Renungan Yang Menyegarkan


Bismillahirrahmanirrahim.


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Jalla Wa ‘Ala yang merencanakan nafas ini terus berhembus. Moga setiap hembusan membuahkan zikrullah yang tak putus-putus. Selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah s.a.w. yang mulia, alunan qasidah dan selawat sentiasa kedengaran di segenap ruang menzahirkan rindu yang tak tertahan. Moga setiap kesempatan dimanfaatkan dengan membesarkan-Nya, tingkatkan ‘ubudiyyah, moga jalan makrifat semakin jelas terbentang.


Sepetang di kampus, ditemani sinaran mentari yang indah menanti tibanya masa untuk menyisakan sinaranya. Subhanallah, masih ada ruang untuk bertafakur menghayati ciptaan Ilahi. Saat minda dan fikiran serabut memikirkan soalan-soalan peperiksaan yang bakal dikemukakan, ketenangan hadir dengan menikmati ciptaan-Nya. Indahnya ciptaan Allah, keindahannya tidak mampu ditafsirkan dengan kata-kata, hanya mampu dinikmati dan dihayati. Beruntunglah bagi mereka yang hatinya masih hidup, kerana dengan hati yang hidup sahaja dapat merasai kehidupan makhluk yang lain.



Sejenak merenung ke langit biru, bagaikan merai kehadiran hati yang ingin menatapnya. Seketika itu juga unggas mempersembahkan aksi kehebatannya. Seketika beralih pandangan ke hujung pohon-pohon menghijau. Pucuk yang tinggi menjadi tujuan, kehijauannya begitu mendamaikan. Masih muda dan berjiwa tinggi. Tidak resah dan berputus asa meraih sinar mentari yang menyegarkan. Semua itu tidak perlu dilakonkan, inilah sandiwara asli yang hakiki. Hanya ucapan tasbih dan tahmid yang mampu dituturkan. Maha suci Allah! Kekuasaan-Nya mengatasi segala makhluk.


Kembali duduk meneliti nota-nota kuliah, cuba mengimbas apa yang telah ditelaah. Mudah-mudahan kerehatan yang sebentar tadi memberi kekuatan semula untuk menghadam setiap ilmu. Terngiang-ngiang kata-kata Ustaz Abdul Rahman bin Mahmud yang mengajar Akidah Islam, katanya kalau keluar dari universiti (tamat pengajian) sedang kita tak faham apa yang dipelajari (tak faqih), sehingga apabila orang kampung bertanya suatu soalan dan kita tidak tahu untuk menjawabnya, maka ketika itu kita berdosa besar. Astaghfirullah al-‘Azhim… betapa aku telah leka dan lengah dalam memahamkannya. Walaupun ilmu itu fardu kifayah bagi penduduk kampung, tetapi ia menjadi fardu ain bagi yang mendalaminya untuk faham.



Mungkin ada yang berkata, bukankah faham itu anugerah Allah kepada hamba-Nya? Benarlah ia anugerah Tuhan, tetapi ia hanya akan dikurniakan bagi mereka menepati syarat-syaratnya. Buktinya para ulama, mudah sekali memahami ilmu. Imam al-Syafi’e rahimahullah, hanya perlu membaca sekali sahaja, ingatannya terhadap apa yang dibaca sudah terlekat di ingatan. Apa rahsianya? Apakah kerana beliau seorang Imam Mazhab? Ketahuilah, sebelum beliau menjadi Imam Mazhab, beliau asalnya seorang kanak-kanak biasa seperti yang lain. Bagaimana pula Sufyan al-Thawri rahimahullah yang terkenal dengan ketegasannya? Begitu juga dengan Saidina Umar al-Khattab r.a yang digeruni musuh dikalangan manusia dan iblis? Bukankah mereka yang kelihatan luar biasa ini asalnya manusia yang biasa-biasa sahaja.


Hakikatnya, adab itulah yang menghadirkan kefahaman yang memfaqihkan seorang penuntut ilmu. Kata al-Habib al-Syeikh Muhammad Nuruddin al-Banjari al-Makki (semoga Allah memeliharanya), ilmu itu sangat tinggi dan mulia. Ia akan datang kepada mereka yang menjaga adab-adab dalam menuntut ilmu. Jika seseorang itu tidak menjaga adab, ilmu akan datang sekadar menyinggah dan akan pergi dengan cepat. Allah Akbar! Besarnya peranan dan nilai adab, dan inilah yang telah hilang ditelan kebaratan fikiran manusia. Wal’iyazubillah.


“Ya Allah, masukkanlah aku dikalangan orang yang meninggikan adab. Mudah-mudahan aku menjadi hamba-Mu yang menghidupkan sunnah kekasih-Mu yang mulia. Amin Ya Rabb”.

Wallahua’alam.

No comments:

Post a Comment