Penawar Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala pujian bagi Allah Jalla Wa ‘Ala yang mengurniakan pelbagai nikmat dalam kehidupan ini. Dengan nikmat dan rahmat-Nya, insan bisa menjalani hidup dengan lebih baik dan sempurna. Tiada yang mampu menyaingi kekuasaan-Nya. Bertakbirlah membesarkan-Nya. Jangan sombong dan berpaling kepada yang lain. Hidup ini telah banyak berhutang dengan-Nya. Kalaulah bukan kerana rahmat-Nya, pasti kita disuruh membayar kembali apa yang telah dikurniakan-Nya sedang kita tidak mampu langsung untuk melunasnya. Allah Akbar
 
 
Selawat dan salam tertuju buat peribadi mulia yang dicinta, Habibuna Sayyiduna Rasulullah Sallallah ‘Alayh Wasallam, penghulu segala nabi dan Rasul, pembawa rahmat keseluruh alam. Berselawatlah sebanyak-banyaknya kepada baginda dan Ahl al-Bayt, mudah-mudahan mengalir keberkatan dalam diri yang membawa kepada kecintaan beramal dengan sunnah pula. Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Aalihi Sayyidina Muhammad.

Damainya hati mendengar alunan bacaan ayat suci al-Quran yang dibacakan oleh al-Syeikh Misyari Rasyid al-Afasi. Memang sengaja dipasang setiap kali laptop dibuka. Tujuannya tidak lain, mudah-mudahan pintu hati yang kian lama membatu ini terbuka tatkala diketuk oleh kalam al-Khaliq. Subhanallah! Sowtun Jamilun! Allah Ajmal! Alangkah mulianya Ahl al-Quran. Mereka mendapat tempat yang mulia di sisi Allah dan Rasul serta orang-orang soleh. Sekalipun mereka lalai, perhatian-Nya tidak pernah luput untuk menarik hamba-Nya kembali kepada kalam-Nya yang hakikatnya kembali kepada Allah Jalla Wa ‘Ala. Tatkala itulah peringatan-Nya hadir sebagai ujian. Bersyukurlah bagi yang menyedari. Bermuhasabahlah kembali bagi yang tidak mengambil peduli. 
 

Cemburuku kian menyala dan meronta tatkala melihat Ahl al-Khair. Ingin sekali menjadi seperti mereka. Bermuamalah dan berbicara bersama mereka membuatkan hati tertunduk malu kepada Pencipta. Sungguh, diri ini penuh dengan noda. Fikiran ini sering berkhayal. Mata ini sering memandang yang haram. Telinga ini sering mendengar umpatan dan cacian. Lisan ini sering mencela dan mengadu domba. Anggota ini sangat malas beramal. Allah…Akulah insan kerdil yang hina dan tidak bermaya. Hidupku diselubungi kemaksiatan dan pengkhianatan yang berpanjangan. Ampunilah hamba-Mu yang ketandusan iman dan amal. Seandainya rahmat-Mu itu Kau berikan kepada mereka yang berdosa dan nikmat-Mu itu Kau berikan kepada mereka yang beramal soleh, Maka kurniakanlah kepadaku rahmat-Mu, kerana aku ini termasuk dalam kalangan mereka yang berdosa. Ampuni aku Ya Ghaffar. 

Ya Allah, terasa berat benar ujian ini. Jika bukan kerana masih tersisa iman di hati, pastilah aku sudah melakukan perkara yang paling Engkau murkai. Kalaulah bukan kerana ditegah oleh nabi-Mu dari meminta kematian, pasti itulah yang aku minta saat ini. Tatkala jiwa terasa lemah, hampir-hampir nafsu menguasai fikiran dan tindakan. Maha Suci Allah, kerana memikirkan Allah dan Rasul, hal itu masih mampu dikawal. Syukurlah masih mendapat perhatian-Nya.


Ramadhan hadir tatkala hati kegersangan. Apakah ia suatu hiburan atau penyiksaan? Sudah tentu ia adalah hiburan yang dianugerahkan Tuhan buat diri dan hamba-hamba-Nya yang lain. Kerana ia hadir dengan pelbagai kemuliaan yang tiada tandingannya dengan bulan-bulan yang lain. Bulan mempertingkatkan ibadah dan amal ubudiyah kepada Allah Jalla Wa ‘Ala. Bulan di mana segenap hamba-Nya diseru untuk memperbanyak amal soleh. Inilah bulan bersama Tuhan yang paling istimewa. Sungguh, jika diteliti dan dihayati, tersingkaplah hikmah dibalik peristiwa. Alangkah seronoknya jika sepanjang tahun adalah bulan Ramadhan. Mudah-mudahan Ramadhan ini lebih baik dari Ramadhan yang telah lalu. Allahumma Amin.

Jom Beramal!!!

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Jalla Wa 'Ala, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Habibuna Sayyiduna Muhammad Sallallah 'Alayh Wasallam. Moga ditempatkan bersama kekasih-Nya yang tercinta dan bersama para solihin di dunia dan di akhirat. Allahumma Amin.

Berikut adalah antara zikir yang boleh diamalkan di bulan mulia Ramadhan ini... Mudah-mudahan Ramadhan kita sentiasa diisi dengan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah dan Rasul.

Hadiah Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Jalla Wa ‘Ala yang mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada sekalian hamba-hamba-Nya. Dalam kufur masih diberikan kudrat dan nikmat menghirup udara-Nya di muka bumi. Dalam khianat masih dibukakan pintu rahmat dan keampunan yang tidak terhitung luasnya. Maha Suci Allah dari segala kekurangan. Moga terjentik kesedaran dan keinsafan di hati hamba-hamba-Nya untuk kembali kepada-Nya dalam segala urusan. Sungguh, kepada Allah-lah tempat kembali segala sesuatu.

Selawat dan salam yang tidak terlupakan buat junjungan mulia dan tercinta, Habibuna Sayyiduna Rasulullah Sallallah ‘Alayh Wasallam dan para Ahl al-Bayt. Mudah-mudahan kesungguhan dan keikhlasan selawat menerbit mahabbah untuk beramal dengan sunnah yang menghubungkan hati umat kepada baginda dan keluarganya, seterusnya membawa kepada mahabbah kepada Allah Jalla Wa ‘Ala. Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Aalihi Sayyidina Muhammad.


Sedang leka menaip artikel kedengaran bunyi telefon di meja hadapan. Tidak meghiraukaun kerana tidak ada kaitan dengan diri. Tapi dalam tak peduli, rupanya panggilan itu untukku. Kak Jun menyuruh ke pejabat PQIT di tingkat bawah. Katanya Ustaz Hendra nak berjumpa. Apa agaknya ye? Mungkin nak dapat kerja menaip artikel arab lagi agaknya. Seronoknya kalau ada kerja…taklah terasa bosan sangat.

Sampai sahaja di bilik tersebut, dia sedang menjawab panggilan. Menunggu. Usai menjawab panggilan, dia serahkan sebuah kitab terjemahan Hadis Bukhari. Terpinga-pinga? Untuk apa agaknya? Tugasan apa yang hendak diamanahkan? Bertanya untuk kepastian. Ternyata buku itu adalah hadiah dari mereka kerana membantu menaip semula teks asal yang berbahasa arab karangan al-Syeikh Dr. Ahmad ‘Isa al-Ma‘sarawi untuk seminar al-Quran tempoh hari. Bagaikan tak percaya. Dia sedang berguraukah? Namun ternyata mereka benar-benar memaksudkan. Jika benar itu sebagai tanda terima kasih Ustaz Zainuddin-lah yang layak menerimanya kerana dialah yang banyak membantu memeriksa dan membetulkan mana-mana yang salah. Begitu juga Ustaz Husin yang tolong membacakan semula teks yang memang sukar hendak dibaca. Allah…sungguh besar kurniaan-Mu.

Alangkah seronoknya perasaan ketika itu. Rasa tidak layak sebenarnya untuk mendapatkan hadiah semulia itu. Hanya menaip, kerja yang mudah. Jika sukar pun untuk memastikan kesahihan perkataan dan ayat sahaja. Tetapi ganjaran yang Allah bagi berupa kumpulan hadis Imam Muktabar yang begitu mulia di sisi Allah Jalla Wa ‘Ala. Itulah bicara kekasihnya yang teragung, Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam dan karangan ulama mulia yang tinggi darjatnya disisi Allah Jalla Wa ‘Ala. Alhamdulillah…hanya itulah ucapan yang mampu dituturkan. Hadiah Ramadhan yang penuh barakah. Mudah-mudahan cinta dan rinduku kepada insan termulia itu dan para solihin semakin dalam dan bermakna. Ya Allah, kurniakanlah kepadaku cinta yang sebenar-benar cinta kepada baginda Sallallah ‘Alayh Wasallam dan Ahl al-Bayt serta orang-orang soleh. Moga menjadi hamba-Nya yang syakur. Allahumma Amin.

Ramadhan Kareem 1433H

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Jalla Wa 'Ala pemilik sekalian alam. Raja bagi segala raja. Paling berkuasa di antara yang berkuasa. Selayaknya tunduk dan sujud hanya kepada-Nya. Moga menjadi hamba yang taat dan bertaqwa. Selawat dan salam buat kekasih mulia Habibuna Sayyiduna Muhammad Sallallah 'Alayh Wasallam dan seluruh Ahl al-Bayt. Moga amalan selawat dan sunnah menerbitkan mahabbah yang sebenar-benarnya kepada baginda dan kaum keluarganya yang dengannya melahirkan mahabbah kepada Allah Jalla Wa 'Ala. Sollu 'Ala al-Nabiyy...!


Maaf dipinta di ambang Ramadhan,
Agar terbuka hijab menyempuna amalan.
Taqwa dambaan mukmin,
Pendekat hamba kepada Tuhan.
Jangan mensia-siakan kesempatan,
Bimbang maut datang mengundang.
Tundukkan nafsu, leburkan mazmumah, lanterakan hati,
Dan hadirkan diri menghimpun barakah Ramadhan.


Selamat menjalani ibadah puasa. Maaf Zahir dan Batin.
-------------------------------------------------------------------------------
تقبل الله منا ومنكم صالح الاعمال

Mendung Hati


Bismillaahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Segala pujian hanya pada Allah Jalla Wa 'Ala. Yang mengirimkan angin tatkala kepanasan menjengah. Yang menghadirkan hujan tatkala bumi kekeringan. Seluruh alam memuji-Nya, maka layakkah manusia berlaku sombong terhadap Raja sekalian alam? Selawat dan salam tercurah buat peribadi mulia tercinta Sayyiduna Muhammad Sallallah 'Alayh Wasallam. Menambah selawat dan sunnah menambah cinta kepada baginda. Mudah-mudahan dihimpunkan bersama baginda dan dimasukkan dalam kalangan mereka yang memperoleh syafaatnya di akhirat kelak. Allahumma Amin.

Mendung cuaca hari ini, semendung keadaan hati pagi ini. Mampukah mendung itu bertahan atau itu petanda sebentar lagi akan hujan? Entahlah, sukar untuk menduga. Kerana itu bukan kuasa hamba tapi kuasa Pencipta. Teruslah menjalani hari ini kerana masa tak akan terhenti dengan kehendak diri. Hari ini penentu hari esok.  Baik amalmu hari ini (dunia) itulah yang menentukan imbalanmu hari esok (akhirat) di hadapan Allah Jalla Wa 'Ala. Usah terus melarikan diri, teruskanlah kehidupan walaupun harapan hampir punah. Kerana hidupmu bukan untuk memperhitungkan sebesar mana kebahagiaan yang bisa dikecapi tetapi hidupmu hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Alah Jalla Wa 'Ala.


Meneruskan kerja-kerja pengurusan. Agak terisi masa yang ada apabila diberikan kerja-kerja tertentu walaupun kerja remeh sahaja. Cuba mengenepikan masalah peribadi dari urusan kerja. Ya, memang aku pandai berlakon dengan watak seperti itu. Berdelusi itu sudah hampir sebati dalam hidupku. Sehingga ada yang menggelar "tak punya perasaan". Cukuplah aku dan Dia sahaja yang mengetahui apa yang kutanggung selama ini. Perit dan pedihku harungi hidup hanya Dia yang sudi menemani. Hanya Dia yang sedia menanti. Dia jugalah yang menyambut tanganku tika aku tersungkur tak bermaya. Manusia hanya pandai menabur janji. Hanya bijak mempamer emosi. Seolah mereka itu insan yang cukup mulia dan berhati suci. Amanah yang diberi, khianat yang dibalasi. Akhirnya luka semalam berdarah kembali. Untuk apa berharap pada makhluk, mereka tak mampu menjamin apapun. Serahkan urusanmu pada Tuhan Yang Maha Mengatur. Dia Maha Megetahui segala keadaan dan keperluanmu. Pasti engkau tidak akan kecewa. Itu janji-Nya.

Belum pun mendung itu mencurahkan titisan-titisan air jernih ke bumi, mendung dihati telah mendahului. Manik-manik jernih itu mengalir tanpa sempat ditahan. Mujur tidak ada yang melihat. Dalam remuk dipasrahkan segalanya. Takdir-Nya berhikmah. Pasti ada pelajaran buat diri. Merawat hati sendiri. Bangkit kembali dari kejatuhan yang mencederakan. Ya Allah, sungguh hamba-Mu ini sangat lemah dan tak berdaya. Hampir-hampir aku bertindak berhenti dari meneruskan perjuangan ini. Rohaniku sangat lemah. Kepada-Mu tempat bergantung. Takku harap selain rahmat-Mu. Takku ingin kecuali belai kasih-Mu. Dakaplah aku dalam rahmat dan redha-Mu. Itu lebih bererti dari dunia sekelilingku. Bantulah aku ya Rahim.


Pulang dari kerja, hujan mula merintik. Apakah ia mula menyampaikan sesuatu? Melihat titisannya tidak sayu malah menyejukkan hati tetapi tidak juga menceriakan. Terasa dingin seketika. Sejenak berfikir. Hujan itu membawa rahmat. Dengan rahmat-Nya tanaman subur dan mengeluarkan hasil. Bunga-bunga membesar dan berkembang mekar. Tapi itu untuk suatu jangka masa yang panjang. Agak lama untuk menunggu. Argh...bukankah pelangi akan timbul. Ya, itulah kegembiraan mereka yang menyaksikan pelangi. Warnanya yang tujuh itu walau sedikit sudah mampu membuat insan tersenyum ceria. Indah dan segar. Mungkinkah ini yang hendak disampaikan? Bahawa kesedihan itu akan berlalu dan diganti dengan kegembiraan seperti melihat pelangi? Anggaplah kegagalan bukan suatu kekalahan, tapi suatu kejayaan yang masih tertunda. Ya Allah, mudahan-mudahan itu yang terjadi. Gembiraku apabila peluang bersama-Mu semakin banyak dan waktu dengan selain-Mu semakin sedikit. Ceriaku apabila senyumku tidak lagi dikongsi dengan sesiapa selain Engkau dan para kekasih-Mu. Engkaulah Tuhanku, pemilik hatiku. Bawakanlah aku dalam bahagia itu. Allahumma Amin.

Apabila alam berbicara, manusia tak mampu berkata apa. Hanya ucapan syukur dan memuji Allah Jalla Wa 'Ala sahajalah yang dapat menggambarkannya. Namun itu hanya berlaku pada mereka yang memikirkan. SubhanallahAlhamdulillah. Aku serahkan jiwa dan ragaku kepada-Mu. Biarkan aku memburu cinta-Mu. Jangan Kau izinkan aku memburu cinta makhluk. Cukuplah Allah bagiku. Kepada-Nya-lah aku berserah diri.

Hebahan Pengajian Bersanad

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين



Siri Pengajian Bersanad dan periwayatan Hadith Musalsal bersama al-Muhtaram al-Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki kembali lagi. Butiran seperti berikut atau yang tertera pada poster di atas:


  • Tarikh    : 8 Julai 2012 / 18 Sya'aban 1433H
  • Hari       : Ahad
  • Tempat  : Dewan Masjid al-Salam, Bukit Beruntung, Rawang, Selangor
  • Masa     : 7.00 am - 5.00 pm


Jemput semua muslimin dan muslimat, kita ke taman-taman syurga. Mudah-mudahan Allah Jalla Wa 'Ala mempermudahkan jalan menuju-Nya. Allahumma Amin

Mencari Hakikat Rindu

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah Rabbil 'Alamin. Segala puji bagi Allah Jalla Wa 'Ala. Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia berkuasa membolak-balikkan hati para hamba-Nya, tetapkanlah hati hamba-hamba-Mu di atas kebenaran agama-Mu dan ketaatan terhadap-Mu. Selawat dan salam atas junjungan mulia Habibuna Sayyiduna Muhammad Sallallah 'Alayh Wasallam. Makhluk termulia di sisi Tuhan. Moga beroleh syafaatnya di akhirat kelak. Amin Ya Rabb.


Sepanjang perjalananku di bumi Tuhan, masih belum menemukan maksud rindu yang sebenar. Sedangkan itu bekal untuk aku mengenal Tuhan. Aku mencari dalam setiap pertemuan dengan insan. Apakah ia hanya perasaan yang hadir tatkala mengingati seseorang? Jika rindu itu perkara mulia, mengapa ada yang terjerumus ke lembah dosa dan hina? Apakah bezanya rindu yang haq dan batil? Apakah neraca timbangan rindu yang diredhai dan rindu yang dimurka Ilahi? Sungguh, mengaitkan dengan manusia hari ini, amat sukar untuk menentukan jawapannya. Kepada Dia-lah dikembalikan segala pertanyaan agar dibentangkan hikmah dan kebenaran.

Gambar Masjid Nabawi itu dipaparkan. Tatkala memandang kubah hijau itu, hati menjadi sayu. Ingatan semakin kuat. Jiwa semakin sebak. Mutiara jernih itu akhirnya jatuh ke bumi. Tidak mampu mengatakan apa-apa. Namun, lantunan mahabbah masih diteruskan tanpa berhenti. Tatkala maulid dibacakan bersama, perasaan itu hadir kembali. Persis seperti sebelumnya. Begitu juga tatkala kemuliaan akhlaknya dikisahkan, sayu itu bertambah dalam. Terasa ingin berlari menemui insan teragung itu seketika itu juga. "Ya Rasulullah, Khuz biyadi (Wahai Rasulullah, sambutlah tanganku)". Diulang-ulang bait qasidah itu. Mengharap ia didengari oleh peribadi mulia tercinta itu. 


Saat mata terpejam nafas dihela panjang. Alhamdulillah, rasanya aku sudah mula fahami hakikat rindu. Rindu pada Allah dan Rasul itulah standard piawaian yang digunakan. Kini aku semakin mengerti bagaimana untuk menilai perhubungan dengan insan. Rindu yang benar itu tidak mengkhayalkan tetapi mampu membuatkan jiwa runtuh dan menangis sendu. Bukan kerana sedih dan kecewa tetapi kerana terlalu cinta. Mengapa rindu itu harus diiringi tangisan atau rasa sayu? Kerana tatkala itu si perindu sedang mengadu kepada Pemilik hatinya. Merayu dan memohon kepada yang mengurniakan perasaan itu. Agar rindunya bukan kerana nafsu tetapi kerana Allah Yang Satu. Lalu doa dikirim dalam rahsia. Moga terjawab segala rasa. Lihatlah, segalanya akan kembali kepada Allah Jalla Wa 'Ala, biar sehalus apa pun perasaan kita. Yang haq itu akan membawa kita kepada pencipta. Subhanallah, Tabarakallah, indahnya fitrah insani apabila dihayati dan digunakan dengan benar. Semoga Allah memelihara kita sebagai hamba-Nya. Allahumma Amin.


Dalam sendu ku meluah rasa
Apa yang terbuku di dalam dada
Sesak nafasku menanggung derita
Yang ditunggu tak kunjung tiba

Jarak itu menjelas segala
Kebahagiaan itu bukan percuma
Pengorbanan dan kesabaran syarat utama
Untuk hidup bersama yang di-CINTA

Bicara hamba pada pencipta
Takkan sama dengan yang biasa
Bicara ikhwan pada kekasih-Nya
Membangkit mahabbah yang luar biasa
Itulah anugerah yang tiada taranya

Kala rindu kian memuncak
Godaan nafsu turut membuak
Jangan terburu dalam betindak
Bimbang tertipu dalam keliru
Kepada Dia-lah segala dituju
Moga hidup semakin terpandu