Azab Hati

Bismillahirrahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala pujian tertuju pada Ilah yang satu. Tiada Tuhan melainkan Dia dan tiada suatupun yang menyamai kehebatan dan kebesaran-Nya. Syukur yang tidak terhingga kepada Allah Jalla Wa ‘Ala kerana masih mengizinkan hamba yang hina ini terus menikmati ciptaan-Nya. Moga setiap deria dan anggota semakin tunduk dan sujud kepada Rabb yang satu. Selawat dan salam atas junjungan mulia dan tercinta Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam dan seluruh Ahl al-Bayt. Berkat selawat menerbitkan mahabbah yang hakiki kepadanya yang dengannya menghubungkan pula mahabbah kepada Allah Jalla Wa ‘Ala.

Mata agak segar walaupun malam telah larut. Tertidur awal tadi gara-gara ngantuk yang teramat. Mungkin kerana keletihan semalam yang masih berbaki dan tak sempat berehat sepenuhnya. Moga dikurniakan kesihatan yang baik untuk meneruskan perjuangan di medan ilmu ini. Allahumma Inni As’aluka al-‘Afiyat Fi al-Dunya Wa al-Akhirat. Melihat di atas meja, masih banyak buku yang bertindan. Itulah tandanya assignment sudah bertimbun tapi masih belum terusik. Tak ada semangat nak mengerah idea untuk menulis assignment. Astaghfirullah al-‘Azhim. Ya Allah, jauhkan aku dari sifat malas yang merugikan.

Bukanlah menurutkan kehendak diri yang malas, tapi kerana ada tuntutan hati yang terabai sehingga terhijab perjalanan ilmu. Terasa pedih dan azab bila menyedarinya. Entah apa lagi yang belum diselesaikan. Urusan dengan persatuan, sudah di bawa berbincang. Urusan dengan manusia, juga sudah diputuskan. Sepatutnya hati semakin tenang. Tapi ternyata ada lagi yang belum terselesai. Mungkinkah salah bertindak? Ya Allah, tunjukkanlah jalan kebenaran yang menghampirkan aku kepada-Mu.

Terbawa-bawa hati yang kaku hingga ke program bersama adik-adik yang lepas. Ibaratnya diri ini bagai jasad yang diprogramkan. Bertindak seolah tiada perasaan. Bagaikan tidak tahu apa itu gembira dan apa itu sedih. Di mana hatiku yang sebenar? Sepanjang waktu berfikir mencari jawapan. Dalam fikir, lisan berzikir namun peritnya terasa apabila hati tidak terkesan dengan kalimah-Nya. Terngiang lagi kata-kata Tuan Syeikh, “nak tuntut ilmu, selesaikan urusan dunia dulu”. Ya Allah, apakah urusan dunia yang benar-benar menghijab hati ini? Sesungguhnya azab hati jauh lebih sakit dan pedih dari jasad yang sakit.

Dalam munajat zikir diukir,
Menghakis tabir yang menghijab kalbu,
Jasadmu merintih,
Namun hatimu berdalih,
Di mana keikhlasan?
Di mana kebenaran kata-katamu?
Apakah ini ujian ataupun azab Tuhan?

Ampunan terus dirayu,
Petunjuk terus diseru,
Mudah-mudahan mendapat belas kasih-Nya,
Dalam sujud adukan segala.

Ya Rashid, tunjukkan kesilapanku
Yang menjadikan Engkau murka terhadapku,
Jelaskan aku dengan suatu petunjuk-Mu,
Akan ku akur segala ketentuan-Mu,
Akan ku lepaskan segala keinginanku,
Demi rahmat dan redha-Mu,
Aku serahkah diriku sepenuhnya,
Terimalah aku Ya Rahim.

Sepanjang bersama adik-adik, fikiran jauh dilayangkan…tujuan hanya satu, iaitu ingin mengetahui kebenaran. Kadangkala tidak tumpu pada apa yang dibicarakan oleh motivator di hadapan. Ya Allah, leraikanlah dunia dari hatiku. Sungguh Dia Maha Tahu apa yang ada di dalam hati. Wajah dan nama itu sering terbayang, menyapa pandangan yang keliru. Bagai meminta suatu jawapan. Kalam Imam al-Nawawi itu terlihat lagi. Mungkinkah ini puncanya? Bukankah telah diputuskan hubungan itu lebih awal lagi? Atau Dia tidak redha dengan keputusanku?

Imbas kembali saat memutuskan. Ya Allah, sungguh memang aku tidak beristikharah dalam bertindak bahkan aku cuma berdalih dengan diri sendiri. Tuan Syeikh pun seolah tidak merestui tindakanku. Astaghfirullah, semoga masih ada ampunan-Nya untuk diri ini. Semoga masih ada peluang untuk memperbaikinya lagi. Kerana tak tertanggung derita ini, cuba meminta pendapat sahabat yang dipercayai. Mungkin ada hikmah di sebalik kata-kata dan pendapatnya yang boleh diambil. Moga dibukakan jalan hikmah. Amin.

Padanya, kata-kataku perlu ditarik kembali. Menerima mungkin lebih baik. Terasa beratnya tindakan seperti itu. Terlalu ego dengan diri akhirnya memakan diri sendiri. Hanya ada dua pilihan yang terbentang jelas. Menerima atau diri akan semakin jauh dari pemilik hati yang sebenar. Pilihan pertama begitu sukar kerana perlu berdepan dengan malu yang amat. Namun pilihan kedua jauh lebih derita. Ya Hadi, sesaat pun aku tidak ingin berjauhan dari-Mu, berilah petunjuk kepadaku. Andai itu ketentuan-Mu, aku redha dan pasrahkan segalanya. Asal saja hati ini lebih tenang bersama-Mu. Tolonglah aku Ya Rahim.

Kini, langkah diatur dengan pimpinan-Nya. Moga tindakan ini lebih menenangkan semua pihak. Ya Allah, permudahkanlah urusanku. Sungguh aku tidak tahu yang mana benar dan salah. Hanya pada-Mu aku berserah diri. Perkenankanlah doaku Ya Mujib.

No comments:

Post a Comment