Adab-adab Persahabatan Dengan Allah

Ketahuilah saudara-saudaraku, sahabat sejati yang tidak pernah berpisah dengan kita itu adalah pencipta kita yang Maha Agung yakni Allah SWT. Maka bersahabat dengan-Nya juga ada adab-adabnya yang harus kita pelihara dan lazimi.

Di dalam kitab ‘Bidayatul Hidayah’ karangan al-Imam Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah. ada menjelaskan adab-adab persahabatan dengan Allah dan adab-adab itu seperti berikut:

  1. Menundukkan kepala di hadapan-Nya
  2. Merendahkan pandangan di hadapan-Nya
  3. Menumpukan perhatian kepada-Nya
  4. Mendiamkan segala anggota badan
  5. Bersegera mengikuti perintah-Nya
  6. Menjauhi larangan-Nya
  7. Tidak menyangkal perbuatan-Nya (Tidak menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap takdir-Nya)
  8. Mengakali zikir (ingat) kepada-Nya
  9. Melazimi fikir akan qudrat-Nya
  10. Mengambil yang hak dan meninggalkan yang batil
  11. Putus harapan daripada makhluk
  12. Tunduk kerana kehebatan-Nya
  13. Pecah hati kerana malu daripada-Nya
  14. Merasa tenang dalam kehidupan kerana percaya dengan jaminan-Nya
  15. Bertawakal (berserah diri) kepada kelebihan-Nya kerana percaya dengan pilihan-Nya

Persahabatan dengan Allah itu sangat indah, sehingga merasa cukup segala-galanya dan tidak memerlukan sesuatu yang lain lagi selainNya. Maka ambillah sedikit dari waktumu untuk merenung dan bermuhasabah diri kerana itu yang akan mendekatkan dirimu kepadaNya lalu menginsafi diri sebagai seorang hamba.

Sedarlah bahawa dunia ini sudah hampa dari manusia, siapa lagi yang boleh diharapkan kalau bukan Kekasihmu sendiri iaitu Allah SWT. Takkah terasa malu bahawa setiap hari kita dikurniakan rezekiNya sedangkan kita jarang mentaati perintahNya, bahkan sesaat pun kita tiada masa untuk mengingatinya apalagi mengucapkan rasa syukur seikhlas hati. Sama-samalah kita perbaiki hubungan kita denganNya agar kita tidak tergolong dikalangan orang yang rugi dan jauh dari rahmat dan redhaNya. Wallahua'alam

No comments:

Post a Comment