Tanggungjawab...Amanah Allah

Menyingkap hikmah disebalik peristiwa-peristiwa yang berlaku kebelakangan ini, rupanya masih belum layak diri ini digelar pejuang dalam menuntut ilmu, melaksanakan tanggungjawab, apalagi menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Tanggungjawab itu adalah amanah Allah kepada hambaNya. Biarpun kadangkala ia ditentukan oleh manusia sendiri namun hakikatnya semua itu atas keizinanNya dan jua kehendakNya. Apakah sesuatu yang tidak diredhaiNya boleh berlaku tanpa izinNya? Pastinya tidak sama sekali!


Silapnya manusia itu, bila ditimpa sedikit musibah ia terus berputus asa, seolah-olah ia berputus asa dari rahmat Allah yang Maha Berkuasa. Tiada langsung memikirkan kepentingan dan harapan orang disekelilingnya. Apakah manusia akhir zaman ini hidup saling mementingkan diri? Tanpa memikirkan langsung hak manusia lain yang sepatutnya ditunaikan?… Di mana bukti mereka yang mengaku hidup berpandukan al-Quran dan Sunnah? Adakah hanya melalui kata-kata kosong semata-mata?!


Setiap hari ilmu agama itu dipelajari…namun sedikit sekali kesannya terhadap jiwa bahkan kadangkala tiada langsung kesannya. Di mana hati manusia?! Apakah mereka sudah tak memiliki hati lagi? Imam al-Ghazali ada berkata: “Ilmu tanpa amal itu sia-sia manakala amal tanpa ilmu itu adalah gila”. Betapa sedihnya melihat kehancuran umat islam akhir zaman ini… mereka seolah-olah tidak sedar bahawa mereka sedang diperbodohkan oleh musuh-musuh.


Musuh utama itu adalah Iblis dan syaitan. Manakala musuh lain itu adalah nafsu, golongan kuffar dan semua bentuk kemungkaran. Apakah peristiwa nakbah Palestin masih belum mampu menyedarkan umat islam seluruh dunia? Di mana hati kita?! Apakah kita sudah tidak mempunyai hati untuk merasai penderitaan saudara seagama kita lalu mengambil iktibar darinya?!


Sedarlah bahawa hidup ini hanya bersifat sementara… Permulaan bagi kehidupan abadi itu di alam barzakh nanti… Maka bekalan yang cukup itu perlu untuk perjalanan yang panjang kelak… Amalan mulia itulah bekalnya…manakala amalan keburukan itu adalah pemusnahnya… Oleh itu saudaraku, pilihah jalan yang dapat menyelamatkanmu sendiri… kerana pada hari itu tiada siapa yang dapat membantumu melainkan dirimu sendiri… Tunaikanlah hakmu sebagai seorang hamba Allah, anak, ibu bapa, pemimpin, da’ie dan sebagainya kerana semua itu juga akan dipersoalkan di akhirat kelak.


Wahai saudaraku, ayuhlah kita bermuhasabah…kembali kepada yang hak, meninggalkan segala bentuk kebatilan agar hidup ini lebih berkat dan mendapat keredhanNya. Barakallahu fiikum…

No comments:

Post a Comment