Wajah-wajah Ketenangan

Bismillahirrahmanirrahim.


Mengimbau kenangan indah yang pernah diukir, membuatkan diri tersenyum seketika. Apakah mungkin bisa diputarkan waktu? Menikmati pahit manis yang pernah dilalui, senyum tawa bersama sahabat-sahabat, suka duka dalam membina ukhwah fillah… kenangan hanya boleh dipotretkan, hanya perlu dilihat sekali-sekala sahaja. Namun ukhuwah, sifatnya berterusan. Apabila berdekatan qudwah hasanah diamalkan bersama, namun apabila berjauhan, doa sebagai penghubung yang mengikat hati. Perpisahan itu perit sekali, namun rahmatNya mengiringi andai diri redha dengan ketetapan Ilahi


Tiada lagi madah yang dapat dituturkan. Tiada lagi kata yang dapat dilafazkan. Bagai bibir terkunci mati. Aku akui hakikat berteman, namun kadangkala tewas dipertengahan. Aku akui hakikat berguru, namun tetap juga kalah untuk menurutkan. Tatkala jiwa lelah berhadapan dengan ragam manusia, Dia hadirkan wajah-wajah ketenangan di hati. Subhanallah! Andai mereka mengerti hakikat ini, pasti mereka juga bisa berkongsi perasaan bersama. Membayangkan wajah-wajah guru yang mursyid cukup menyejukkan jiwa dan akal dari kepanasan nafsu dan dunia. Pada mereka ada adab yang tinggi, ada thiqah yang syadid, ada sunnah yang diwasiatkan nabi, ada ilmu yang diberkati dan pelbagai kemuliaan yang dikurnia Ilahi. Syukur hanya pada Rabbul ‘Izzati kerana memilih diri berada di jalan ini. Moga aku menjadi hamba yang syakur.


Kadangkala aku belajar tanpa kitab. Bukan kerana tidak memiliki tetapi melihat peribadi guruku sahaja seolah-olah aku sedang mempelajari ilmu. Maka aku kerapkan memandang wajah guru, mudah-mudahan aku peroleh keberkatannya. Peribadi mereka membuatku terbayang diri baginda Rasulullah saw, bagai jiwa yang gersang disuburkan kembali, menambahkan cinta kepada baginda saw. Jika melihat mereka sahaja sudah mampu menampakkan kemuliaan Islam, betapa Rasulullah itu lebih indah dari mereka. Bagaimana pula penciptanya? Pasti jauh lebih indah dari segalanya. Subhanallah! Allahu Ajmal!. Mungkin inilah yang dimaksudkan dalam hadis bahawa ulama itu pewaris nabi. Ya Ilahi Rabbi, indahnya nikmat yang Kau beri. Ya Mu’min, tenang tenteramkanlah diriku dengan mengingatiMu. Moga ku menjadi hamba yang bertaqwa.


No comments:

Post a Comment