Kelemahan Hamba

Menyedari diri insan itu lemah, hanya kepada Tuhanlah ditujukan segala urusan. Baik sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara. Apalah yang didambakan pada dunia yang hanya sementara ini? Sedangkan bila memilikinya akan kehilangannya jua. Bukankah itu hanya usaha yang sia-sia? cukuplah sekadarnya...itu lebih baik dari terus memburu menuruti kehendak nafsu.


Renunglah langit yang luas itu,
Renung ia dengan mata hatimu...
Agar kau menyedari hakikat ciptaan Ilahi
Agar kau merasai kerdilnya dirimu

Kerana jiwa yang hidup sahaja yang akan merasai betapa kerdilnya diri
Dan jiwa yang hidup sahaja yang akan mengakui kewujudan Tuhan

Hakikatnya insan itu lemah
Kepada Tuhanlah pertolongan dipinta
Memohon kekuatan dan keteguhan iman
Agar terus kekal di atas jalan kebenaran
Kerana itulah harapan setiap insan beriman
Mencari ketenangan dalam sebuah kehidupan

Sedarlah, ketenangan itu hanya ada si sisi Tuhan,
Siapa yang menginginkan...perlu melangkah ke arah-Nya
Maka jalan berliku itu ujian-Nya
Doa itu jambatannya...
Ditinggikan darjat dan maqam, itu natijahnya
Bertemu Tuhan itu ganjarannya



Moga kita menjadi mukmin bertaqwa

Dugaan Menuntut Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim.

Perjalanan menuntut ilmu memang sukar diduga. Tujuannya jelas baik, namun kadangkala hati ini keliru untuk menurut. Bukan kerana mendiskriminasi ilmu itu sendiri...tapi kadangkala perlu bergelut dengan kehendak nafsu yang mengajak kepada mazmumah. Sukarnya menguruskan hati...tersilap cara, rosaklah peribadi. Jika dibiarkan pasti bisa mematikan hati...saat itu umpama diri telah mati sebelum ajal.

Ya, niat itu yang utama...niat kerana Allah, maka segalanya akan menjadi mudah dan dianggap ibadah. Namun, dek fikiran yang bercelaru dan hati yang berkecamuk, mengganggu konsentrasi untuk meluruskan niat dan hati kepada Tuhan. Inilah petanda diri ini semakin lalai mengingatiNya. Terasa buntu untuk memutuskan walau hanya perkara yang kecil. Jelas, aku semakin leka dengan dunia dan kehidupan....ampunkan aku ya Tuhan. 

Wahai diri, kembalilah kepada pemilik dirimu...kerana hanya Dia yang miliki penawar bagi keracunan di hatimu. Semakin kosong hidupmuitu, petanda kau semakin meminggir dariNya. Mendekatlah kepada Dia agar hidupmu kembali bererti. Bukankah kau pernah merasai peritnya bersekedudukan dengan dunia...hingga kau memilih jalan yang membawa dirimu kepada agama...lalu kau miliki ketenangan di jalan itu? Namun kini, mengapa kau membiarkan hatimu terdera lagi? Apakah kau tega menyakiti hatimu sendiri? Ambillah iktibar dari kisah semalam...aku khuatir, andai kau terus menurutkan kehendakmu...bimbang masih adakah 'esok' untukmu? Beringatlah! Kau takkan mampu mengharungi hidup ini sendirian...kau hanya insan kerdil yang keji dan hina andai kau tidak beriman. Kepada Allahlah kita menyerah diri dan hati agar terus menjadi hamba yang taat dan patuh. 


Ya Ilahi, terangi jalanku dengan cahaya kasihMu. 
Bantulah aku memperbaiki kesalahanku, 
Agar kesilapan yang sama tidak berulang kembali, 
Sungguh perjalanan ini masih kabur, 
Terhijab oleh dosa dan noda yang keji. 

Ya Halim, 
Berilah daku bimbingan, 
Keluarkan daku dari kebingungan yang menyesatkan 
Agar dikesudahanku...hasanah yang diperoleh 
Pimpini hidupku, Ya Hadi

Siratan Dibalik Suratan

Bismillahirrahmanirrahim.

Sesekali ingatan kepada peristiwa lepas menyapa di benak. Seringkali jua diri ini menepis sapaannya. Mungkin kerana sukar untuk menerima sebuah hakikat kebenaran. Dikhianati…tercalar nilai kepercayaan pada sebuah persahabatan. Namun Tuhan Maha Mengetahui, apa yang terbaik buat hamba-Nya…mungkin jua kerana itu Dia terus-menerus mengingatkan memori silam yang pedih dan pahit itu. Tujuannya hanya satu…berfikir!

Seketika diri ini termangu, merenung maksud tersirat dibalik yang tersurat… Apakah ia sekadar mengingatkanku agar jangan mudah mempercayai orang lain? Itu ada benarnya, tapi bukan keseluruhannya. Bila tak berhasil menemui jawapannya, maka ia dibiarkan berlalu begitu sahaja. Mungkin sekadar perasaan pada sebuah lamunan yang tak berkesudahan.

Dalam tak sedar, bayangan itu masih menyinggah…menarik diri, hati dan fikiran ini untuk mencari rahsia yang tersembunyi…hikmah yang terselindung. Pasti ada mesej yang ingin disampaikan.

Pada Yang Esa ku adukan segala… 
Merintih, merayu, mengharap belas ehsan-Nya.
Agar ditunjukkan jalan kebenaran dan keselamatan. 
Agar dugaan ini berjaya diharungi. 
Kerana menjadi mukmin bertaqwa itu matlamat hidupku,
Menempa Syurga abadi itu cita-citaku. 
Berikanlah aku petunjuk Ya Hadi, 
Agar jalanku terang disuluh cahaya melalui lorong berliku ini. 
Peliharalah daku Ya Muhaimin,
Agar langkahku terhindar dari dosa dan noda.

Tatkala hal yang sama diungkit lagi oleh pihak lain, diri kembali terpaku lantaran mata dan hati jauh mengimbau… mengapa setiap kali dibicarakan, hati ini akan sakit? Bukan sakit yang biasa, tapi sakit kerana pedihnya hati menanggung beban. Bagaimana dapatku hapuskan beban ini Ya Tuhan?

Ya Allah, apakah aku ada menyimpan hasad atau dendam dibalik kisah ini? Ya ‘Aziz, seandainya ikhlas itu adalah syaratnya, maka kini aku ikhlaskan seluruh jiwa ragaku menerima cubaan ini. Ya Rahman, jika redha itu adalah solusinya, maka bersaksilah bahawa kini aku berlapang dada menerima takdir-Mu… cukuplah sakit ini mendera hati dan perasaanku… jangan biarkan ia berlarutan, sebaliknya balutilah ia dengan keampunan-Mu. Agar terubat luka semalam dengan sentuhan kasih dan sayang-Mu.


Pernah hati ini terguris
Dengan fitnah dan tohmahan menghiris
Sehingga terasa diri ini hina
Kerana tiada siapa yang sudi membela

Kutabahkan hatiku harungi hidup
Biarpun tiada siapa yang menemani
Keseorangan aku di lautan sepi
Ditinggalkan mereka yang aku percayai

Namun ku tahu ada hikmahnya
Setiap segala yang menimpa diri
Kuserahkan segala padaMu Tuhan
Yang Berkuasa jua Mencipta
Kerana engkau Maha Mengetahui
Segala apa yang terbuku di hati

Ya Allah tidakku terdaya lagi
Menahan dugaan yang mencabar ini
Terasa bagai noktah telah kutemui
Mengakhiri segala yang telah aku mulai

Ya Allah engkau lindungilah aku
Bekalkanlah daku dengan limpahan iman
Agar tabahku menghadapi dugaan
Agar tidakku terhenti di pertengahan

Kini di sini aku berdiri
Bersama harapan yang tulus suci
Agar terbitlah kembali mentari pagi
Setelah malamku berkalut benci

Syukurlah, kini segalanya telah kembali pulih… tiada lagi kesakitan, tiada lagi kebencian, yang ada cuma harapan pada sebuah kehidupan. Moga di akhirnya hasanah yang diperoleh. Mungkin ini rahmat-Nya. Dalam ujian yang kecil, Dia ajarkan banyak perkara…. Di sinilah aku mempelajari erti sabar, ikhlas, redha dan lain-lain. Namun apa yang paling berharga adalah nilaian terindah dalam membina hubungan dengan Tuhan. Mudah-mudahan sentiasa dalam rahmat dan redha-Nya…

******************************************

Hakikatnya, pengalaman lalu bukanlah untuk diri hilang percaya pada yang lain tetapi mengajar erti kasih sayang sesama insan. Perlu memahami dan menghormati hak sesama manusia. Tak dinafikan lagi, tarbiah Allah sangat dalam maksudnya, halus penyampaiannya tetapi indah perasaanya. Moga kita dikurniakan hikmah agar bisa menyingkap siratan makna disebalik setiap suratan ujian. Wallahua’alam.

Berusahalah Untuk Ikhlas

Begitu pantas masa berlalu, sederas aliran darah yang mengalir dalam jasad…maka begitu jualah umur yang semakin meningkat…dulunya bergelar kanak-kanak, kini sudah menginjak dewasa… tetapi sedarlah akan hakikat bahawa usia kita semakin berkurang…semakin hampir kepada waktu yang dijanjikan iaitu kematian.

Ke mana pergi, ada saja cerita yang dibualkan…di tempat kerja, rumah, kedai dan sebagainya. Kebanyakannya menyuarakan keluhan masalah masing-masing. Bila kita dijadikan tempat meluah, apa sajalah yg boleh dibuat. Untuk bersetuju kepada yang jelas salah, tidak mungkin sekali!!! Jika mampu, bawa mereka berfikir ke arah positif, tapi jika tak mampu hanya boleh berdiam diri sahaja.

Memang sulit untuk memahami karenah manusia… lahiriah yang baik tapi dalaman penuh dengan tipu daya…begitulah sebaliknya. Letih memikirkan orang lain…rupanya jawapannya ada pada diri sendiri… untuk mendapat yang baik, semuanya bermula pada diri…

“Awak muda lagi, ada banyak masa lagi”.

Seringkali ungkapan itu dituju kepada diri…entahlah, tak berani untuk meng-iyakan. Ajal itu tak mengenal erti muda atau tua. Mungkin saja esok atau sebentar lagi giliran kita, maka apakah waktu itu masih panjang untuk memperbaiki diri? Tak perlu sibuk menghitung panjangnya waktu, tetapi sibukkanlah diri menghitung berapa banyakkah ilmu yang masih belum diamalkan. Kerana ilmu tanpa amal itu sia-sia belaka dan ketahuilah bahawa ilmu itu hanya dapat dinikmati setelah diamalkan.

“Ditelan mati emak, di luah mati ayah”

Itulah peribahasa melayu yang terlintas difikiran bila berdepan dengan situasi yang memerlukan diri membuat keputusan. Serba salah dibuatnya…tak tahu apa yang harus dilakukan. Cuma mampu berdoa dan berserah pada Tuhan agar ditunjukkan jalan dalam membuat pilihan. Moga setiap tindakan mendapat keredhaan-Nya.

Hidup ini terlalu singkat untuk membenci. Sakit dan parah menanggung karatnya hati… resah gelisah menanti hari… bilakah semua ini akan berakhir? Usah memanjangkan persoalan, kelak kita pula yang terbelit dgn soalan. Tetapi cubalah ikhlaskan hati menghadapi mehnah hidup…hanya itu yang mampu menenangkan jiwa. Bertafakur memuhasabah diri…pasti terungkai hikmah yang tersirat. Bersabarlah walaupun pahit…yakinlah bahawa kemanisan itu pasti hadir, andai bukan di dunia…pastinya di Akhirat sana. Insyaallah.

Wallahua’alam.

Program Tahfiz Cuti Sekolah 2010

PROGRAM TAHFIZ CUTI SEKOLAH 2010

TERBUKA KEPADA PELAJAR SEKOLAH (UMUR 10-15 TAHUN)

LELAKI SAHAJA 

 

► TEMPOH PROGRAM 

Bermula Dari : 29/ 11 / 2010 Hingga : 24 / 12 / 2010 


► PENGISIAN PROGRAM 

1) HAFAZAN AL-QURAN
2) KELAS FARDU ‘AIN
3) PENGUKUHAN TAJWID
4) PRAKTIKAL SOLAT
5) KULIAH SIRAH NABAWI 


► JADUAL PROGRAM 

Isnin Hingga Sabtu: 8.30 MALAM → 10.00 MALAM


► YURAN 
RM 350


► TEMPAT 

Taman Makmur Fs 2, 78300 Masjid Tanah, Melaka. 


► TELEFON 

019-6086214 (Ustaz Mahmood)


JANGAN KETINGGALAN!!! MANFAATKAN CUTI SEKOLAH ANDA DENGAN PENGISIAN ILMU!!! TEMPAT ADALAH TERHAD.

Salam 'IdulFitr 1431H

Berakhirnya RAMADHAN suatu kesedihan,
Namun tak bererti JIHAD terhenti.

Hadirnya SYAWAL tanda kemenangan,
Namun tak bermakna SYARIAT diketepi.

Ikhlaskan HATI dalam beramal,
Moga amalan berbuah taqwa.

Sucikan LATIFAH dengan melebur mazmumah,
Agar terpancar nur keimanan.


Moga menjadi mukmin bertaqwa

 
تقبل الله منا ومنكم


SALAM ‘IDULFITR 1431H

**_HAMPA_**

Andai dunia ini sudah hampa dari manusia
Untuk apa lagi aku harapkan pada ia…
Sedangkan aku punya Tuhan Yang Maha Esa
Yang tidak akan membiarkanku berdukacita

Bagiku dunia ini umpama neraka
Bermesraan dengannya menjadikan aku jauh daripada-Nya
Tiada satu pun kenikmatan yang aku perolehi
Selain kesakitan dan kekecewaan
Setiap langkahku perlu dengan berhati-hati
Agar aku tidak tersesat ke arah kemaksiatan

Mujurlah Dia sentiasa bersamaku…
Kesakitan yang dideritai diubati-Nya dengan perasaan rindu dan kasih pada-Nya
Sehinggakan buta mataku melihat fatamorgana dunia
Maka terpeliharalah aku dari neraka dunia



Isnin – 15 September 2008 bersamaan 15 Ramadhan 1429 H – 11:38 p.m.

RAMADHAN 1431H






SALAM RAMADHAN MUBARAK 1432H...


Ikhlaskan hati dalam beramal...

Moga menjadi mukmin bertaqwa!!!

Selamat Menjalai Ibadah Puasa...

Redhai Iradat Tuhan


الحمدلله رب العالمين. حمدا حامد والعاقبة للمتقين. والصلاة والسلام على سيد المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين.

Syukur ku panjatkan pada pemilik diri ini kerana dengan izinNya aku mengenal erti hidup. Dengan izinNya jua aku fahami erti CINTA (cinta kepada Allah)…semoga dengan kehendakNya jua aku menjadi insan bertaqwa.

“Manusia hanya mampu merancang, Tuhan jua yang menentukan”

Itulah hakikat dalam sebuah kehidupan. Seorang hamba takkan mampu mengatasi kehendak TuhanNya. Baik atau buruk pada pandangan manusia, tak semestinya buruk di sisi Tuhan. Yakin pada Dia, redha pasti akan hadir…maka sedih dan derita tidak terasa pahitnya bahkan hati lapang menerima takdir Ilahi.

Baru ni ana terima tawaran sambung pengajian ke IPT tempatan. Dalam dilema pula nak buat keputusan. Bukan tak teguh dengan pendirian yg asal, tapi banyak perkara yg perlu dipertimbangkan. Memang kehendak hati nak sambung ke Mesir tapi kehendak ayah tak boleh dipandang ringan juga. Akhirnya ana putuskan untuk sambung di Malaysia je… Ana harap keputusan ana tak mengguris hati sahabat-sahabat yg akan ke Mesir nanti. Mungkin belum rezeki untuk ana ke sana. Semoga semangat antum akan terus membara untuk mengutip mutiara ilmu dan pengalaman berharga di sana.

Nafsu tidak pernah puas dengan keinginannya…bila berjaya memiliki apa yg diinginkan, keinginannya semakin bertambah…dan bertambah lagi. Akhirnya sanggup melakukan apa saja demi keinginannya yg tidak terbatas lagi. Usah dimanjakan nafsu yg memujuk…kerana ia hanya akan melemahkan jiwa dan menipiskan iman di dada. Natijahnya menjarakkan hubungan hamba dengan pencipta. Tetapi titik beratkanlah kehendak hati yg sentiasa inginkan ketenangan, yg resah menerima kejahatan dan melihat kemungkaran…apalah erti gembira tanpa bahagia? Apalah makna kejayaan tanpa pengorbanan? Apalah tafsiran sebuah ketenangan andai tiada penderitaan yang terpaksa ditempuhi? Tanpa semua itu, pasti tiada apa yg dipelajari….akhirnya kekallah kita dalam kejahilan dan tipu daya dunia dan musuh.

Ambillah sedikit masa utk merenung dan berfikir...kerana banyak pengajaran dan pelajaran yg masih perlu diambil dari hidup ini. Moga pintu hati ini sentiasa dilembutkan utk menerima sebuah kebenaran. Allah yahfzhuna (semoga Allah memelihara kita semua). Wallahua’alam

Kembara Ilmu

بسم الله الرحمن الرحيم


الحمدلله رب العالمين. حمدا حامد والعاقبة للمتقين. والصلاة والسلام على سيد المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين.


Kebelakangan ini agak sibuk dengan urusan pengajian... buat keputusan last minute, jadi kelam kabut sikit. Kena berulang-alik ke Melaka untuk settle-kan borang permohonan. Tapi Alhamdulillah, sekarang boleh tarik nafas lega sekejap sebab urusan penghantaran borang permohonan dah selesai. Cuma sekarang kena uruskan bantuan kewangan pula. Moga Allah memudahkan segala urusan ana dan sahabat-sahabat sepengajian. Amin.

Sebut tentang pengajian, lapang rasanya bila dapat sambung belajar atas restu mak ayah. Terasa urusan yang sukar jadi mudah. Mungkin itu yang dimaksudkan dengan keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa. Banyak lagi yang perlu dipelajari tentang kehidupan… banyak lagi ilmu yang perlu digali… Moga jalan kebenaran itu terbentang jelas dalam menyingkap hikmah dan rahsia pada setiap ketentuan-Nya.

Ilmu itu milik Allah…sama ada ilmu duniawi atau ukhrawi, semua itu kepunyaan al-Khaliq. Maka persediaan untuk menutut ilmu itu samalah seperti hendak mengerjakan ibadah. Tanamkan niat dari sekarang, menuntut ilmu kerana Allah agar matlamat dan tujuan tampak jelas dalam diri dan tindakan. Perkasakan fizikal dan rohani dengan memperbanyakkan ibadah dan muhasabah kerana dugaan menuntut ilmu itu tidak kurang hebatnya. Dasar iman yang kukuh mampu menepis serangan maksiat dan dosa yang mendatang. Jangan berputus harap dengan pertolongan Allah kerana disamping-Nya ada rahmat dan berkat yang tak terungkap dengan kata-kata.

Apabila sesuatu perkara yang dilakukan, diniatkan kerana Allah….usah berkira dengan yang lain. Jangan mengungkit bila kebaikan tidak dibalas, jangan merungut bila dibebankan dengan suatu tanggungjawab, jangan menghampakan bila bantuan diperlukan… bahkan hendaklah sabar dan ikhlas memenuhi permintaan dan melaksanakan tanggungjawab yang merupakan amanah Allah. Di situlah terbitnya keberkatan dan keredhaan Allah yang menjadikan semua urusan dipermudahkan malah yang lebih berharga adalah dapat mendekatkan diri dengan Tuhan. Itulah ganjaran yang tak dapat ditukar ganti. 



Ya Allah, bantulah hamba-Mu menyusuri liku-liku hidup yang penuh dengan duri ini… 
Hati yang gelita, sinarilah ia dengan cahaya hidayah-Mu,
Kurniakan aku ilmu yang membawa kepada Ma’arifatullah,
Yang akhirnya menghantar aku menuju Mahabbatullah…
Itulah semulia-mulia ilmu yang kudambakan…
Yang menundukkan jiwaku hanya kepada al-Rahim
Yang mematikan harapanku terhadap kepalsuan dunia

Ya Bari’
Bimbinglah aku menuju jalan ketaqwaan…
Jadikanlah aku insan bertaqwa

*************************************************

Musafir ini untuk mencari mutiara ilmu,
Yang nilainya tiada tandingan…
Andai mereka menilai ilmu umpama sebuah perdagangan,
Maka aku menilainya dengan kasih sayang Tuhan.
Kerana ilmu yang hakiki itu membawa aku mengenal Allah…
Lalu mengajak aku menjauhi bangkai dunia…

Doakan keselamatan dan kejayaan ana di bumi Anbiya’, al-Azhar, Mesir. Sedarkan kesilapan ana dalam doa antum, mudah-mudahan ikatan ukhwah fillah mampu menggerakkan hati ini menyedari kealpaan diri.

.::MAULIDUR RASUL 1431H::.

Dalam keheningan jiwa,
Ketabahanmu menguatkan kembali jiwaku.
Dalam kesenangan yang melimpah,
Kehambaanmu menundukkan jiwaku untuk bersyukur
Dalam meniti hidup yang penuh kerakusan,
Qudwahmu mengajarku erti kemanusiaan.

Ya Muhammad,
Ya Rasulullah,
Wa Ya Habibullah,
Betapa indahnya pekertimu…
Rindu padamu mendekatkan hamba dengan pencipta
Kerana sesungguhnya merinduimu bererti rindu kepada Allah,
Mencintaimu bererti mencintai Allah.


Salam Maulidur Rasul 1431H

Moga kita beroleh syafaat baginda di Mahsyar kelak. Amiin ya Rabb.

PERJUANGAN

Bismillahirrahmanirrahim.

Perjuangan, suatu usaha yang murni…namun untuk mencapai matlamatnya, pelbagai dugaan dan cabaran harus ditempuhi. Pahit manis mengisi ruang hati… apakah kesudahannya nanti… hanya Dia yang Maha Mengerti.

Umat islam itu bersaudara… maka damaikanlah antara mereka yang bersengketa… baik dalam urusan agama mahupun dunia. Terkilan hati, bila ada dikalangan umat islam sendiri yang memandang remeh akan perkara ini. Sehinggakan hanya disebabkan hal yang kecil boleh menyebabkan persengketaan yang besar. Apakah sudah hilang nilai kemanusiaan dalam diri insan zaman ini? 

Ada segelintir umat islam yang mencari Tuhan di saat menghadapi kesulitan sahaja. Dan lebih menyedihkan bila Tuhan itu dijadikan tempat bergantung hanya untuk seketika cuma. Apakah mereka ini hendak bermain-main dengan Yang Maha Berkuasa? Tak takutkah dengan hukuman-Nya yang datang tanpa diduga?... Sangat menyedihkan realiti umat masa kini… tak sanggup untuk berhadapan dengannya… tak sanggup pula untuk menghadapi dugaan ini sendiri… memang besar peranan seorang da’ie tika ini… untuk memancarkan kembali cahaya islam di muka bumi. 

Perjalanan dakwah memang sukar untuk diharungi. Terdetik di hati ini, mengenang kembali perjalanan dakwah kekasih Allah yang tercinta, betapa tabahnya baginda menghadapi segala tohmahan dan hinaan orang yang menentang. Jika dibandingkan dengan usaha yang tak seberapa ini terlalu banyak bezanya menunjukkan bahawa masih kurang iman di dada. Masih banyak yang perlu dipelajari, masih banyak ilmu yang perlu dicari. Namun yang lebih penting adalah mengamalkan segala ilmu yang dimiliki. Mudah-mudahan Allah membimbing kita menjadi hamba-Nya yang bertaqwa. Amin Ya Rabb.