Ujian adalah rahmat Allah kepada hamba-hambaNya. Tidak ada seorangpun yang mengaku dirinya beriman terlepas dari ujianNya. Kadangkala diri diuji dengan masalah kewangan, kematian, kegagalan, kemusnahan harta benda dan sebagainya, semua itu untuk menguji tahap keimanan kita terhadap Allah. Maka, bagaimana penerimaan kita terhadap kehendak Allah itu? Adakah kita redha dengan apa yang ditaqdirkannya? Bertambahkah sujud kita kepadaNya? Adakah kita bersyukur atas segala kurniaanNya? Ataukah sebaliknya? Hitunglah diri kita sebelum tiba hari di mana kita akan diperhitungkan oleh Allah SWT. Ayuhlah bermuhasabah diri kita kembali…semoga kita tidak terus lalai dalam kealpaan diri kita sendiri.
Firman Allah SWT:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; ‘Kami telah beriman’, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta”. (Al-Ankabut : 2-3)
Sepahit mana pun ujian, ianya tidak akan melebihi kemampuan seseorang itu. Hal ini telah dijelaskan Allah dalam firmanNya; ‘Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya’. (Al-Baqarah : 286). Maka janganlah berputus asa dengan rahmat Allah kerana Dia tidak pernah melupakan hambaNya apalagi membiarkan kita tersungkur tanpa pertolonganNya. Kerna itu mengadulah kepadaNya setiap masa, pohonlah kepadaNya pertolongan kerana hanya dengan izinNya sahaja perkara yang kita inginkan boleh berlaku.
Mungkin ujian hidup itu sengaja didatangkan Allah agar kita kembali sedar dan semakin dekat denganNya. Hayatilah perjalanan hidup ini kembali… berkali-kali kita diperingatkan agar meninggalkan maksiat dan dosa, tetapi kita tetap juga melakukannya…Takkah terasa berdosa kerana mengkhianati kepercayaan Allah terhadap kita? Ingatlah, hidayah Allah itu hanya datang sekali seumur hidup… jika kita masih belum mengambil iktibar daripadanya….apakah akan hadir hidayah itu untuk kedua kalinya? Sama-sama kita renungkan….
Usahlah berkeluh kesah terhadap musibah yang menimpa… dan jangan pula bersedih hati… tetapi renungkanlah hikmah yang tersingkap di sebalik setiap peristiwa dan kejadian tersebut. Semua itu akhirnya akan menyedarkan kita kembali bahawa kita telah terlalu jauh dari Allah SWT. Ketahuilah bahawa hanya insan terpilih sahaja yang diuji olehNya. Maka bersyukurlah kepadaNya kerana diuji. Itulah tanda kasih sayang Allah kepada kita.
Akhir kalam, semoga thabat dalam perjuangan… perjuangan dalam meneruskan hidup…mencari yang hak dan meninggalkan yang batil…
Wallahua’alam
Majlis Maulid Di Pusat Pengajian Ba’alawi, Kemensah
ReplyDeleteAssalamu’alaikum WarahmatuLlahi Wabarakatuh
Tarikh: 21 Rabi’ul Awwal 1430H/ 18 Mac 2009 (Rabu)
Lokasi: Pusat Pengajian Ba’alawi, No 9, Jalan UP2A, Prima Ukay, Kemensah. (belakang Zoo Negara)
Tetamu Khas: Habib Kazim as-Seggaf (dari Tarim, Hadramaut), Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin al-Hamid dan Tuan Guru Baba Abdul Aziz
Aturcara:
Sholat Maghrib berjemaah
Bacaan Ratib al-Haddad
Bacaan Maulid - Diyaul Lami’
Ceramah oleh Habib Kazim
Qasidah
Ucapan oleh Tuan Guru Baba Abdul Aziz
Ijazah Bacaan Dhiya ul Lame’ oleh Habib Kazim
Tertib al-Fatihah oleh Habib ‘ali Zainal ‘Abidin al-Hamid
Sholat Isya’
Jamuan
Muslimin dan Muslimat di jemput hadir. Dan sila panjangkan jemputan ini kepada kenalan tuan-tuan/puan-puan.
http://pondokhabib.wordpress.com