Amanah Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim.


Alhamdulillah. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dia yang Maha Pembuka…yang membuka pintu hati para hamba-Nya untuk merasai nikmat kebenaran. Allahumma iftah ‘alayna futuh al-‘Arifin. Selawat dan Salam buat Rasulullah (s.a.w.), kekasih Allah Yang Maha Pengasih. Moga ucapan selawat yang menyinar terpancar sinarannya ke dalam diri mereka yang mengalunkan. Allahumma ij‘alna min ahl syafaat Sayyiduna Muhammad (s.a.w.).


Alhamdulillah, tepat 10.30 pagi ini tamatlah peperiksaan bagi semester ini. Menandakan berakhirnya semester kali ini. Mungkin boleh menghembuskan nafas lega seketika. Walaupun jika hendak dibandingkan dengan yang lain, usaha mereka jauh lebih hebat dalam mengulangkaji pelajaran. Tak layak langsung untuk berehat atau berasa lega. Sekilas duduk di sisi mereka, mendengar perbincangan berkaitan pelajaran. Mereka cuba mengingat kembali point-point penting yang dihafal, sekejap-sekejap mereka menguji sesama sendiri. Seketika kemudian mereka tertawa sesama sendiri. Masing-masing cuba melepaskan pressure yang ditanggung. Inilah dunia belajar di universiti. Ilmu kami akan diuji sebentar lagi.


Menyelak nota-nota yang dibawa. Mungkin tak layak disebut nota, kerana terlalu simple dan tak sempurna. Jika tercicir pun mungkin tiada siapa yang nak menyimpannya apalagi memulangkan kepada tuannya. Seolah-olah kertas tak berguna yang sibuk dibawa ke sana ke mari. Biarlah tak sempurna, itu sahaja yang ada. Walaupun isinya tak meliputi setiap helaian rujukan, tapi sekurang-kurangnya ada sedikit persediaan yang dibekalkan untuk diri. Mudah-mudahan ia mencukupi walau sekadar cukup makan sahaja.

Kadangkala terasa seperti berpura-pura, atau bahasa yang lebih kerasnya hipokrit. Mana tidaknya, jika bukan kerana peperiksaan pasti setiap subjek tidak dipedulikan. Buku-buku dan bahan pengajian semua sekadar perhiasan di meja sahaja. Alasannya, cukuplah hanya sekadar tahu dan dapat pendedahan dalam kuliah dan tutorial sahaja, tak perlu mentelaah lebih dalam. Sungguh memang pemalas. Kalaulah diketahui guru, pasti mereka pun tak sudi nak anggap sebagai anak murid. Ya Allah, hindarkanlah aku dari sifat malas yang merugikan ini.


Selepas tamat satu paper, kerisauan paper yang lain pula menjengah. Bagaikan orang yang tiada iman dalam dirinya, merisaukan sesuatu yang tidak tahu hujung pangkalnya. Astaghfirullah al-‘Azhim, bertenanglah wahai diri. Jangan memikirkan sesuatu yang bukan tugasmu, tugasmu tika ini adalah usaha. Usahakanlah untuk memahami ilmu, kemudian aturkan dengan baik strategi untuk menjawabnya. Insyaallah akan dipermudahkan perjalanannya. Menasihatkan diri sendiri rupanya jauh lebih sukar berbanding mendengar nasihat orang lain. Perlu berperang dengan suasana dan persekitaran. Moga diberikan kekuatan. Satu minggu lagi menunggu. Teguhkan usaha, betulkan niat.


Kini, tamatlah semua peperiksaan. Berakhir sudah semester yang panjang ini. Namun itu tidak bermakna segalanya telah tamat. Kegembiraan dan keghairahan mereka tatkala keluar dari dewan menggugat akal fikiran yang sedari tadi terlena dan berehat kerana kesejukan dewan. Hanya ungkapan biasa selepas exam yang biasa dituturkan, ‘MERDEKA’. Hanya tersenyum sinis sendirian, pandangan dialihkan jauh ke ufuk langit. Apakah tanggungjawabku telah selesai? Ya, umumnya jika diukur dari segi zahir mungkin telah selesai. Assignment dan tugasan telah selesai semuanya, kuliah dan tutorial sudah lama tamat, final exam pun baru sahaja berakhir. Alhamdulillah semuanya telah selamat dan tidak perlu dirisaukan. Kini hanya perlu berserah dan bertawakal kepada Allah Jalla Wa ‘Ala untuk menerima hasilnya.

Itu jika dinilai dari sudut lahir semata. Tetapi bagaimana dengan yang tersiratnya? Ilmu yang dimiliki dalam kuliah dan tutorial adalah suatu anugerah Allah (s.w.t) pada individu yang menerimanya untuk mendalami ilmu-Nya. Sementara assignment adalah suatu tambahan ilmu yang diperoleh melalui kajian dan beberapa penyelidikan. Bukankah hak ilmu itu ialah beramal dengan yang sebenarnya? Ya, itulah sebahagian hak ilmu. Itulah juga yang membimbangkan diri tatkala keriuhan ungkapan ‘MERDEKA’ disebut-sebut seusai tamat peperiksaan tadi. Allah Akbar! Besar amanah ilmu. La Hawla Wa La Quwwata Illa Billah, moga Allah (s.w.t) menghadirkan pertolongan-Nya dengan memberi kekuatan rohani dan jasadi untuk menyempurnakan hak ilmu ini. Wallahua'alam.


Allahumma faqihna fiddin, Wa ‘allimna ta’wil, Wahdina Sirat al-Mustaqim. Amin Ya Rabb.

No comments:

Post a Comment