Kembara Ilmu

بسم الله الرحمن الرحيم


الحمدلله رب العالمين. حمدا حامد والعاقبة للمتقين. والصلاة والسلام على سيد المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين.


Kebelakangan ini agak sibuk dengan urusan pengajian... buat keputusan last minute, jadi kelam kabut sikit. Kena berulang-alik ke Melaka untuk settle-kan borang permohonan. Tapi Alhamdulillah, sekarang boleh tarik nafas lega sekejap sebab urusan penghantaran borang permohonan dah selesai. Cuma sekarang kena uruskan bantuan kewangan pula. Moga Allah memudahkan segala urusan ana dan sahabat-sahabat sepengajian. Amin.

Sebut tentang pengajian, lapang rasanya bila dapat sambung belajar atas restu mak ayah. Terasa urusan yang sukar jadi mudah. Mungkin itu yang dimaksudkan dengan keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa. Banyak lagi yang perlu dipelajari tentang kehidupan… banyak lagi ilmu yang perlu digali… Moga jalan kebenaran itu terbentang jelas dalam menyingkap hikmah dan rahsia pada setiap ketentuan-Nya.

Ilmu itu milik Allah…sama ada ilmu duniawi atau ukhrawi, semua itu kepunyaan al-Khaliq. Maka persediaan untuk menutut ilmu itu samalah seperti hendak mengerjakan ibadah. Tanamkan niat dari sekarang, menuntut ilmu kerana Allah agar matlamat dan tujuan tampak jelas dalam diri dan tindakan. Perkasakan fizikal dan rohani dengan memperbanyakkan ibadah dan muhasabah kerana dugaan menuntut ilmu itu tidak kurang hebatnya. Dasar iman yang kukuh mampu menepis serangan maksiat dan dosa yang mendatang. Jangan berputus harap dengan pertolongan Allah kerana disamping-Nya ada rahmat dan berkat yang tak terungkap dengan kata-kata.

Apabila sesuatu perkara yang dilakukan, diniatkan kerana Allah….usah berkira dengan yang lain. Jangan mengungkit bila kebaikan tidak dibalas, jangan merungut bila dibebankan dengan suatu tanggungjawab, jangan menghampakan bila bantuan diperlukan… bahkan hendaklah sabar dan ikhlas memenuhi permintaan dan melaksanakan tanggungjawab yang merupakan amanah Allah. Di situlah terbitnya keberkatan dan keredhaan Allah yang menjadikan semua urusan dipermudahkan malah yang lebih berharga adalah dapat mendekatkan diri dengan Tuhan. Itulah ganjaran yang tak dapat ditukar ganti. 



Ya Allah, bantulah hamba-Mu menyusuri liku-liku hidup yang penuh dengan duri ini… 
Hati yang gelita, sinarilah ia dengan cahaya hidayah-Mu,
Kurniakan aku ilmu yang membawa kepada Ma’arifatullah,
Yang akhirnya menghantar aku menuju Mahabbatullah…
Itulah semulia-mulia ilmu yang kudambakan…
Yang menundukkan jiwaku hanya kepada al-Rahim
Yang mematikan harapanku terhadap kepalsuan dunia

Ya Bari’
Bimbinglah aku menuju jalan ketaqwaan…
Jadikanlah aku insan bertaqwa

*************************************************

Musafir ini untuk mencari mutiara ilmu,
Yang nilainya tiada tandingan…
Andai mereka menilai ilmu umpama sebuah perdagangan,
Maka aku menilainya dengan kasih sayang Tuhan.
Kerana ilmu yang hakiki itu membawa aku mengenal Allah…
Lalu mengajak aku menjauhi bangkai dunia…

Doakan keselamatan dan kejayaan ana di bumi Anbiya’, al-Azhar, Mesir. Sedarkan kesilapan ana dalam doa antum, mudah-mudahan ikatan ukhwah fillah mampu menggerakkan hati ini menyedari kealpaan diri.

No comments:

Post a Comment