Rintihan Hati Seorang Hamba

Taubat Seorang Hamba – (Irsyadee feat Hafiz Hamidun)

Hati hiba mengenangkan…. Dosa-dosa yang ku lakukan

Oh Tuhan Maha Kuasa…Terima taubat hamba berdosa

Ku akui kelemahan diri, Ku insafi kekurangan ini, Ku kesali kejahilan ini,

Terimalah…..Terimalah..…Terimalah

Taubatku ini…

Telah aku merasakan…..Derita jiwa dan perasaan

Kerna hilang dari jalan, Menju redha Mu Ya Tuhan

Di hamparan ini ku meminta…..Moga taubatku diterima…

Ku akui kelemahan diri, Ku insafi kekurangan ini, Ku kesali kejahilan ini,

Terimalah…..Terimalah..…Terimalah

Taubatku ini…

Sesekali terdetik hati ini bertanya kepada diri sendiri, apakah amalan selama ini sudah cukup untuk menjadi bekalan di akhirat sana? Sekalipun cukup, apakah timbangan amal kebajikan itu dapat mengatasi amalan kejahatan? Bagaimana hendak disembahkan amalan-amalan ini kepada Dia…. Apakah Dia sudi menerimanya…?

Astaghfirullahal ‘aziim…, kecilnya diri insan bila menyedari bahawa kita hanya seorang hamba. Sekalipun di angkat darjat sebagai manusia yang menjadi khalifah di muka bumi ini dan dikurniakan akal fikiran, hakikatnya kita tetap kerdil di sisiNya jika kita tidak beriman. Apalah gunanya pangkat dan nama, jika kita sering menzalimi diri sendiri? Bagaimana ingin dipulangkan kembali segala apa yang dipinjamkanNya di dunia ini dalam keadaan sempurna? Malunya untuk berhadapan denganNya dengan keadaan yang penuh dengan dosa ini…..

Tangan ini dikurniakan untuk beramal bakti, tolong-menolong untuk kebajikan, memohon doa kepadaNya, kaki ini diberikan untuk melangkah ke tempat-tempat mulia yang dapat menuju ke SyurgaNya, mata pula dikurniakan untuk melihat dan menghayati segala ciptaanNya dan kemudian menginsafi akan kelemahan diri sendiri. Bibir ini dicipta untuk menyebut asma-asmaNya.Tetapi apakah semua ini digunakan tepat pada jalanNya? Jika benar, mengapa terlalu sukar untuk kita mengalirkan air mata bila melihat kebesaranNya? Mengapa pula sukar untuk tinggalkan kemaksiatan? Apakah kerana terlalu sedikit keikhlasan yang diberikan…atau mungkinkah kita terlalu ego? Mengapa kita membiarkan diri kita terus berada dalam dosa sedangkan kita tahu bahawa segala yang dijanjikanNya adalah benar yakni nikmat dan azabNya itu adalah benar?

Kita tahu akan dosa dan pahala, tetapi sering tidak mengendahkannya. Kita sedar akan adanya kematian, tetapi sering melupakannya. Kita juga sedar dunia ini hanya sementara tetapi hidup seolah-olah untuk selamanya. Bila mendapat kejayaan dan nikmat, jarang sekali mgucapkan syukur kepadaNya seolah-olah kita perolehnya dengan usaha kita sendiri semata-mata. Kita mengaku adanya Tuhan, tetapi sedikit sekali yang beriman.

Bukankah kita terlalu angkuh kepadaNya…..mengapa kita jadi sebegini jahil sedangkan kita ini lemah… tiada kuasa dan daya melainkan dengan pertolonganNya. Sedarlah insan, tiada apa yang membahagiakan di dunia ini melainkan hanya penderitaan semata-mata jika kita tidak beriman kepadaNya. Dekatkanlah diri kita denganNya…..rendahkanlah diri dihadapanNya dalam beribadah, basahilah pipi ini dengan air mata taubat yang sebenar-benar taubat, sinarkanlah wajah ini dengan siraman air wudhuk, bersihkan dan sucikan hati yang selama ini dikotori dosa-dosa dengan wangian keikhlasan dalam segala amal kebaikan dan…pagarilah diri ini dengan benteng keimanan yang utuh dan kukuh dengan keyakinan yang kuat bahawa Allah sentiasa bersama kita biarpun dalam suka mahupun duka.

Bagiku, dunia ini ibarat sebuah neraka kerana di dalamnya dipenuhi banyak orang yang melakukan maksiat, terlalu banyak kerosakan yang berpunca dari manusia sendiri, terlalu banyak fatamorgana yang melalaikan manusia. Tidakkah kita semua menyedarinya? Dan…berada disamping orang-orang yang beriman dan beramal soleh, baik para alim ulama atau insan yang baru hendak mendekatkan diri kepadaNya, asalkan dihatinya ada keinsafan untuk mencari jalan yang dapat menuju ke syurgaNya, hanya itulah yang dapat membahagiakan dan mententeramkan jiwaku. Mudah-mudahan aku juga dapat menjadi seperti mereka dan dapat menjadi seorang ‘Abid di sisiNya suatu masa nanti, InsyaAllah.

“Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkaulah petunjuk kami, maka tunjukilah kami ke jalan yang Engkau redhai dan rahmati, bimbinglah kami dalam meniti perjalanan yang penuh dengan onak dan duri ini, janganlah Engkau membiarkan kami tersungkur tanpa pertolonganMu, jangan Engkau biarkan kami sesat dan terus hilang dari petunjukMu, sesungguhnya kami insan yang lemah lagi hina, tiada tempat untuk kami mengadu melainkan kepadaMu, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui, tunjukkanlah kami pilihan yang tepat dalam setiap tindakan dan keputusan kami dalam menegakkan agamaMu di muka bumi ini, sesungguhnya kami sedar akan kelemahan kami. Maka tetapkanlah hati kami, hati orang-orang yang beriman supaya tidak berpaling dari agamaMu dan tidak pula membiarkan orang-orang munafiq dan orang-orang yang kufur mempermainkan agamaMu.

Ya Allah Ya Razzaq, setiap nafas kami, hanya milikMu…kerna kami tahu bila-bila masa sahaja jika Engkau berkehendakkan kami kembali kepadaMu, pasti tiada apa yang dapat menghalangMu, Cuma kami memohon…..terimalah kami kembali kepadaMu dalam keadaan yang suci dan bersih dari dosa-dosa yang pernah kami lakukan di dunia ini, sesungguhnya kami sangat malu untuk bertemuMu dalam keadaan yang kotor, kami juga malu atas dosa-dosa yang pernah kami lakukan. Kami memohon perlindunganMu Ya Allah, lindungilah kami dengan perisai keimanan di hati dan seluruh anggota tubuh badan kami. Jangan Kau relakan kaki kami melangkah ke tempat-tempat maksiat, jangan kau biarkan kedua tangan kami saling membantu ke arah maksiat dan kejahatan dan jangan pula Engkau dekatkan kemaksiatan itu mengahmpiri kami, sebaliknya pimpinlah kami ke tempat-tempat yang dapat mendekatkan kami kepadaMu sama ada secara berjemaah atau hanya berduaan denganMu. Sesungguhnya kami serik akan duniaMu ini, kami serik untuk berjauhan denganMu kerana kami sedar tiada ertinya hidup ini tanpa Engkau di sisi kami.

Ya Allah, dengarlah rintihan kami ini, kami merayu padamu Ya Allah, makbulkan doa kami…..kami ingin mencintai maka kurniakanlah kami perasaan cinta kepadaMu, kami juga ingin dicintai maka cintailah kami sepertimana Engkau mencintai kekasihMu yang juga Nabi utusanMu kepada kami yakni Rasulullah saw, kurniakanlah kami kemanisan iman itu, yakni nikmat dalam beribadah kepadaMu…..sesungguhnya kami pasrah akan ketentuanMu kerana kami tahu bahawa Engkau Maha Arif akan apa yang terbaik untuk hamba-hambaMu, kami pusatkan segala amal kami semata-mata keranaMu, terimalah segala amal kami dan kurniakanlah kami darjat yang tinggi di sisimu, layakkan kami memiliki singgahsana syurgaMu….Amiin”

*****************************************************

“Ya Allah Ya Muhaimin, jadikanlah aku seorang insan yang bergelar ‘Abid di sisiMu, yang ikhlas ibadatnya kepadaMu, sesungguhnya aku sedar betapa manisnya beribadat kepadamu itu dan aku tidak ingin sekali untuk hilang dari merasai betapa lazatnya berdua-duaan bersamaMu di dunia ini apalagi di akhiratMu yakni di syurgaMu…..jangan Kau relakan aku terus mengkhinati segala kurniaan dan nikmatMu di dunia ini, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah dosa-dosaku, terimalah taubatku….Amiin Ya Rabbal ‘Alamin”

- Ahad – 24 February 2008 bersamaan 17 Safar 1429 H – 22:28 p.m.

Bermunajat Kepada Allah...

Selain berdoa, berzikir adalah salah satu cara manusia untuk berhubung dengan Allah SWT. Zikir boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja melainkan ditempat-tempat kotor seperti di tandas. Berzikir bermaksud mengingati Allah dengan menyebut asma’-asma’Nya baik dalam keadaan duduk, berbaring, berdiri dan sebagainya.

Ibnul Qayyim berkata: “Membaca al-Quran itu lebih utama dari zikir dan zikir lebih utama dari doa. Ini apabila dipandang dari sudut masing-masing tanpa melihat kepada perkara-perkara lain yang berhubungan dengan ketiga-tiganya. Kecuali dalam keadaan tertentu, doa atau zikir boleh sahaja menjadi lebih bermanfaat baginya dari membaca al-Quran”

Zikir Munajat merupakan kaedah bermunajat yang telah disusun oleh ulama silam untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Zikir ini jika terus diamalkan dapat membantu melunakkan jiwa, menenangkan hati, membentuk pekerti mulia, menggugurkan sifat-sifat keji, menyerlahkan personaliti muslim sejati dan menjadikan diri kekasih Allah.

Ma’qil bin Yasar r.a. berkata, bahawasanya Nabi saw bersabda, Allah SWT berfirman : ”Wahai anak Adam! Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nescaya akan Kupenuhi hatimu kekayaan dan Kupenuhi juga kedua tanganmu rezeki. Wahai anak Adam! Janganlah engkau berjauhan denganKu, nanti akan Kupenuhi hatimu kemiskinan, dan Kupenuhi juga tanganmu dalam kesibukan” (Riwayat Hakim)

Saidina Uthman Bin Affan r.a. berkata: Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah hatinya selalu berniat suci, lidahnya selalu basah dengan zikrullah, kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa), segala perkara dihadapaiya dengan sabar dan tabah dan mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia”

Berikut adalah zikir munajat yang biasa kita baca selepas menunaikan solat fardu. Jadikanlah ia suatu amalan kerana ini adalah salah satu bukti kepada Allah bahawa kita sentiasa mengingatiNya. Banyak lagi zikir-zikir yang boleh diamalkan tapi ana tumpukan kepada zikir munajat ini dahulu. Selain solat fardu, hiasilah malam-malam kita dengan Qiyamul Lail dan isilah Qiyamul Lail itu dengan bermunajat kepada Allah…berzikirlah sebanyak mana yang mampu dan istiqamahlah dalam mengamalkannya.

أسْتَغْفِرُاللهَ العَظِيم الَّذِي لاَ إلهَ إلاَّ هُوَ الحَيُّ القيُّوم وَأتُوبُ إلَيْهِ

Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah


لا إله إلاَّ الله وحده لاَ شريك له، له الملك وله الحمدُ وهو على كلِّ شئٍ قديرٌ

Tiada Tuhan yang lain melainkan Allah yang Maha Esa. Tiada sesuatu yang menyengutu bagi-Nya. Tuhan yang memiliki segala kekuasaan. Tuhan yang memiliki segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan Mematikan. Dialah Allah Tuhan yang Berkuasa atas segalanya


الله - الله - الله - الله يا الله - الله يا الله - الله يا الله - الله يا الله - الله يا الله

الله - الله - الله - يا الله - الله - الله - الله - يا الله - الله يا الله - الله يا الله - الله يا الله

Allah- Allah-Allah-Allah ya Allah, Allah ya Allah- Allah ya Allah- Allah ya Allah, Allah-Allah-Allah- ya Allah, Allah-Allah-Allah ya Allah, Allah ya Allah-Allah ya Allah-Allah ya Allah.


فَسُبْحَانَ مَنْ لاَ يَقدَ رُ الخَلقُ قدَْرُهُ وَمِنْ هُوَ فَوْقَ العَرْشِ فَرْدٌ موَّحَّدٌ مَلِيكٌ عَلى عَرْشِ السَّمَاءِ مُهَيْمِنُ لِعِزَّتِهِ تَعْنُوْ الوُجُوهُ وَتَسْجُدُ.

Maha Suci Tuhan (Allah). Tiada kuasa makhluk mengatasi kudrah kekuasaan-Nya, Dialah Tuhan (Allah) di atas singgahsana Arasy, dengan kerana Esa dan Tunggal, memiliki segala di atas Arasy langit dengan senang dan mudah demi kerana kemuliaan-Nya semua wajah-wajah sujud dan tunduk kepada-Nya.


حَسبِي رَبِّي جَلَّ اللهِ، مَا فِى قَلبِي غَيْرُاللهِ، نورُ مُحمَّدٍ صَلَّى اللهِ .

Cukuplah perhitunganku dengan Tuhanku yang Maha Mulia. Tiada sesuatu yang lain di hatiku selain daripada Allah, nur Muhammad s.a.w


لَيْسَ لهاَ مِن دُ ونِ اللهِ كاَشِفَة ٌ .

Tiada sesuatu yang lain yang tersingkap selain daripada Allah


لاَ إلهَ إلاَّ اللهُ المَلِكُ الحَقُّ المبينُ، مُحمَّدٌّ رَسُولُ اللهِ، صَادقُ الوَعْدِ الأَمِينِ .

Tiada Tuhan melainkan Allah. Tuhan yang memiliki. Tuhan yang hak. Tuhan yang benar (nyata). Muhammad pesuruh Allah, benar segala janjinya lagi dipercayai


أستغفر الله إنَّ اللهَ كاَنَ تَوَّابَا.

Hamba memohon keampunan kepada-Mu ya Allah, sesungguhnya Engkau yg Allah Maha Penerima Taubat


يا الله يا الله يا الله يا الله

Ya Allah, ya Allah, ya Allah, ya Allah


تبنا الى الله، ورجعنَا الى الله، وندِمْنَا على مَا فعلْنَا

Kami memohon taubat kepadaMu ya Allah, Kami kembali kepadaMu ya Allah, Kami sesungguhnya menyesal atas perbuatan maksiat yang pernah kami lakukan


تُبنَا يا الله، تُبنَا يا الله، تُبنَا يا الله

وَرَجَعْنَا يا الله، وَرَجَعْنَا يا الله، وَرَجَعْنَا يا الله

وَنَدِمْنَا يا الله، وَنَدِمْنَا يا الله، وَنَدِمْنَا يا الله

Kami bertaubat kepadaMu ya Allah (3x). Kami kembali kepadaMu ya Allah (3x). Kami sesungguhnya menyesal atas perbuatan maksiat yang pernah kami lakukan (3x)

************************************************

“Dengan berzikir kepada Allah, gumpalan ketakutan, kecemasan dan kesedihan, akan lenyap. Lebih dari itu, dengan berzikir kepada Allah tompokan beban hidup dan masalah kehidupan akan hilang” --(kata hikmah)--

Marilah kita jadikan doa dan zikrullah sebagai amalan harian, sesungguhnya doa itu senjata mukmin dan zikrullah itu penenang jiwa... Maka, sucikanlah hati kita dengan menyebut nama-nama Tuhan Yang Esa, sebagai tanda kita mengingatiNya...Ikhlaskanlah hati dalam beribadah agar amalan kita tidak menjadi sia-sia belaka...

Wallahua’alam, Wassalam.

Berdoalah Insan...

Doa adalah senjata bagi orang mukmin baik dalam senang atau susah. Dengan berdoa, kita merasa kuat kerana kita yakin bahawa Allah SWT sentiasa bersama kita. Alhamdulillah, dari kecil lagi kita dilazimi dengan pelbagai doa harian…baik yang pendek mahupun yang panjang. Antaranya doa makan, doa masuk tandas, doa keluar rumah, doa belajar dan lain-lain lagi…Insyaallah, ianya akan menjadi amalan yang berkekalan sepanjang hayat ini.

Dalam risaalah kali ini, ana ingin berkongsi dengan antum semua beberapa doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada sahabat dan doa yang diajarkan oleh Imam al-Ghazali r.a. kepada anak muridnya. Semoga ianya dapat diamalkan dalam kehidupan kita, Insyaallah Taala.

Hakikatnya,doa merupakan ibadat kepada Allah…kita harus menyedari bahawa kita adalah insan yang lemah dan tidak berdaya. Hanya dengan pertolongan dan petunjukNyalah yang menjadikan kita sebagai manusia yang mulia, berakhlak, dan berperibadi mulia. Ketahuilah bahawa di dalam doa itu, terdapat ketenangan jiwa, kelapangan dada dan ketenteraman hati yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Doa memiliki pengaruh besar dalam kehidupan seorang muslim. Cuba kita lihat, berapa ramai orang yang pernah melakukan dosa mendapat hidayah dari Allah?! Berapa ramai orang yang sakit dapat disembuhkan?! Yang miskin menjadi kaya…dan macam-macam lagi. Semua ini adalah kerana doa yang dipanjatkan oleh mereka kepada Allah atau doa yang ditujukan oleh orang lain untuk mereka dengan tulus dan ikhlas.

Dalam kitab al-Mustadrak al-Hakim termaktub hadith riwayat Abu Hurairah dari Nabi SAW yang menyatakan tentang perkara ini. Nabi SAW bersabda: “Berdoalah kepada Allah dengan hati yang amat yakin bahawa doa tersebut pasti akan dikabulkan dan ketahuilah bahawasanya Allah tidak akan menerima doa yang datang dari hati yang lalai.”

Dari hadith ini, kita sedari bahawa sebenarnya doa merupakan penawar yang mujarab yang dapat menghilangkan penyakit. Sayangnya, kelalaian hati manusia terhadap Allah itulah yang sering memusnahkan kemujaraban dan kekuatan doa. Begitu juga halnya memakan makanan yang haram, ia dapat memusnahkan dan melemahkan dan kekuatan doa.

Abu Hazim al-A’raj mengatakan: “Tidak boleh berdoa bagiku lebih aku takuti daripada jika doaku tidak dikabulkan”.

Mus’ir meriwayatkan dari Ibn ‘Aun, ia berkata: “Manusialah yang menjadi penyebab datangnya penyakit dan Allah jua yang menciptakan ubatnya.”

Lalu Adz-Dzahabi menegaskan: “Ya, demi Allah. Memang amat menghairankan semua itu disebabkan kebodohan kita. Mengapa kita meninggalkan penawar, sedangkan kita selalu diserang penyakit?”

Firman Allah SWT:

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu.” (Al-Baqarah : 152)

"Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabur dalam beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina" (Ghaffir : 10)

"Sesungguhnya Allah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh" (Adz-Dzariyat : 58)

Diriwayatkan dari Syadad ibn Aus r.a dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Penghulu segala istighfar adalah; ‘Ya Allah, Engkau Tuhanku, tiada Tuhan selain Engkau, Engkau yang telah menciptakanku dan aku adalah hambaMu, aku berusaha semampuku untuk selalu berada dalam pemeliharaan dan janjiMu. Aku berlindung kepadaMu dari akibat buruk perbuatanku. Aku akui akan nikmatMu atas diriku dan aku juga mengakui betapa besarnya kesalahanku, maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau’”.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membacanya dengan hati yang yakin pada waktu siang, lalu pada hari itu ia meninggal dunia sebelum tiba waktu petang, maka ia termasuk ahli (penduduk) syurga dan barangsiapa yang membacanya dengan hati yang yakin pada waktu malam, lalu ia meninggal dunia sebelum tiba waktu pagi, maka ia termasuk ahli syurga”.

Diriwayatkan dari Abu Bakar As-Siddiq r.a, bahawa ia pernah berkata kepada Nabi SAW: Ajarkan aku doa yang dapat aku baca di dalam solatku”. Rasulullah SAW menjawab: “Bacalah, Ya Allah, sesungguhnya aku telah banyak berbuat kezaliman atas diriku sendiri dan sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Engkau. Berikanlah aku keampunan dariMu, kasihilah Aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Berkata Imam al-Ghazali r.a. kepada anak muridnya (dalam sepucuk surat): “sesungghnya aku telah tuliskan dalam warkah ini apa-apa yang engkau kehendaki. Maka sayugia engkau mengamalkan dengan isinya dan jangan engkau lupa padanya daripada mengingati aku dalam doa-doamu yang baik. Adapun doa yang engkau tanyakan itu maka carilah lafaznya di dalam kita-kitab yang sohih, dan bacalah pula doa yang aku tuliskan ini pada sekalian waktumu, khususnya selepas sembahyang engkau.

Doa itu ialah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلَُكَ مِنَ النِّعْمَةِ تَمَامَهَا ، وَمِنَ الْعِصْمَةِ دَوَامَهَا ، وَمِنَ الرَّحْمَةِ شُمُولَهَا ، وَمِنَ الْعَافِيَةِ حُصُولَهَا ، وَمِنَ الْعَيْش ِأَرْغَدَهُ ، وَمِنَ الْعُمُرِ أَسْعَدَهُ ، وَمِنَ الإِحْسَانِ أَتَمَّهُ، وَمِنَ الإنعَام أَعَمَّهُ ، وَمِنَ الفَضْلِ أَعْذَبَهُ ، وَمِنَ اللُّطْفِ أقْرَبَهُ.

اللَّهُمَّ كُنْ لَنَا وَلاَ تَكُنْ عَلَيْنَا.

Ya Allah, aku memohon akan engkau daripada nikmat itu yang paling sempurna,dan daripada pemeliharaan itu yang paling kekal, dan daripada rahmat itu yang paling menyeluruh, dan daripada afiat itu yang paling berhasil, dan daripada kehidupan itu yang paling senang, dan daripada umur itu yang paling bahagia, dan daripada ihsanMu itu yang paling sempurna, dan daripada nikmatMu itu yang paling menyeluruh, dan daripada kelebihanMu itu yang paling sedap dan daripada lemah lembutMu itu yang paling dekat.

Ya Allah, jadilah Engkau sentiasa pembela kami, bukan penghukum ke atas kami.

اللَّهُمَّ اخْتِمْ بِالسَّعّاَدةِ آجَالَنَا ، وَحَقِّقْ باِلزِّيَادَةِ آمَالَنَا ، وَاقرِنْ باِلعَافِيَةِ غُدُوَّنَا وَآصَالَنَا ، وَاجْعَلْ إِلىَ رَحْمَتِكَ مَصِيْرَنَا وَمَآلَنَا ، وَاصْبُبْ سِجَالَ عَفوِكَ عَلىَ ذُنُوبِنَا ، وَمُنَّ عَلَيْنَا بِِإِْصْلا َحِ عُيُوبِنَا ، وَاجْعَلِ التّقوَى زَادَنَا ، وَفِي دِينِكَ اجْتِهَادَنَا ، وَعَليْكَ تَوَكُّلنا وَاعْتِمَادَنَا.

Ya Allah, habiskanlah ajal kami dengan kebahagiaan, dan berikanlah kepada kami yang lebih baik daripada apa yang kami harapkan dan iringkanlah pagi dan petang kami dengan keafiatan dan jadikanlah kesudahan kami dan kemuncak cita-cita kami untuk mendapatkan rahmatMu. Dan tuangkanlah hujan yang lebat daripada kemaafanMu ke atas dosa-dosa kami dan sentiasalah Engkau member nikmat kepada kami dengan membaikkan segala keaiban kami dan jadikanlah takwa itu sebagai bekalan kami, dan jadikan pula kesungguhan kami itu dalam memperjuangkan agamaMu dan jadikanlah tawakal dan pegangan kami hanya dengan Engkau.

اللَّهُمَّ ثَبِّتْنَا عَلَى نَهْجِ الاِسْتِقاَمَةِ ، وَأَعِذ نَا فِي الدُّنْيَا مِن مُوجِبَاتِ النَّدَامَةِ يَومَ الْقِيَامَةِ ، وَخَفِّفْ عَنَّا ثِقْلَ الأَوْزَارِ، وَارْزُقْنَا عِيشَة َ الأَبْرَارِ ، وَاكْفِناَ وَاصْرِفْ عَنَّا شَرَّالأَشْرَارِ، وَاعْتِقْ رِقاَبَنَا وَرِقاَبَ آبَائِنَا وَأُمَّهَاتِنَا وَإِخْوَانِنَا وَأَخَوَاتِنَا مِنَ النَّارِ ، ِبرَحْمَتِكَ يَا عَزِيْزِ يَِا غَفَّارُ يَا كرِيمُ يَا سَتَّارُ يَا عَلِيمُ يَا جَبَّارُ ، يَا أَلله يَا الله يَا الله ِبرَحْمَتِكَ يَا أََرْحَمَ الرَّاحِمِينَ ، وَيَا أوَّلَ الأوَّلِيْنَ ، وَيَا آخِرَ الآخِرِيْنَ ، وَيَا ذَاالقُوَّةِ المَتِين ِ ، وَيَا رَاحِمَ المَسَاكِين ِ، وَيَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ ، لاَ إِِلهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ.

Ya Allah, tetapkanlah kami berada di atas jalan istiqamah, dan lindungilah kami di dunia ini daripada mengerjakan perkara-perkara yang mengakibatkan penyesalan kami di hari kiamat nanti dan ringankanlah bebanan dosa-dosa kami dan kurniakanlah kepada kami kehidupan hamba-hambaMu yang baik-baik dan jauhkan daripada kami segala kejahatan orang-orang jahat dan lepaskanlah leher kami dan leher ibubapa kami dan seluruh saudara kami yang lelaki dan perempuan daripada belenggu api neraka. Semuanya itu berkat rahmatMu. Wahai Tuhan Yang Maha Mulia dan Maha Mengampuni dan Maha Pemurah lagi menutupi keaiban kami, wahai Tuhan Yang Mengetahui dan Maha Perkasa Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah dengan rahmatMu wahai Tuhan Yang Lebih Pengasih daripada segala yang pengasih, wahai Tuhan yang dahulu daripada segala yang terdahulu, wahai Tuhan yang kemudian daripada segala yang kemudian, wahai Tuhan yang mempunyai kekuatan yang sangat kukuh, wahai Tuhan yang sangat mengasihi orang-orang yang miskin dan Tuhan yang terlebih kasih sayang daripada segala orang yang kasih sayang, tidak ada Tuhan yang layak disembah selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini termasuk dikalangan orang yang menzalimi dirinya sendiri.

*****************************************************

Sabda Rasulullah SAW:"Berdoalah kalian kepada Allah dengan keyakinan agar dikabulkan. Ketahuilah bahwa Allah tidak akan mengabulkan doa orang yang hatinya hampa dan tidak sungguh-sungguh" (HR Tirmidzi dan al-Hakim)


وصلَّى الله على سيِّد نا محمَّدٍ وآلهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ. وَالْحَمْدُللهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ.

Aurat...JANGAN Ambil Mudah!!!

Soal aurat bukanlah masalah baru bagi masyarakat islam pada masa ini. Hal ini telah berulang-ulang kali diingatkan baik dalam silibus pengajian di sekolah mahupun di mana-mana majlis ilmu. Tetapi apa yang kita lihat baik di kampung ataupun di bandar, soal aurat seolah-olah tidak diendahkan oleh masyarakat kita umat islam khususnya. Mereka seolah-olah memandang remeh hukum Allah. Ada yang dah lengkap menutup aurat tetapi tudung pula tak sesuai…terlalu jarang sehingga boleh menampakkan tengkuk dan rambut.


Untuk menyingkap masalah ini, ana cuba dapatkan info yang sesuai dengan situasi umat islam sekarang supaya sesiapa yang baca artikel ini boleh mengambil iktibar dan pengajaran dan mungkin juga boleh sampaikan kepada sahabat-sahabat islam kita yang lain. Artikel ini ana ambil hanya sebahagian sahaja yang ana rasakan penting untuk dikongsi dan dihayati berkaitan masalah umat islam ketika ini.


Biasanya, bila memperkatakan tentang aurat, mesti dikaitkan dengan wanita. Mengapa??!! Kerana aurat wanita itu lebih sukar dijaga berbanding lelaki. Aurat wanita yang kita tahu adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan sedangkan lelaki hanya pusat hingga ke lutut. Ini kita sedia maklum…tetapi mengapa hal ini masih menjadi isu dikalangan umat islam? Bagaimana seorang muslim itu boleh mengaku beriman jika amal perbuatannya tak menunjukkan dia beriman??!! Bukankah ini sesuatu yang pelik? Ye..memang soal ibadah itu, antara kita dengan Allah tetapi kalau kita sendiri tak menjalankan tuntutan agama, bagaimana kita boleh katakan kita beriman?Adakah iman itu boleh dimiliki dengan mudah??


Berbalik masalah aurat tadi, ana tumpukan kepada kaum hawa yang bergelar muslimah khususnya… ana sedih bila melihat pemakaian muslimah zaman ini. Hal ini juga terjadi dikalangan sahabat-sahabat ana sendiri, dan sebab inilah yang menguatkan ana untuk menyampaikan risalah ini.


Ana teringat kata-kata seorang sahabat ana, masa tu kami cadang nak keluar ramai-ramai ke KL. Ana sajalah tanya kalau-kalau boleh join sama. Terkejutnya ana bila dia kata, “boleh, ala…tapi nanti ko mesti pakai baju kurung”. Ana nak tanya antum semua, hina sangatkah berbaju kurung? Bayangkan yang cakap seperti ini adalah umat islam sendiri.....bagaimana pandangan orang bukan islam pula bila dengar seperti ini? Tak malukah kita sebagai umat islam sendiri yang menjatuhkan maruah agama islam??!! Semoga kita semua dikurniakan taufiq dan hidayahNya.


KESILAPAN KERAP WANITA TENTANG AURAT

Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini? Daripada penjelasan ustaz, jawabnya seperti berikut :-



KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

KESALAHAN KE-2 : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.

KESALAHAN KE-3 : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

KESALAHAN KE-4 : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.

KESALAHAN KE-5 : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.

KESALAHAN KE-6 : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

KESALAHAN KE-7 : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

KESALAHAN KE-8 : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

KESALAHAN KE-9 : Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.


Diriwayatkan dalam sebuah Hadith :-

"Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya)" (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245).


KESALAHAN KE-10 : Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki.


Samada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yang sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaja ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya…kita tidak tahu di manakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun munsyidah itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan.



Larangan ini datang dari Firman Allah SWT : "Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit." (al-Ahzab: 32)

*************************************************

Sebahagian wanita menyangkabahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT, ertinya : "Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHAKAN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR." (an-Nur: 31)


Pengertian khumur (tudung), iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Sedang apa yang disebut ‘juyub' kata jama' dari kata jaibun, iaitu belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian atau baju.



Setiap perempuan Islam(muslimah) wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.


Dalam ayat di atas Allah SWT memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh karena itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa terzahir itu serta ukurannya.



Menurut Syeikh Al-Qaradawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah haram.



Namun, kiranya sesempurna mungkin seorang muslimah harus bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya, termasuk wajahnya itu sendiri kalau mungkin, demi menjaga meluasnya kerosakan dan banyaknya kefasikan di zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang sangat dikhawatirkan akan menimbulkan fitnah.


Firman Allah SWT : "Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya." (an-Nur: 31)


Ini lebih diredhai di mata Rasulullah SAW


Kesemua jenis berpakaian yang disebut tadi adalah diharamkan secara sepakat seluruh Ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan mu'minah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk dinampakkan.


Amat jelas dari dalil al-Quran dan al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti: buah dada, paha, dan sebagainya.



Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu:

(l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam);


(2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat , rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian ." (Riwayat Muslim)


Larangan Nipis

Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan saudaranya iaitu Asma' binti Abu bakarpernah masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan:



"Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya" (Riwayat Abu Daud)


TUJUAN TUNTUTAN MENUTUP AURAT

Berdasarkan dalil Al-Quran dan al-Hadith, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu remeh dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati'e dan usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat diperjuangkan oleh Syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal Syaitan mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam Al-Quran dari firman Allah ertinya :-

" Maka Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .." (Al-A'raf : 20)


Ringkasnya, antara tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah :-



a) Perbezaan dengan binatang.

Allah SWT berfirman : " Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" ( Al-A'raf : 26)


Amat jelas dari ayat ini, penutupan aurat ditujukan kepada sesiapa sahaja yang termasuk dalam kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru barangsiapa yang berpaling dari arahan ini, secara langsung ia menjatuhkan tahapnya selari dengan binatang yang tiada cukup kemampuan dan aqal bagi menjalankan arahan penutupan aurat.



b) Agar kaum wanita tidak disakiti

Ia berdasarkan ulasan yang telah saya buat sebelum ini bersandarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59.



c) Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.

Ia juga boleh difahami dari surah Azhab ayat 59 tadi apabila Allah SWT menyebut : « .. yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam).. »


Dari sini jelas, menunjukkan salah satu fungsi tutupan aurat juga adalah sebagai syiar diri sebagai penganut Islam. Firman Allah : « Barangsiapa yang membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati »


d) Tanda profesionalism dalam sistem pemakaian Islam .

Islam adalah satu agama dan cara hidup yang profesional pastinya begitu lengkap menyediakan panduan melengkapi setiap sudut kehidupan manusia. Dari hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam tandas hinggalah ekonomi dan kenegaraan. Walaupun demikian,Islam tidak mengarah umatnya membuat perkara yang tidak rasional, justeru, sudah tentu ‘standard’pemakaian yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan dengan logik aqal manusia yang sihat.



e) Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT : “Dijadikan hidup dan mati adalah untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya" (Al- Mulk : 2)


Kesimpulannya, pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana kita berada. Jangan menutup aurat hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.


Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya?

Kesempurnaan Diri Muslim

(HADIS MUTHAHHARAH)


Sayyidina Khalid bin Al-Walid Radiallahu'anhu telah berkata : Telah datang seorang arab desa kepada Rasulullah S.A.W yang mana dia telah menyatakan tujuannya : ‘Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kedatangan aku ini adalah untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat’. Maka baginda S.A.W telah berkata kepadanya: ‘Tanyalah apa yang engkau kehendaki’:

Dia berkata : Aku mau menjadi orang yang alim
Baginda S.A.W menjawab : Takutlah kepada Allah maka engkau akan jadi orang yang alim.


Dia berkata : Aku mau menjadi orang paling kaya
Baginda S.A.W menjawab : Jadilah orang yang yakin pada diri maka engkau akan jadi orang paling kaya.

Dia berkata : Aku mau menjadi orang yang adil
Baginda S.A.W menjawab: Kasihanilah manusia yang lain sebagaimana engkau kasih pada diri sendiri maka jadilah engkau seadil-adil manusia

Dia berkata : Aku mau menjadi orang yang paling baik
Baginda S.A.W menjawab: Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat maka engkau akan jadi sebaik-baik manusia.

Dia berkata : Aku mau menjadi orang yang istimewa di sisi Allah
Baginda S.A.W menjawab : Banyakkan zikrullah niscaya engkau akan jadi orang istimewa di sisi Allah.

Dia berkata : Aku mau disempurnakan imanku
Baginda S.A.W menjawab : Perelokkan akhlakmu niscaya imanmu akan sempurna

Dia berkata : Aku mau termasuk dalam golongan orang yang muhsinin (baik )
Baginda S.A.W menjawab : Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya dan jika engkau tidak merasa begitu sekurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau maka dengan cara ini engkau akan termasuk golongan muhsinin.

Dia berkata : Aku mau termasuk dalam golongan mereka yang taat
Baginda S.A.W menjawab : Tunaikan segala kewajipan yang difardhukan maka engkau akan termasuk dalam golongan mereka yang taat.

Dia berkata : Aku mau berjumpa Allah dalam keadaan bersih daripada dosa
Baginda S.A.W menjawab : Bersihkan dirimu daripada najis dosa niscaya engkau akan menemui Allah dalam keadaan suci daripada dosa

Dia berkata : Aku mau dihimpun pada hari qiamat di bawah cahaya
Baginda S.A.W menjawab : Jangan menzalimi seseorang maka engkau akan dihitung pada hari qiamat di bawah cahaya

Dia berkata : Aku mau dikasihi oleh Allah pada hari qiamat
Baginda S.A.W menjawab : Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain nescaya Allah akan mengasihanimu pada hari qiamat

Dia berkata : Aku mau dihapuskan segala dosaku
Baginda S.A.W menjawab : Banyakkan beristighfar niscaya akan dihapuskan (dikurangkan) segala dosamu

Dia berkata : Aku mau menjadi semulia-mulia manusia
Baginda S.A.W menjawab : Jangan berprasangka buruk sesuatu perkara pada orang lain niscaya engkau akan jadi semulia-mulia manusia

Dia berkata : Aku mau menjadi segagah-gagah manusia
Baginda S.A.W menjawab : Senantiasa menyerah diri (tawakkal) kepada Allah niscaya engkau akan jadi segagah-gagah manusia

Dia berkata : Aku mau dimurahkan rezeki oleh Allah
Baginda S.A.W menjawab : Senantiasa berada dalam keadaan bersih ( dari hadas ) niscaya Allah akan memurahkan rezeki kepadamu

Dia berkata : Aku mau termasuk dalam golongan mereka yang dikasihi oleh Allah dan rasulNya
Baginda S.A.W menjawab : Cintailah segala apa yang disukai oleh Allah dan rasulNya maka engkau termasuk dalam golongan yang dicintai oleh Mereka

Dia berkata : Aku mau diselamatkan dari kemurkaan Allah pada hari qiamat
Baginda S.A.W menjawab : Jangan marah kepada orang lain niscaya engkau akan terselamat daripada kemurkaan Allah dan rasulNya

Dia berkata : Aku mau diterima segala permohonanku
Baginda S.A.W menjawab : Jauhilah makanan haram niscaya segala permohonanmu akan diterimaNya

Telah berkata Imam Mustaghfirin: aku tidak pernah menjumpai hadis yang besar dan merangkumi kesempurnaan agama dan bermanfaat selain hadis ini....