Penawar Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala pujian bagi Allah Jalla Wa ‘Ala yang mengurniakan pelbagai nikmat dalam kehidupan ini. Dengan nikmat dan rahmat-Nya, insan bisa menjalani hidup dengan lebih baik dan sempurna. Tiada yang mampu menyaingi kekuasaan-Nya. Bertakbirlah membesarkan-Nya. Jangan sombong dan berpaling kepada yang lain. Hidup ini telah banyak berhutang dengan-Nya. Kalaulah bukan kerana rahmat-Nya, pasti kita disuruh membayar kembali apa yang telah dikurniakan-Nya sedang kita tidak mampu langsung untuk melunasnya. Allah Akbar
 
 
Selawat dan salam tertuju buat peribadi mulia yang dicinta, Habibuna Sayyiduna Rasulullah Sallallah ‘Alayh Wasallam, penghulu segala nabi dan Rasul, pembawa rahmat keseluruh alam. Berselawatlah sebanyak-banyaknya kepada baginda dan Ahl al-Bayt, mudah-mudahan mengalir keberkatan dalam diri yang membawa kepada kecintaan beramal dengan sunnah pula. Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Aalihi Sayyidina Muhammad.

Damainya hati mendengar alunan bacaan ayat suci al-Quran yang dibacakan oleh al-Syeikh Misyari Rasyid al-Afasi. Memang sengaja dipasang setiap kali laptop dibuka. Tujuannya tidak lain, mudah-mudahan pintu hati yang kian lama membatu ini terbuka tatkala diketuk oleh kalam al-Khaliq. Subhanallah! Sowtun Jamilun! Allah Ajmal! Alangkah mulianya Ahl al-Quran. Mereka mendapat tempat yang mulia di sisi Allah dan Rasul serta orang-orang soleh. Sekalipun mereka lalai, perhatian-Nya tidak pernah luput untuk menarik hamba-Nya kembali kepada kalam-Nya yang hakikatnya kembali kepada Allah Jalla Wa ‘Ala. Tatkala itulah peringatan-Nya hadir sebagai ujian. Bersyukurlah bagi yang menyedari. Bermuhasabahlah kembali bagi yang tidak mengambil peduli. 
 

Cemburuku kian menyala dan meronta tatkala melihat Ahl al-Khair. Ingin sekali menjadi seperti mereka. Bermuamalah dan berbicara bersama mereka membuatkan hati tertunduk malu kepada Pencipta. Sungguh, diri ini penuh dengan noda. Fikiran ini sering berkhayal. Mata ini sering memandang yang haram. Telinga ini sering mendengar umpatan dan cacian. Lisan ini sering mencela dan mengadu domba. Anggota ini sangat malas beramal. Allah…Akulah insan kerdil yang hina dan tidak bermaya. Hidupku diselubungi kemaksiatan dan pengkhianatan yang berpanjangan. Ampunilah hamba-Mu yang ketandusan iman dan amal. Seandainya rahmat-Mu itu Kau berikan kepada mereka yang berdosa dan nikmat-Mu itu Kau berikan kepada mereka yang beramal soleh, Maka kurniakanlah kepadaku rahmat-Mu, kerana aku ini termasuk dalam kalangan mereka yang berdosa. Ampuni aku Ya Ghaffar. 

Ya Allah, terasa berat benar ujian ini. Jika bukan kerana masih tersisa iman di hati, pastilah aku sudah melakukan perkara yang paling Engkau murkai. Kalaulah bukan kerana ditegah oleh nabi-Mu dari meminta kematian, pasti itulah yang aku minta saat ini. Tatkala jiwa terasa lemah, hampir-hampir nafsu menguasai fikiran dan tindakan. Maha Suci Allah, kerana memikirkan Allah dan Rasul, hal itu masih mampu dikawal. Syukurlah masih mendapat perhatian-Nya.


Ramadhan hadir tatkala hati kegersangan. Apakah ia suatu hiburan atau penyiksaan? Sudah tentu ia adalah hiburan yang dianugerahkan Tuhan buat diri dan hamba-hamba-Nya yang lain. Kerana ia hadir dengan pelbagai kemuliaan yang tiada tandingannya dengan bulan-bulan yang lain. Bulan mempertingkatkan ibadah dan amal ubudiyah kepada Allah Jalla Wa ‘Ala. Bulan di mana segenap hamba-Nya diseru untuk memperbanyak amal soleh. Inilah bulan bersama Tuhan yang paling istimewa. Sungguh, jika diteliti dan dihayati, tersingkaplah hikmah dibalik peristiwa. Alangkah seronoknya jika sepanjang tahun adalah bulan Ramadhan. Mudah-mudahan Ramadhan ini lebih baik dari Ramadhan yang telah lalu. Allahumma Amin.

No comments:

Post a Comment