Mengundang Rahmat Allah

Bismillahirrahmanirrahim.

Beberapa hari ini agak sibuk sedikit. Kelam kabut dibuatnya. Mungkin kerana sudah lama berehat dari terlibat dengan program. Penglibatan sebagai peserta mungkin tak sekalut ini, tapi bila diberi amanah sebagai urusetia program kekok pula jadinya. Tambahan pula tarikh program terlalu singkat dan pengalaman pun kurang, tapi itu ana anggap sebagai satu cabaran. Bak kata kakak ana, “Mendepani Cabaran!!!”. Bunyinya macam ganas, rempuh apa sahaja yang mendatang, tapi jika diteliti dan dihayati ia ada mesej tersendiri iaitu yakin dan tidak gentar menyahut cabaran serta tidak lari dari masalah sebaliknya merancang strategi untuk menghadapi dan menyelesaikannya secara profesional. Ini menurut pengamatan ana sahaja, yang selebihnya kena refer pada kakak ana sendiri.


Dalam kesibukan ni, cuba juga mencari ruang untuk menulis. Terlalu fokus pada gerak kerja pun boleh jadi hilang tumpuan. Sampaikan terbawa-bawa dalam tidur. Tak nyenyak dibuatnya. Astaghfirullah’azhim, betapa lalainya diri. Terlalu sibuk dengan tanggungjawab sehingga mengabaikan hak diri yang perlu ditunaikan. Akhirnya, tiada kualiti dalam hasil kerja. Alhamdulillah, syukurlah disedarkan sebelum terlalu lewat. Moga menjadi pelajaran pada diri.


Dalam suka hitunglah kesyukurannmu, Dalam senang awasi kealpaanmu, Setitis derita melanda, Segunung kurniaanNya



Teringat bait lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Hijjaz ni, seolah-olah ia menyapa dikala diri semakin alpa, kealpaan yang mengeringkan hati dan menghentikan akal seketika. Subhanallah, teguran yang lembut dan nasihat yang halus penyampaiannya. Dia mengingatkan diri supaya kembali tersedar. Begitulah hendaknya setiap manusia itu, sentiasalah menghisab diri supaya tidak terjerumus ke lembah kehinaan dan kemaksiatan.


Kelalaian yang sedikit jika tidak disedarkan, akan men’TAK APA’kan sebarang perbuatan yang melaghakan. Lalu ia mengundang kelalaian yang lebih besar yang menghasilkan maksiat dan dosa. Semuanya bermula dengan ‘TAK APA’ iaitu meremehkan kesilapan dan kesalahan. Mungkin zahirnya kita cuma melakukan kesilapan yang kecil, tapi ingatlah selagi kita memandang sesuatu dosa itu kecil, ia menjadi besar di sisi Tuhan dan begitulah sebaliknya.


Contohnya, seseorang yang memelihara hubungan persahabatan dengan cara melakukan aktiviti bersama tetapi melalaikan seperti melepak di Cyber Cafe (CC) selama berjam-jam untuk berchating, main game, pergi ke pusat-pusat hiburan untuk berhibur, melepak di restoran-restoran untuk berbual-bual dan sebagainya. Alasannya, ukhuwah. Jangan memesongkan konsep ukhwah dengan kehendak diri yang tidak terbatas! Jika sekadar membina hubungan baik persahabatan, ia mungkin dapat direalisasikan...tapi hanya untuk sementara. Kerana setiap perbuatan yang dilakukan bukan kerana Allah, semuanya bersifat sementara apatah lagi jauh dari rahmatNya. Jika alasannya untuk memelihara persahabatan kerana Allah dengan cara seperti ini...sedarlah bahawa niat tidak menghalalkan cara. Niat yang ikhlas dan benar, disusuli dengan tindakan yang benar baru akan menghasilkan keredhaan Allah yang di dalamnya ada rahmatNya yang menaungi hati-hati kita. Maka, dari itulah akan terbitnya kasih sayang, tolak ansur, ikhlas dalam memberi pertolongan, sentiasa mendoakan sahabat antara satu sama lain, bertemu dan berpisah kerana Allah dan lain-lain kebaikan lagi.


Ketahuilah, sahabat yang baik itu mendamaikan hati bila bersamanya. Damai yang dimaksudkan ialah ketenangan yang membawa kita kepada Allah, yang menghidupkan hati kita dari kematian yang disebabkan tebalnya tompokan dosa yang menghitamkan. Bukan yang hanya susah dan senangnya bersama kita tetapi hakikatnya hanya untuk berseronok dan mengejar keindahan dunia yang menyilaukan semata-mata. Pilihlah antara sinar permata dan kilauan kaca. Kedua-duanya menghasilkan kerlipan cahaya tetapi berbeza nilai dan kesannya.


Niat dan perbuatan yang dilakukan kerana Allah menjadi ibadah dan diberikan pahala padanya. Impaknya dalam kehidupan pula, menganugerahkan ketenangan dan kedamaian pada hati setiap insan sekeliling kita. Sekiranya apa yang berlaku adalah sebaliknya, maka kembalilah merenung diri, memeriksa dan menganalisis kesalahan diri satu-persatu. Pasti ada silapnya di mana-mana. Kemudian perbaikilah ia dan kembalilah kepada kebenaran yang menyampaikan kita kepada Allah Yang Maha Benar. Kehormatan diri perlu dikembalikan. Zaman ini, mereka yang ingin membawa islam selalu diperlekehkan, tetapi jika kita berteguh hati dan tetap di atas jalan kebenaran, cemuhan akan bertukar menjadi penghormatan pula. Hanya saja kita tetap dengan pendirian semata-mata kerana mengharap cinta Allah.


Kesibukan bukan penghalang untuk melakukan ketaatan. Sedang ketaatan itu menghilangkan kesibukan pula. Bagaimana? Seorang yang sibuk dengan pelbagai tanggungjawab, tetapi tidak mengabaikan tanggungjawabnya kepada Allah bahkan semakin peka menunaikan hakNya tanpa melewatkannya sedikitpun kecuali terpaksa, mereka ini mendapat pertolongan Allah, segala urusan dipermudahkan, fikiran dilapangkan, dan usaha membuahkan hasil yang baik. Oleh itu, jadilah hamba yang sibuk dalam melakukan ketaatan terhadap Allah...mudah-mudahan menjadi hamba yang bertaqwa.

No comments:

Post a Comment