Hadiah Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Jalla Wa ‘Ala yang mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada sekalian hamba-hamba-Nya. Dalam kufur masih diberikan kudrat dan nikmat menghirup udara-Nya di muka bumi. Dalam khianat masih dibukakan pintu rahmat dan keampunan yang tidak terhitung luasnya. Maha Suci Allah dari segala kekurangan. Moga terjentik kesedaran dan keinsafan di hati hamba-hamba-Nya untuk kembali kepada-Nya dalam segala urusan. Sungguh, kepada Allah-lah tempat kembali segala sesuatu.

Selawat dan salam yang tidak terlupakan buat junjungan mulia dan tercinta, Habibuna Sayyiduna Rasulullah Sallallah ‘Alayh Wasallam dan para Ahl al-Bayt. Mudah-mudahan kesungguhan dan keikhlasan selawat menerbit mahabbah untuk beramal dengan sunnah yang menghubungkan hati umat kepada baginda dan keluarganya, seterusnya membawa kepada mahabbah kepada Allah Jalla Wa ‘Ala. Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Aalihi Sayyidina Muhammad.


Sedang leka menaip artikel kedengaran bunyi telefon di meja hadapan. Tidak meghiraukaun kerana tidak ada kaitan dengan diri. Tapi dalam tak peduli, rupanya panggilan itu untukku. Kak Jun menyuruh ke pejabat PQIT di tingkat bawah. Katanya Ustaz Hendra nak berjumpa. Apa agaknya ye? Mungkin nak dapat kerja menaip artikel arab lagi agaknya. Seronoknya kalau ada kerja…taklah terasa bosan sangat.

Sampai sahaja di bilik tersebut, dia sedang menjawab panggilan. Menunggu. Usai menjawab panggilan, dia serahkan sebuah kitab terjemahan Hadis Bukhari. Terpinga-pinga? Untuk apa agaknya? Tugasan apa yang hendak diamanahkan? Bertanya untuk kepastian. Ternyata buku itu adalah hadiah dari mereka kerana membantu menaip semula teks asal yang berbahasa arab karangan al-Syeikh Dr. Ahmad ‘Isa al-Ma‘sarawi untuk seminar al-Quran tempoh hari. Bagaikan tak percaya. Dia sedang berguraukah? Namun ternyata mereka benar-benar memaksudkan. Jika benar itu sebagai tanda terima kasih Ustaz Zainuddin-lah yang layak menerimanya kerana dialah yang banyak membantu memeriksa dan membetulkan mana-mana yang salah. Begitu juga Ustaz Husin yang tolong membacakan semula teks yang memang sukar hendak dibaca. Allah…sungguh besar kurniaan-Mu.

Alangkah seronoknya perasaan ketika itu. Rasa tidak layak sebenarnya untuk mendapatkan hadiah semulia itu. Hanya menaip, kerja yang mudah. Jika sukar pun untuk memastikan kesahihan perkataan dan ayat sahaja. Tetapi ganjaran yang Allah bagi berupa kumpulan hadis Imam Muktabar yang begitu mulia di sisi Allah Jalla Wa ‘Ala. Itulah bicara kekasihnya yang teragung, Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam dan karangan ulama mulia yang tinggi darjatnya disisi Allah Jalla Wa ‘Ala. Alhamdulillah…hanya itulah ucapan yang mampu dituturkan. Hadiah Ramadhan yang penuh barakah. Mudah-mudahan cinta dan rinduku kepada insan termulia itu dan para solihin semakin dalam dan bermakna. Ya Allah, kurniakanlah kepadaku cinta yang sebenar-benar cinta kepada baginda Sallallah ‘Alayh Wasallam dan Ahl al-Bayt serta orang-orang soleh. Moga menjadi hamba-Nya yang syakur. Allahumma Amin.

No comments:

Post a Comment