Mendung Hati


Bismillaahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Segala pujian hanya pada Allah Jalla Wa 'Ala. Yang mengirimkan angin tatkala kepanasan menjengah. Yang menghadirkan hujan tatkala bumi kekeringan. Seluruh alam memuji-Nya, maka layakkah manusia berlaku sombong terhadap Raja sekalian alam? Selawat dan salam tercurah buat peribadi mulia tercinta Sayyiduna Muhammad Sallallah 'Alayh Wasallam. Menambah selawat dan sunnah menambah cinta kepada baginda. Mudah-mudahan dihimpunkan bersama baginda dan dimasukkan dalam kalangan mereka yang memperoleh syafaatnya di akhirat kelak. Allahumma Amin.

Mendung cuaca hari ini, semendung keadaan hati pagi ini. Mampukah mendung itu bertahan atau itu petanda sebentar lagi akan hujan? Entahlah, sukar untuk menduga. Kerana itu bukan kuasa hamba tapi kuasa Pencipta. Teruslah menjalani hari ini kerana masa tak akan terhenti dengan kehendak diri. Hari ini penentu hari esok.  Baik amalmu hari ini (dunia) itulah yang menentukan imbalanmu hari esok (akhirat) di hadapan Allah Jalla Wa 'Ala. Usah terus melarikan diri, teruskanlah kehidupan walaupun harapan hampir punah. Kerana hidupmu bukan untuk memperhitungkan sebesar mana kebahagiaan yang bisa dikecapi tetapi hidupmu hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Alah Jalla Wa 'Ala.


Meneruskan kerja-kerja pengurusan. Agak terisi masa yang ada apabila diberikan kerja-kerja tertentu walaupun kerja remeh sahaja. Cuba mengenepikan masalah peribadi dari urusan kerja. Ya, memang aku pandai berlakon dengan watak seperti itu. Berdelusi itu sudah hampir sebati dalam hidupku. Sehingga ada yang menggelar "tak punya perasaan". Cukuplah aku dan Dia sahaja yang mengetahui apa yang kutanggung selama ini. Perit dan pedihku harungi hidup hanya Dia yang sudi menemani. Hanya Dia yang sedia menanti. Dia jugalah yang menyambut tanganku tika aku tersungkur tak bermaya. Manusia hanya pandai menabur janji. Hanya bijak mempamer emosi. Seolah mereka itu insan yang cukup mulia dan berhati suci. Amanah yang diberi, khianat yang dibalasi. Akhirnya luka semalam berdarah kembali. Untuk apa berharap pada makhluk, mereka tak mampu menjamin apapun. Serahkan urusanmu pada Tuhan Yang Maha Mengatur. Dia Maha Megetahui segala keadaan dan keperluanmu. Pasti engkau tidak akan kecewa. Itu janji-Nya.

Belum pun mendung itu mencurahkan titisan-titisan air jernih ke bumi, mendung dihati telah mendahului. Manik-manik jernih itu mengalir tanpa sempat ditahan. Mujur tidak ada yang melihat. Dalam remuk dipasrahkan segalanya. Takdir-Nya berhikmah. Pasti ada pelajaran buat diri. Merawat hati sendiri. Bangkit kembali dari kejatuhan yang mencederakan. Ya Allah, sungguh hamba-Mu ini sangat lemah dan tak berdaya. Hampir-hampir aku bertindak berhenti dari meneruskan perjuangan ini. Rohaniku sangat lemah. Kepada-Mu tempat bergantung. Takku harap selain rahmat-Mu. Takku ingin kecuali belai kasih-Mu. Dakaplah aku dalam rahmat dan redha-Mu. Itu lebih bererti dari dunia sekelilingku. Bantulah aku ya Rahim.


Pulang dari kerja, hujan mula merintik. Apakah ia mula menyampaikan sesuatu? Melihat titisannya tidak sayu malah menyejukkan hati tetapi tidak juga menceriakan. Terasa dingin seketika. Sejenak berfikir. Hujan itu membawa rahmat. Dengan rahmat-Nya tanaman subur dan mengeluarkan hasil. Bunga-bunga membesar dan berkembang mekar. Tapi itu untuk suatu jangka masa yang panjang. Agak lama untuk menunggu. Argh...bukankah pelangi akan timbul. Ya, itulah kegembiraan mereka yang menyaksikan pelangi. Warnanya yang tujuh itu walau sedikit sudah mampu membuat insan tersenyum ceria. Indah dan segar. Mungkinkah ini yang hendak disampaikan? Bahawa kesedihan itu akan berlalu dan diganti dengan kegembiraan seperti melihat pelangi? Anggaplah kegagalan bukan suatu kekalahan, tapi suatu kejayaan yang masih tertunda. Ya Allah, mudahan-mudahan itu yang terjadi. Gembiraku apabila peluang bersama-Mu semakin banyak dan waktu dengan selain-Mu semakin sedikit. Ceriaku apabila senyumku tidak lagi dikongsi dengan sesiapa selain Engkau dan para kekasih-Mu. Engkaulah Tuhanku, pemilik hatiku. Bawakanlah aku dalam bahagia itu. Allahumma Amin.

Apabila alam berbicara, manusia tak mampu berkata apa. Hanya ucapan syukur dan memuji Allah Jalla Wa 'Ala sahajalah yang dapat menggambarkannya. Namun itu hanya berlaku pada mereka yang memikirkan. SubhanallahAlhamdulillah. Aku serahkan jiwa dan ragaku kepada-Mu. Biarkan aku memburu cinta-Mu. Jangan Kau izinkan aku memburu cinta makhluk. Cukuplah Allah bagiku. Kepada-Nya-lah aku berserah diri.

No comments:

Post a Comment