Penghujung Dunia

Assalamu’alaykom wbt… 

Alhamdulillah, syukur atas nikmat kesihatan dan usia yang dikurniaknNya kpd kita untuk terus berjuang di bumi Allah ini dalam menegakkan kalimah tauhid dan seterusnya menumpaskan segala kemungkaran yg wujud di bumi ini sama ada dari dalam diri ini sendiri ataupun dalam diri insan lain yg bergelar hamba Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah saw dan ahli keluarganya serta para sahabatnya. Semoga kita semua umat islam tergolong dikalangan orang yg mendapat syafaat baginda di Mahsyar kelak, Insyaallah.

Saudaraku muslimin dan muslimat,

Sedarlah bahawa hari yang dijanjikan Allah itu hampir tiba. Hari di mana pintu taubat tertutup untuk selama-lamanya, hari di mana seluruh isi ‘alam ini akan hancur musnah dan tidak ada satupun makhluk Allah yang akan terus hidup. Sedangkan ‘Izrail pun diperintah mencabut nyawanya sendiri…hanya Allahlah yang kekal abadi. Itulah hari Qiamat yang telah dikhabarkan peristiwanya dalam al-Quran.

Firman Allah SWT:

Apabila terjadi hari Qiamat. Terjadinya hari Qiamat itu tidak dapat didustakan (disangkal). (Kejadian itu) merendahkan (satu golongan) dan meninggikan (golongan yang lain). Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya. Dan gunung -gunung dihancur luluhkan sehancur-hancurnya. Maka jadilah ia debu yang berterbangan. (Al-Waqi’ah : 1-6)

Dalam ayat di atas, Allah menjelaskan bahawa apabila terjadinya hari Qiamat, maka kejadian itu tidak dapat didustakan dan tidak dapat diragukan oleh seorangpun apalagi untuk mengingkarinya. Namun di dunia ini, masih banyak manusia yang mendustakan dan mengingkari janji Allah ini kerana mereka belum merasakan azab sengsara yang telah dideritai oleh orang-orang yang telah diseksa itu. Maka bagaimana pula diri kita? Adakah kita benar-benar mempercayainya atau masih lagi meragukan kejadiannya? Ingatlah, kuasa Allah itu tidak dapat dipertikaikan kerana Dia Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu… sedangkan menciptakan dunia ini terlalu mudah bagiNya, apalagi untuk memusnahkannya… semua itu atas kekuasaan Allah SWT. 

Mempercayai kejadian hari Qiamat adalah rukun dalam Iman. Maka, bagi orang yg beriman itu wajib mempercayai akan hari tersebut. Dalam ayat tersebut juga Allah menjelaskan bahawa pada hari tersebut, akan berlaku gempa bumi yg sangat dahsyat dgn goncangan-goncangan yg hebat di segenap pelusuk bumi, menghancurkan benteng-benteng dan gunung-gunung, menumbangkan rumah-rumah dan bangunan-bangunan serta apa sahaja yg terdapat di permukaan bumi. 

Pada hari itu, gunung-gunung dihancur luluhkan sehancur-hancurnya menjadi tumpukan tanah yg bercerai berai setelah ia tegak menjulang tinggi, menjadi debu yang berterbangan seperti daun kering yg diterbangkan angin. Ringkasnya, gunung-gunung akan hilang dr tempatnya. 

Peristiwa pada hari Qiamat juga diterangkan dalam Firman Allah SWT berikut: 

Apabila bumi digoncangkan dgn goncangan (sedahsyat-dahsyatnya). (Az-Zalzalah : 1)

Hai manusia, bertaqwalah kepada TuhanMu, sesungguhnya kegoncangan hari Qiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat). (Al-Hajj : 1)

Betapa dahsyat dan ngerinya hari tersebut. Apakah ianya masih belum dapat menyedarkan diri kita? Telah banyak tanda-tanda kiamat yang diperlihatkan kepada kita…semua itu meminta kita supaya berhati-hati dan bersedia dengan bekalan untuk menghadapi hari Akhirat. Ingatlah, hidayah Allah itu cuma sekali sahaja… maka pergunakanlah ia sebaik-baiknya agar tiada penyesalan di hari muka. Ambillah pelajaran dari ayat-ayatNya dan beriman dgnnya seterusnya memperbaiki diri kita menjadi mukmin sejati yang bertaqwa. Wallahu a’alam.

Sinar Yang Kelam

Ku mencari sinar dibalik mentari yang kian kelam sinarnya…
Agar kuperolehi bekal dikala malam gelita…
Kerana kegelapan itu suatu yang amat menakutkan….
Sedangkan tak ku tahu apakah aku sendirian atau berteman…
Maka, ku persiapkan apa yang ku termampu dan terdaya…
Agar segala kesulitan dapat aku harungi dengan izinNya…

Ku sedari, diri yang semakin lemah ini….
Bimbang dalam hati ini…bagaimana andai suatu saat aku tersungkur….
Tanpa ada siapa yang menghulurkan tangan…
Apakah masih ada harapan untuk aku bangkit semula?
Atau terdampar tanpa dipedulikan…
Saat itu…
Hanya ada harapan yang tak mungkin terlaksana…
Apakah masih ada peluang untukku kembali seperti sedia kala?


Memang mudah untuk melontar kata-kata…
Tapi, adakah perlaksanaannya seindah janjinya?
Atau hanya manis di bibir tapi kosong di jiwa?
Di manakah dapatku temui jawapan untuk kesemua persoalan ini….

Ya Tuhan….
Hati ini semakin sakit menanggung derita…
Derita kerana renggang hubungan antara aku dan Engkau…
Bagaimana bisa ku rawat derita ini ya Tuhan?
Betapa kejinya diriku menodai segala janji….
Betapa hinanya aku mengkhianati segala nikmatMu…
Betapa teganya aku melakukan semua ini…
Sedangkan Engkau tidak pernah merasa rugi akan apa-apa…
Bahkan akulah yang bodoh kerana meninggalkan kekasih yang paling setia…

Ya Rahim,
Apakah masih sudi untuk Engkau menerima diri ini kembali?
Yang sudah berkali-kali mengkhianati kepercayaanMu….
Apakah Engkau sudi untuk membimbingku kembali ke jalan yang lurus?
Sesak rasanya dada ini melalui jalan yang berliku-liku…
Hinggakan aku terperangkap dalam kebodohanku sendiri…
Pimpinlah aku Ya Raqib…
Peliharalah keimananku Ya Muhaimin…

Ya Syakur…
Aku bersyukur atas segala kurniaanMu…
Takkan termampu untuk ku balas segala nikmatMu yang menggunung...
Bahkan tanpa ku sedar, pengkhianatan pula yang aku berikan…
Ampunkan dosaku Ya Ghaffar…
Ampunkan segala kelalaianku yang sengaja dan tidak ku sengajakan….
Jadikanlah aku hamba yang bersyukur…
Biarpun rencanaMu itu berupa bencana bagiku…
Bantulah aku untuk menganggapnya sebagai mehnah hidup…
Yang akan menguatkan lagi diriku pada masa akan datang…
Kerana aku tak tahu apakah kesudahan hidupku…
Apakah dihujungnya hasanah? Ataukah sebaliknya?
Hanya Kau Yang Maha Mengetahui kesudahan segala sesuatu…

Cuma ku pohonkan agar masih ada rahmatMu di penghujung kehidupanku….
Matikanlah aku dalam islam dan iman…
Itulah sebaik-baik kesudahan….

******************
Ahad-June 7, 2009; 2:37am

.::IFKAR::.


Mengenang dan merenung kisah-kisah para nabi terdahulu dan para sahabat, menyedarkan diri yang hina ini… betapa besarnya jurang keimanan yang dimiliki… Jika dibandingkan dengan mereka pastilah terasa betapa lemahnya iman dalam diri. Memang kita bukan nabi, bukan pula wali, juga bukan ahli sufi… namun apakah tidak layak diri ini untuk merebut darjat seorang ‘abid di sisi Tuhannya? Mengapa dunia yang palsu ini yang menjadi dambaan… mengapa bangkai dunia ini yang diagung-agungkan? Mengapa pandangan insan yang menjadi tumpuan…? Sedangkan di sini tidak pernah menjanjikan apa-apa kebahagiaan bahkan sebaliknya mengkhianati tanpa disedari sesiapa.

Wahai insan, syukurilah pada-Nya kerana kita dikurniakan akal untuk berfikir. Sesungguhnya itu adalah nikmat-Nya yang agung… Maka pergunakanlah ia sebaiknya…kawallah nafsu jahatmu dengannya kerana sesungguhnya nafsu itu tidak pernah mengajak kepada kebaikan bahkan menjahanamkan dirimu ke lembah kehinaan semata-mata

Wahai akal, besar perananmu terhadap diri insan…kerana itulah engkau diletakkan pada darjat yang tinggi… Maka, pimpinlah diri insan ke arah keredhaan Allah… Yakinkan diri insan dengan kekuasaan Tuhanmu… lazimi tingkah lakumu dengan mengingati-Nya setiap masa dan ketika. Peringatkan diri manusia akan azab dan siksaan pedih-Nya di Akhirat nanti… dan terangkan pula kenikmatan dan keindahan syurga di sana.

Wahai hati, janganlah kau selalu menurutkan kata hatimu yang hanya inginkan keseronokan semata-mata… bukankah perkara-perkara lagha dan maksiat itu hanya akan menyakitimu sahaja? Justeru, mengapa kau terus menurutinya? Ingatlah bahawa dirimu hanya akan tenang pada kebaikan. Maka, sucikanlah dirimu dengan penyesalan yang tak sudah diiringi taubat yang tidak putus-putus

Duhai insan… kembalilah kepada asal fitrah kejadianmu… sebesar manapun pangkatmu di dunia…itu tak menjanjikan besarnya kedudukanmu di akhirat kelak… sebanyak manapun hartamu di dunia, ia tak menjanjikan beratnya timbangan amal kebajikanmu di Mahsyar…. Sehebat manapun hasil ciptaanmu di dunia, ia takkan dapat menyelamatkanmu dari pertemuan dengan ‘Izrail… bahkan suatu saat dunia ini juga akan binasa… maka ke mana lagi hendak kau melarikan diri melainkan kau akan hancur bersama-samanya. Ayuhlah bermuhasabah diri… mudah-mudahan hidayah Allah hadir dalam diri… menuntun kita kembali ke jalan yang diredhai…insyaallah.