Kita Adalah Da'ie

Menyebut tentang dakwah, ramai yang memandang ianya adalah tugas para imam, pendakwah, alim-ulama’, dan guru-guru agama sahaja. Manakala mereka menyangka dakwah itu sendiri hanya perlu disampaikan kepada orang lain atau masyarakat selain diri dan keluarga. Benar, tiada yang salah. Tetapi hakikatnya, setiap yang bergelar khalifah (manusia) harus memikul tanggungjawab ini. Sekurang-kurangnya mendakwahkan diri sendiri. Seterusnya kepada keluarga dan masyarakat. Ianya amanah Tuhan bukan tanggungjawab biasa.



Dari Ibnu Umar Radiyallah 'Anhu katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Semua orang dari engkau sekalian adalah pengembala dan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang digembalainya. Seorang laki-laki adalah pengembala dalam keluarganya dan akan ditanya tentang pengembalaannya. Seorang isteri adalah pengembala di rumah suaminya dan akan ditanya tentang pengembalaannya. Seorang khadam juga pengembala dalam harta tuannya dan akan ditanya tentang pengembalaannya. Maka semua orang dari kamu sekalian adalah pengembala dan akan ditanya tentang pengembalaannya”.” (Muttafaq ‘alaih)


Kadangkala terlalu taksub dengan dakwah sehingga kita lupa menghormati antara satu sama lain. Kadangkala kita melulu meninggikan suara menegur ibu bapa yang melakukan kemungkaran demi menegakkan kebenaran sehingga akhirnya bermusuhan dan bermasam muka. Ya, memang kita wajib menegakkan kebenaran, tetapi ingatlah bahawa kebenaran perlu ditegakkan dengan berhikmah. Bukan melulu dan membabi-buta. Maka di sinilah peranan ilmu, gunakanlah ia tepat pada jalannya.


Perjalanan dakwah memang dipenuhi ranjau dan duri. Tersalah cara, menimbulkan permusuhan dan kedengkian. Sedangkan Allah membicarakan ‘Hablun-min-Allah’ dan ‘Hablun-Min-An-Nas’. Maka natijahnya pasti baik pada kedua-duanya.


Akhlak dan adab penting dalam menyampaikan misi dakwah. Lantang berhujah, tidak bermakna tanpa Adab. Bijak berfalsafah, tidak bererti tanpa Akhlak. Dan beriman tanpa diiringi amal soleh tidak akan menghasilkan Syurga. Semuanya perlu dihimpunkan. Dakwah perlu ‘versatile’. Masakan Rasulullah diutus sebagai penyempurna Akhlak yg mulia. Pastilah kerana ketinggian peribadi itu yang menjadi wasilahnya. Para Sahabat sendiri terpaku melihat baginda, apa lagi kata-katanya yang jelas kebenarannya.


Ayuh kita susuri perjalanan dakwah para kekasih Allah untuk mencari kekuatan di tengah kelesuan ini. Menimba ilmu yang dikupas dari pengalaman mereka, memahami sedalamnya erti perjuangan yang hasilnya taqarrub ilallah.


Dakwah bermula pada diri. Jangan sibuk mengajak orang kepada kebaikan sedangkan diri sendiri kekal dalam keburukan. Usah melabel kemampuan orang lain, kerana diri sendiri juga tak sehebat mana. Pebanyakkanlah menilai diri yang serba kekurangan untuk diperbaiki segala kelemahan. Lepaskan segala kekusutan dan kegundahan yang mencengkam jiwa. Berlapang dada dan Redhailah segala suratanNya…kerana segala takdirNya berhikmah. Sedarlah bahawa redha Allah itu perlu dicari bukan dinanti. Moga kita dipermudahkah jalan menghampiriNya. Amin Ya Rabb.