Biarkan Sufi Berbicara

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Jalla Wa ‘Ala yang tidak jemu-jemu memberi rahmat kepada makhluk-Nya. Kala terik mentari memancar ke bumi, dihadirkan-Nya angin menyapa lembut ke seluruh anggota. Bagaikan terasa lembutnya pujukan-Nya kepada diri untuk kembali kepada kebenaran. Sapaan hidayah-Nya terlalu lembut dan mendamaikan. Siapa yang memikirkan pasti menemukan hikmah yang tidak ternilai dengan dunia dan isinya. Siapa yang mengabaikan terciptalah kerugian demi kerugian yang tidak disangka-sangka. Ambillah sedikit waktu untuk merenung, kerana bimbang umur semakin tandus dan berkurang.

Selawat dan salam buat junjungan mulia dan tercinta, Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam. Peribadi yang dirindu dan dicintai para malaikat, para sahabat, para ikhwan, sekelian tumbuh-tumbuhan dan haiwan…bahkan Allah Jalla Wa ‘Ala juga turut mencintainya. Akhlaknya digambarkan terlalu indah. Memujinya mengundang barakah dan rahmat. Ya Allah, himpunkan kami bersama baginda di akhirat nanti. Ya Rasulullah, syafaatkan kami menuju syurga Ilahi. Allahumma Amin.



Memerhati dan merenung ke dalam diri. Mencari dan mentafsir kembali hati yang kian kotor. Terasa serabut memikirkan urusan makhluk. Jasad di bumi namun ruh entah ke mana mengembara. Mungkinkah mampu menembus ke alam tinggi? Atau hanya mampu menjunam ke jurang paling dalam? Astaghfirullah al-‘Azhim. Dunia semakin keliru. Akal semakin tepu. Hati pun semakin kaku. Ya Rahim, damaikan dan tenteramkanlah jiwa hamba-Mu ini.

Biarkan sufi terus berbicara
Menutur cinta dan kalam hikmah
Renunglah sedalamnya bicara mereka
Pasti hatimu tersentuh
Menerima kebenaran yang nyata



**********************************************

Kami merendah di hadapan-Mu dengan harapan
Semoga dengan perangai kelembutan, Engkau meredhai kami
Demi zat-Mu, sungguh kami telah datang dan berlindung kepada-Mu
Namun kami mendapat pengusiran dan kami dihalangi oleh tirai kemaksiatan
Kalau bukan kerana dosa, maka kami tidak akan mendapatkan rintangan
Engkau tidak turut serta dalam membuat jarak dan kerenggangan
Akan tetapi semuanya kerana perbuatan yang kami lakukan
Engkau membuka pintu kemurahan dengan kerelaan,
Setelah kami melakukan kejahatan
Kami tidak memperbaiki malah merosak kemesraan
Kemudian kami bertaubat lalu kembali melakukan kemaksiatan
Kami perlakukan Engkau dengan keadilan dan mengikat perjanjian sesaat, lalu melakukan pengkhianatan
Engkau tidak pernah membatalkan perjanjian
Akan tetapi kamilah yang sering melakukan pembatalan
Kami diusir dari keredhaan-Mu kerana melakukan kejahatan
Seandainya kami layak mendapat keredhaan, pasti kami akan mendapat sambutan
Kami mengakui kesalahan yang kami lakukan
Maka bermurahlah pada kami dengan keredhaan atas pengakuan
Siapakah yang diharapkan oleh seorang hamba kecuali majikan
Maka sayangilah kami bagaimanapun yang kami lakukan
Apakah ada yang dapat menggantikan kedudukan-Mu?
Bukanlah, kalau tidak kerana Engkau, tidak ada erti bagi kebenaran
Alangkah indah dan manisnya kemesraan
Alangkah tingginya kedudukan serta kemuliaan-Mu
Harga diri kami adalah merendah di hadapan-Mu
Kemuliaan kami di hadapan-Mu adalah melakukan ketundukan


[syair ini dipetik dari buku Bahr al-Dumu‘ karangan Ibn al-Jawzi]

No comments:

Post a Comment