.::Tentera Hati::.

SAUDARAKU…

Ketahuilah bahawa Allah SWT sekali-kali tidak pernah meninggalkan hati terkontang-kanting dan terumbang-ambing sendirian di medan pertempuran yang berdepan dengan nafsu di bahagian hadapan, manakala dibelakangnya pula ada syaitan yang durjana. Malah Dia telah mempersiapkan untuknya, bala tentera yang boleh memberikan nasihat agar tidak terpedaya dengan tipu daya musuh. Di antara tentera hati yang paling penting adalah akal.


Akal itu ialah tempat letaknya ilmu. Maka ia boleh dianggap pendengaran kepada hati. Sebanyak mana ilmu bermanfaat yang dimiliki oleh seorang insan, maka sekadar itulah kekuatan pendengaran hatinya.


Firman Allah SWT:
…sebenarnya yg menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yg berilmu… (Fathir : 28)


Dengan ilmulah kita dapat membezakan sesuatu yg bermanfaat daripada yang mudharat, yang halal dari yang haram dan dgnnya juga perkara-perkara syubhat dapat dielakkan.


Sabda Nabi saw :
“Kelebihan seseorang yang berilmu di atas seorang ‘abid ialah seperti kelebihanku di atas yang paling rendah di kalangan kamu” (HR Tirmizi)


Dan sebagaimana Allah SWT telah menjadikan bagi setiap insan itu seekor syaitan sebagai teman yang sentiasa berusaha untuk memperelokkan amalan keburukan yang dilarang, maka begitu jugalah Allah telah menyediakan untuknya seorang malaikat yang mengingatkannya tentang kebaikan.


Sabda Nabi saw : "
Di dalam hati ada dua kumpulan bisikan. Satu bisikan daripada malaikat yang menjanjikan kebaikan dan membenarkan yang baik. Maka barangsiapa yang mendapatinya maka hendaklah ia tahu bahawa ianya adalah daripada Allah Yang Maha Suci dan hendaklah ia memuji Allah. Dan satu bisikan lagi daripada musuh yang menjanjikan kejahatan, mendustakan kebenaran dan menegah daripada kebaikan. Maka barangsiapa yang mendapatinya, maka hendaklah ia memohon perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam” Kemudian baginda membacakan firman Allah SWT: Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji… (al-Baqarah : 268) (HR Tirmizi dan Nasa’i)


Oleh itu, usahakanlah diri untuk menimba ilmu walau di mana saja kita berada terutamanya ilmu fardu ‘ain dan ilmu-ilmu yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Tetapkan juga niat di hati bahawa ilmu yang dicari dan diperolehi adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah, agar tidak terjerumus ke dalam kemaksiatan yang tidak disedari…bukan untuk ria’ dan takbur dihadapan orang lain, apalagi ujub di hadapan Allah.


Ingatlah, waspada terhadap kedegilan nafsu!!! jangan biarkan ia memimpin hati kita, kelak meranalah jiwa.

No comments:

Post a Comment