingat. Ya Razzaq, kurniakanlah kami lisan, hati dan ruh yang sentiasa mengingati-Mu dan Rasul-Mu dalam setiap waktu dan ketika. Allahumma Amin.

Kiriman Tahniah

Bismillahirrahmanirrahim

Segala pujian bagi Allah Jalla Wa ‘Ala yang mengurniakan pelbagai nikmat buat para hamba-Nya. Bersyukurlah atas segala nikmat yang dimiliki. Jangan mengungkit dan mencaci yang terlihat keji atau tidak mengikut kehendak hati. Siapa yang lebih mengetahui keperluan makhluk selain Allah? Siapa yang lebih menyayangi makhluk selain al-Rahman? Maka perhitungkanlah setiap pemberian-Nya sehingga terasa diri kerdil dan tidak punya apa-apa. Moga menjadi hamba-Nya yang syakur. 

Selawat dan salam tertuju buat kekasih Allah yang juga kekasih kami Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam serta seluruh Ahl al-Bayt. Pelajari dan teladanilah bagaimana baginda bersyukur. Meneladani baginda bererti menghidupkan sunnah. Moga hari-hari kita dipenuhi dengan menghidupkan sunnah yang indah. Sollu ‘Ala al-Nabiy! Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammadin ‘Abadi-Ka Wa Rasuli-Ka al-Nabiyyi al-Ummiy Wa ‘Ala Aalihi Wasahbihi Wasallim

Tempoh praktikal hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Selepas ini akan sambung semula pengajian di UKM. Setahun setengah lagi untuk menamatkan pengajian di peringkat pengajian tinggi, insyaallah. Moga Allah Jalla Wa ‘Ala mempermudahkan segala urusan dalam menuntut ilmu. Allahumma Amin

Gembira mendengar berita kejayaan orang lain. Tapi kali ini tidak mampu untuk mengucapkan ‘tahniah’ buat yang sedang bergembira dengan kejayaan itu. Ada halangan yang dicipta sendiri. Bagaimanapun, moga kejayaan itu tidak hanya di sijil tetapi dipraktikkan dan dimanfaatkan ilmu yang dimiliki dengan selayaknya. Besar amanahmu terhadap agama. Perjuangkanlah dengan cara yang benar pula. Mabruk ‘Alayh


Mungkin selepas ini ada lagi sahabat-sahabat yang akan berangkat ke Mesir untuk menyambung pengajian. Tahniah diucapkan. Memang cemburu melihat mereka yang berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Anbiya’ itu. Tetapi tidaklah membenci atau dengki. Bahkan gembira dengan nikmat yang Allah berikan kepada mereka. Mereka itu insan pilihan Tuhan. Maka layakkah untuk diri membenci mereka yang dimuliakan Tuhan? Bersyukur dengan apa yang dimiliki. Kerana apa yang dikurniakan Tuhan buat diri pastinya itu yang lebih baik. Ya, yakin tentang itu. 

Cerita tentang Mesir, mengingatkan kepada inti kuliah di UKM semester lepas. Untuk subjek jabatan, di bidang Tamadun Islam, kami didedahkan dengan sejarah yang berkaitan Mesir. Entah kenapa, semester lepas banyak mendekatkan saya dengan sejarah Mesir. Pernah suatu waktu, berhajat untuk sambung pengajian di sana. Tetapi rencana Allah tempat terbaik ketika ini adalah di sini. Maka keinginan tersebut dilupakan sahaja. Bila disebut-sebut kisah berhubung Mesir, saya ambil sebagai pengetahuan sejarah. Secara takdirnya, tugasan assignment pun diberi tajuk yang ada hubungannya dengan Mesir secara khusus. Meneliti sejarah-sejarah tersebut membuatkan keinginan lalu hadir kembali. Terbit rasa kagum pada tamadun Islam Mesir yang gilang-gemilang. Hanya mampu belayar ke sana di alam imaginasi. Beruntungnya mereka yang berpeluang menuntut ilmu di sana. Pasti dapat melihat kesan-kesan perjuangan Islam dahulu. Bumi para Anbiya’, juga digelar sebagai Bumi pembalasan, sesiapapun pasti teringin untuk menyaksikan. Moga sahabat-sahabat yang berada di sana tidak jemu-jemu mengutip mutiara berharga yang terdapat di sana. 

Buat sahabat-sahabat di Mesir dan yang akan ke sana juga tahun ini, selamat berjuang di medan ilmu yang lebih mencabar dan menguji. Perbaiki niat agar menuntut ilmu semata-mata kerana Allah Jalla Wa ‘Ala. Sungguh, setiap niat yang terlintas di hati akan diuji. Jangan melalaikan kewajipan utama kalian di sana kerana tergiur dengan tawaran-tawaran hebat dunia hatta atas nama ‘perjuangan Islam’ sekalipun. Jangan menyalah tafsirkan makna perjuangan Islam. Perjuangan Islam kalian di sana adalah perjuangan menuntut ilmu agar ia menjadi thaqafah pada diri bukan terlibat dalam berpolitik dan sebagainya. Dakwah kalian adalah dengan menghadiri setiap majlis-majlis ilmu sama ada yang wajib atau sunat. Supaya apabila kalian memperjuangkan agama Islam nanti, kalian berjuang dengan kebenaran dan kefahaman. Moga Allah merahmati kalian dan mempermdahkan urusan kalian dalam menuntut ilmu Allah Jalla Wa ‘Ala. Allahumma Amin. 

Wallahua’lam.