Sucikan Hatimu, Kembali ke Jalan Allah

Salam alayk, salam ukhuwah ila asdiqai...kai fa halukum? kullu 'am waantum bi khair wa fi ta'atillah aidhon, Insya-Allah Ta'ala.

Alhamdulillah, syukur pada Ilahi lianna masih diberikan peluang kepada diri ana yg hina ini untuk menyampaikan tazkirah atau lebih tepat lagi, saling nasihat-menasihati dan ingat-mengingati antara sahabat-sahabat semuslim. Semoga kita semua dikurniakan taufiq dan hidayah yang berkekalan hingga ke hari penghabisan yakni Akhirat yang kekal abadi. Insya-Allah.

Suka ana jelaskan di sini, janganlah antum merasakan bahawa tujuan ana menulis risalah ini sekadar untuk memerli atau mengaibkan antum, tetapi sekadar mengingati terutama diri ana sendiri kerana ana yang terlebih dahulu melihat, membaca dan menaip risalah ini. Segalanya tertuju kepada ana terlebih dahulu dan sekiranya ada sebarang kesilapan harap diperbetulkan.


Ikhwanil kiram,

Teringat ana pada sekeping ayat hadith di mana Rasulullah s.a.w bersabda:
"Jika cahaya masuk ke dalam hati, maka ia akan menjadi terang dan luas. Mereka bertanya: Apakah tanda-tandanya, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Mendekatkan diri kepada negeri yang abadi (akhirat), menjauhkan diri daripada negeri yang pasti hancur (dunia) serta mempersiapkan diri untuk mati sebelum ia datang." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Dunia hanya menipu, sedang akhirat adalah sesuatu yang pasti dan kekal abadi. Namun, terdetik di hati ini menagapa insan yang mengaku diri sebagai muslim tidak menjalankan hukum-hukum islam seperti yang tercatat dalam al-Quran dan as-sunnah? Soal halal dan haram bercampur-aduk, dan manusia tanpa segan-silu melanggar hukum-hukum syarak sedangkan mereka tahu akan akibatnya. Itulah tandanya bila hati telah berkarat. Manusia tak menggunakan akal lagi untuk berfikir dan beramal tetapi menjadikan nafsu sebagai pemimpin diri. Malah, jika di tegur akan kesilapannya dia akan menentang habis-habisan biarpun hal yang bersangkut-paut dengan hukum Allah. Inilah antara orang yang telah dijauhkan dari hidayahNya. Na’uzubillah min zalik.

Namun, sebesar manapun dosa seorang hamba Allah itu, tidak bermakna dia akan kekal dalam dosanya jika dia bertaubat, kerana sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang, Dia pasti mengampunkan hambaNya yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Selagi pintu taubat belum tertutup, ambillah peluang untuk mengabdikan diri kepadaNya dan pusatkanlah bahawa setiap amal ibadat dan kebajikan yang kita lakukan di dunia ini semata-mata kerana Allah bukan kerana riya’ atau pangkat mahupun nama.

“CARILAH REDHA ALLAH, KITA TIDAK AKAN KECEWA…INSYA-ALLAH”.

Persoalan timbul, bagaimana untuk menghilangkan karat hati ini? Karat hati boleh dihilangkan dengan membaca al-Quran, mengingati mati dan menghadiri majlis zikir .

Nabi s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya hati ini berkarat dan yang menghilangkan karatnya itu adalah membaca Al-Quran, ingat mati dan menghadiri majlis zikir"

Hati ini memang berkarat jika pemiliknya tidak memperbaiki dengan apa yang disebutkan Nabi s.a.w. Jika hati itu, hitam pekat maka hati itu sudah menjauh dari cahaya( nur ). Hati menjadi hitam kerana terlalu cinta kepada dunia; cinta kepada harta, cinta kepada pangkat dan kedudukan, cinta kepada nafsu berlawanan pasangan dan sebagainya. Mudah-mudahan kita dijauhkan dari cinta duniawi.

Orang yang ditempati cinta kepada dunia, maka hilanglah waraknya lalu ia menghimpun dari yang halal kepada yang haram, hilang pertimbangan membezakan yang halal dan haram, hilang malu kepada Tuhannya dan pengawasannya.

Sesungguhnya hati apabila jauh dari nasihat maka menjadi buta. Hakikatnya taubat adalah mengagungkan dan membesarkan Allah dan seluruh jiwa raga hamba hanya untuk orang yang
menjadikan Allah sebagai tuhannya dan akhirat sebagai matlamatnya. Setiap orang yang tidak membesarkan urusan Allah dan tidak sayang kepada makhluk Allah maka dia jauh dari Allah.


Asdiqail kiram,

Marilah kita sama-sama muhasabah diri dan menginsafi akan segala amal perbuatan kita yang telah jauh menyimpang dari agama ini. Usah ditangguhkan lagi taubat yang sepatutnya kita lakukan dari dulu lagi. Kita sepatutnya bersyukur kerana dikurniakan Islam sejak lahir lagi tak seperti orang-orang kafir yang hanya segelintir sahaja yang mendapat hidayahNya…maka, peliharalah ia sebaik-baiknya. Sementara hidayah Allah masih ada dalam diri, peliharalah ia agar tidak hilang selamanya.


Hayati bait-bait puisi ini (hasil nukilan sahabat):

“Tangisan sayu mengalir ke pipi di kala sendiri tiada yang menemani,
Namun hati sering meneliti apa yang telah dijanji Ilahi,
Dia sentiasa berada di sisi di kala suka mahupun sepi,
Kuatkan jiwamu tabahkan hati menempuh dunia yang penuh duri,
Asalkan penuh percaya diri,
Dia akan mengirim seri,
Untuk menerangi hati yang dilukai, Insya-Allah”


Dari Abdullah bin 'Amr ra. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, "Sampaikanlah apa-apa yang datang dariku walaupun satu ayat" (hadis Riwayat Bukhari)

Ikhlas dari hati nurani seorang hamba Allah.

Wallahua’alam. Wassalam

No comments:

Post a Comment