Muhasabah Ramadhan

Dingin petang ditemani hujan yang merintik, menyegarkan mereka yang kekeringan. Ada rahmat dalam setiap rintik-rintik yang menjejak ke bumi. Subhanallah, nikmat di waktu menikmati ibadah puasa Ramadhan. Jasad yang keletihan, Allah ringankan dengan mengurniakan cuaca yang sejuk. Tidak ada alasan untuk berbuka sebelum tiba waktunya bagi mereka yang tidak tahan. Sesungguhnya, jika kita merenung dan memikirkan, kita mampu melihat betapa besar kekuasaan Allah dan betapa kerdilnya diri yang sentiasa memerlukan.

Dalam redup ini, imbaulah puasa-puasa Ramadhan yang terdahulu. Adakah Ramadhan kali ini semakin bertambah baik, ataukah sebaliknya? Hitunglah setiap amalan dan perbuatan dengan ilmu, mudah-mudahan di situ ada pelajaran yang baru. Jangan berbangga dengan amal ibadah yang banyak jika semua itu dilakukan tanpa ilmu, tetapi bersyukurlah dengan amal soleh yang kelihatan sedikit namun dilakukan dengan ilmu. Natijah atau kesan suatu Ramadhan dengan Ramadhan yang lain tidak akan sama. Teliti dan adililah dalam diri.

Jika Ramadhan sebelum ini kita memahami setiap amalan dilipat-gandakan, lalu kita memperbanyakkan amalan kerana merebut peluang yang Allah kurniakan, semata-mata mengharapkan keredhaan Allah. Kali ini mungkin kita baru menyedari bahawa pada sahur itu ada barakah, lalu kita mengambil kesempatan untuk bersahur walaupun hanya seteguk air kosong. Semua itu dilakukan kerana ingin meraih keberkatan Allah di bulan yang mulia ini. Subhanallah. Penting bagi setiap muslim memahami apa yang dimaksudkan dengan ‘barakah’. Ia bukanlah sesuatu yang boleh dijelaskan dengan kata-kata atau tulisan dengan tepat, tetapi hanya boleh dinikmati dan dirasai. Beruntnglah bagi mereka yang memilikinya. Semoga kita dimasukkan dalam golongan mereka yang diberkati oleh Allah.


Maaf dipinta di ambang Ramadhan,
Agar terbuka hijab menyempuna amalan.
Taqwa dambaan mukmin,
Pendekat hamba kepada Tuhan.

Jangan mensia-siakan kesempatan,
Bimbang maut datang mengundang.
Tundukkan nafsu, leburkan mazmumah, lanterakan hati,
Dan hadirkan diri menghimpun barakah Ramadhan.



Selamat menjalani ibadah puasa. Maaf Zahir dan Batin.

--------------------------------------------------------------------------------------

تقبل الله منا ومنكم صالح الاعمال