Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah Rabbil 'Alamin. Segala puji bagi Allah Jalla Wa 'Ala. Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia berkuasa membolak-balikkan hati para hamba-Nya, tetapkanlah hati hamba-hamba-Mu di atas kebenaran agama-Mu dan ketaatan terhadap-Mu. Selawat dan salam atas junjungan mulia Habibuna Sayyiduna Muhammad Sallallah 'Alayh Wasallam. Makhluk termulia di sisi Tuhan. Moga beroleh syafaatnya di akhirat kelak. Amin Ya Rabb.
Sepanjang perjalananku di bumi Tuhan, masih belum menemukan maksud rindu yang sebenar. Sedangkan itu bekal untuk aku mengenal Tuhan. Aku mencari dalam setiap pertemuan dengan insan. Apakah ia hanya perasaan yang hadir tatkala mengingati seseorang? Jika rindu itu perkara mulia, mengapa ada yang terjerumus ke lembah dosa dan hina? Apakah bezanya rindu yang haq dan batil? Apakah neraca timbangan rindu yang diredhai dan rindu yang dimurka Ilahi? Sungguh, mengaitkan dengan manusia hari ini, amat sukar untuk menentukan jawapannya. Kepada Dia-lah dikembalikan segala pertanyaan agar dibentangkan hikmah dan kebenaran.
Gambar Masjid Nabawi itu dipaparkan. Tatkala memandang kubah hijau itu, hati menjadi sayu. Ingatan semakin kuat. Jiwa semakin sebak. Mutiara jernih itu akhirnya jatuh ke bumi. Tidak mampu mengatakan apa-apa. Namun, lantunan mahabbah masih diteruskan tanpa berhenti. Tatkala maulid dibacakan bersama, perasaan itu hadir kembali. Persis seperti sebelumnya. Begitu juga tatkala kemuliaan akhlaknya dikisahkan, sayu itu bertambah dalam. Terasa ingin berlari menemui insan teragung itu seketika itu juga. "Ya Rasulullah, Khuz biyadi (Wahai Rasulullah, sambutlah tanganku)". Diulang-ulang bait qasidah itu. Mengharap ia didengari oleh peribadi mulia tercinta itu.
Saat mata terpejam nafas dihela panjang. Alhamdulillah, rasanya aku sudah mula fahami hakikat rindu. Rindu pada Allah dan Rasul itulah standard piawaian yang digunakan. Kini aku semakin mengerti bagaimana untuk menilai perhubungan dengan insan. Rindu yang benar itu tidak mengkhayalkan tetapi mampu membuatkan jiwa runtuh dan menangis sendu. Bukan kerana sedih dan kecewa tetapi kerana terlalu cinta. Mengapa rindu itu harus diiringi tangisan atau rasa sayu? Kerana tatkala itu si perindu sedang mengadu kepada Pemilik hatinya. Merayu dan memohon kepada yang mengurniakan perasaan itu. Agar rindunya bukan kerana nafsu tetapi kerana Allah Yang Satu. Lalu doa dikirim dalam rahsia. Moga terjawab segala rasa. Lihatlah, segalanya akan kembali kepada Allah Jalla Wa 'Ala, biar sehalus apa pun perasaan kita. Yang haq itu akan membawa kita kepada pencipta. Subhanallah, Tabarakallah, indahnya fitrah insani apabila dihayati dan digunakan dengan benar. Semoga Allah memelihara kita sebagai hamba-Nya. Allahumma Amin.
Dalam sendu ku meluah rasa
Apa yang terbuku di dalam dada
Sesak nafasku menanggung derita
Yang ditunggu tak kunjung tiba
Jarak itu menjelas segala
Kebahagiaan itu bukan percuma
Pengorbanan dan kesabaran syarat utama
Untuk hidup bersama yang di-CINTA
Bicara hamba pada pencipta
Takkan sama dengan yang biasa
Bicara ikhwan pada kekasih-Nya
Membangkit mahabbah yang luar biasa
Itulah anugerah yang tiada taranya
Kala rindu kian memuncak
Godaan nafsu turut membuak
Jangan terburu dalam betindak
Bimbang tertipu dalam keliru
Kepada Dia-lah segala dituju
Moga hidup semakin terpandu
No comments:
Post a Comment