New Adventure

Bismillahirrahmanirrahim


Alhamdulillah, segala pujian hanya layak bagi Allah SWT yang telah mengurniakan bermacam-macam nikmat baik yang diminta apatah lagi yang tidak kita pinta. Sesungguhnya hanya Dia Yang Maha Mengerti akan apa yang diperlukan oleh para hamba-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta seluruh keluarga baginda. Berkat selawat ke atasnya mudah-mudahan kita beroleh syafaat baginda di Mahsyar kelak dan ditempatkan di Jannatul Firdaus al-A’la bersama baginda dan para Solihin, Insyaallah.


Masuk hari ni, dah lebih sebulan berada di kampus pengajian. Tak terasa pantasnya masa berlalu. Sedar-sedar, dateline hantar assignment dah dekat. Sama ada diri yang leka atau masa yang bergerak pantas. Mungkin juga kerana masih belum pandai menguruskan masa. Apa pun, mudah-mudahan diberi kesihatan yang baik supaya gerak kerja berjalan dengan lancar. Amin Ya Rabb.


Sebukan di kampus, satu pengembaraan baru bagi ana. Walaupun sebelum ni pernah juga menghadapi situasi di IPT, tapi keadaannya berbeza sama sekali. Mungkin kerana jiwa yg lemah suatu ketika dahulu yang menyebabkan diri mudah tersungkur lalu tersembam tanpa simpati dan empati dari manusia sekeliling. Jika bukan dengan kekuatan yang masih tersisa, pastilah kehancuran yang menghiasi hidup tika ini. Alhamdulillah, syukur atas inayah-Nya, pertolongan-Nya hadir tanpa dipinta. Bahkan luka semalam dirawat dengan belaian ehsan-Nya sehingga kaki ini kembali teguh berdiri untuk meneruskan perjalanan yang sekian lamanya terhenti. Mudah-mudahan langkahan kali ini berjaya tiba ke destinasi yang dituju, insyaallah.


KEMBARA ILMU

Kembara ilmu selaut cahaya
Milik Tuhan tiada bertepi
Diselam tak jejak ke dasar
Ditimba tak luak setitis

Kembara misi lembah nurani
Menakung titisan ilmu suluhan budi
Resapan dari akal yang murni
Untuk diuntai mutiara sufi
Menjadi azimat menuju firdausi

Lembah nurani fitrahnya suci
Jangan ditinggal gersang
Jangan dibiar hitam
Gersang nurani kerana tiada ilmu
Hitam nurani kerana dosa bertimbun

Noda di hati melemahkan minda
Kembara sufi terasa sukar
Sesatlah di dalam pelayaran
Hanyut tiada pedoman
Akhirnya karam dalam kegagalan