.::IFKAR::.


Mengenang dan merenung kisah-kisah para nabi terdahulu dan para sahabat, menyedarkan diri yang hina ini… betapa besarnya jurang keimanan yang dimiliki… Jika dibandingkan dengan mereka pastilah terasa betapa lemahnya iman dalam diri. Memang kita bukan nabi, bukan pula wali, juga bukan ahli sufi… namun apakah tidak layak diri ini untuk merebut darjat seorang ‘abid di sisi Tuhannya? Mengapa dunia yang palsu ini yang menjadi dambaan… mengapa bangkai dunia ini yang diagung-agungkan? Mengapa pandangan insan yang menjadi tumpuan…? Sedangkan di sini tidak pernah menjanjikan apa-apa kebahagiaan bahkan sebaliknya mengkhianati tanpa disedari sesiapa.

Wahai insan, syukurilah pada-Nya kerana kita dikurniakan akal untuk berfikir. Sesungguhnya itu adalah nikmat-Nya yang agung… Maka pergunakanlah ia sebaiknya…kawallah nafsu jahatmu dengannya kerana sesungguhnya nafsu itu tidak pernah mengajak kepada kebaikan bahkan menjahanamkan dirimu ke lembah kehinaan semata-mata

Wahai akal, besar perananmu terhadap diri insan…kerana itulah engkau diletakkan pada darjat yang tinggi… Maka, pimpinlah diri insan ke arah keredhaan Allah… Yakinkan diri insan dengan kekuasaan Tuhanmu… lazimi tingkah lakumu dengan mengingati-Nya setiap masa dan ketika. Peringatkan diri manusia akan azab dan siksaan pedih-Nya di Akhirat nanti… dan terangkan pula kenikmatan dan keindahan syurga di sana.

Wahai hati, janganlah kau selalu menurutkan kata hatimu yang hanya inginkan keseronokan semata-mata… bukankah perkara-perkara lagha dan maksiat itu hanya akan menyakitimu sahaja? Justeru, mengapa kau terus menurutinya? Ingatlah bahawa dirimu hanya akan tenang pada kebaikan. Maka, sucikanlah dirimu dengan penyesalan yang tak sudah diiringi taubat yang tidak putus-putus

Duhai insan… kembalilah kepada asal fitrah kejadianmu… sebesar manapun pangkatmu di dunia…itu tak menjanjikan besarnya kedudukanmu di akhirat kelak… sebanyak manapun hartamu di dunia, ia tak menjanjikan beratnya timbangan amal kebajikanmu di Mahsyar…. Sehebat manapun hasil ciptaanmu di dunia, ia takkan dapat menyelamatkanmu dari pertemuan dengan ‘Izrail… bahkan suatu saat dunia ini juga akan binasa… maka ke mana lagi hendak kau melarikan diri melainkan kau akan hancur bersama-samanya. Ayuhlah bermuhasabah diri… mudah-mudahan hidayah Allah hadir dalam diri… menuntun kita kembali ke jalan yang diredhai…insyaallah.

No comments:

Post a Comment