Nikmat Kejayaan Yang Disalah Erti

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala pujian hanya milik Allah Yang Maha Agung. Dengan qudrat dan iradat-Nya, terciptalah alam ini. Alam yang tiada suatu cacat cela padanya. Maha Suci Allah dari segala sifat kekurangan. Memuji keindahan ciptaan-Nya begitu mudah, namun memuji keindahan-Nya jauh lebih indah lagi. Moga diringankan lisan ini untuk terus menyebut dan memuji-Nya tanpa rasa jemu. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia dan tercinta habibuna Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam yang terpuji dan kepada para ahlul bait serta para sahabat Radhiyallah ‘Anhum. Memujinya mempamer rasa cinta dan rindu yang ditahan. Moga dengan nur selawat, tersinarlah hati dan diri ini ke arah cinta yang hakiki dan diredhai.

Memandangkan semester baru, baru bermula, agak kerap mendengar suara rungutan di sana sini. Ada yang cuba menenangkan. Ada yang cuba meluahkan. Ada juga yang biasa-biasa sahaja. Semua itu berkisar keputusan peperiksaan lalu yang baru diterima. Bersyukurlah bagi mereka yang berjaya mendapat pointer yang bagus, bersyukurlah juga bagi mereka yang mendapat pointer yang kurang baik. Pada kedua-duanya itu ada perkara yang perlu dimuhasabahkan. Carilah kesilapannya di mana-mana, kemudian ambillah hikmah dan pelajaran yang ada. Itu cara kita berterima kasih kepada Allah Jalla Wa ‘Ala. Moga kita menjadi hamba-Nya yang syakur.


Sering juga mendengar kata-kata “Apalah yang ada pada kejayaan, itu semua dunia sahaja. Ahbabuna Fillah, ketahuilah bahawa jika kita menilai kejayaan pada sijil semata-mata memanglah kita telah tersalah dalam mentafsir sebuah kejayaan. Tetapi jika kita menilai kejayaan itu dengan ilmu, pasti kita temui kebenarannya. Adakah kita telah memahami ilmu yang dipelajari dengan benar, apakah kita beramal dengan ilmu yang dimiliki, apakah kita semakin dekat kepada Allah Jalla Wa ‘Ala? Maka disitulah kita perlu menilai kejayaan kita. Kerana kejayaan seorang hamba itu tidak pernah lari dari hubungannya dengan al-Khaliq. Siapa yang mendekat kepadanya dengan jalan yang benar, pasti akan didekati-Nya dengan himpunan rahmat dan barakah. Beruntunglah mereka yang mendapat rahmat-Nya, mudah-mudahan kita sentiasa berada dalam rahmat-Nya.

Dalam dunia pengajian, perlu dilihat dengan lebih mendalam dan khusus lagi. Ia tidak terhenti hanya sekadar konsep umum di atas, tapi lebih jauh lagi. Bagi mereka yang mementingkan pointer, mereka akan menganggap penting gelaran ‘Dekan’, maka mereka akan berusaha bertungkus-lumus untuk mendapatkan markah yang tinggi walaupun kadangkala tidak faham apa yang dipelajari. Bagi mereka yang lebih gemar berpersatuan, mereka pula menganggap remeh pada status ‘Dekan’ kerana lebih mementingkan kerja persatuan yang dianggap lebih penting dan utama. Jika berjaya disenaraikan sebagai ‘Dekan’, bagi mereka itu adalah anugerah dari Allah. Jika tidak berjaya, mereka mengatakan itu adalah ujian-Nya. Benarkah demikian? Jika demikian, manakah antara mereka yang benar fikiran dan tindakannya? Jangan ditafsir mengikut kepala sendiri, tetapi tafsirlah dengan ilmu kerana ia lebih dekat dengan kebenaran.


Jika mereka berjaya mendapat kejayaan yang cemerlang, tetapi tidak faham apa yang dipelajari, hanya sekadar hafal untuk periksa, inilah mereka yang rugi terhadap ilmu. Jika mereka memuliakan persatuan lebih dari tanggungjawab sebagai seorang murid atau pelajar, mereka jauh lebih rugi dan salah. Mengapa begini? Sedarlah, sejak ditakdirkan kaki kita melangkah ke medan ilmu, tanggungjawab sebagai seorang pelajar itu sudah terpikul di bahu kita. Maka jika seseorang pelajar itu lari dari takdir-Nya, apakah ada takdir yang lebih baik untuknya? Untuk menjalankan amanah sebagai pelajar itu perlu memenuhi hak seorang pelajar. Antara hak itu ialah meninggikan adab dalam menuntut ilmu, menghormati guru, mendoakan guru, taat kepada guru, tidak menyinggung hati guru, sentiasa mendahulukan pengajian dari aktiviti-aktiviti lain dan pelbagai lagi. Andai hak-hak ini dipenuhi, pastilah tidak ada yang dinamakan gagal kerana pertolongan-Nya sentiasa bersama mereka yang ikhlas dan benar. Dia akan memberikan pertolongan untuk memahami ilmu, Dia akan membantu untuk beramal dengan ilmu, Dia juga akan menghadirkan pertolongan tatkala ilmu diuji samaada di atas kertas peperiksaan ataupun dikhalayak umum. Telitilah sedalamnya dan insafilah setiap kesilapan yang dilakukan. Moga ada ‘ibrah yang boleh diambil untuk memperbaiki diri.

Ingatlah, jika Allah memberikan nikmat kejayaan, itu adalah kerana rahmat-Nya, dan jika Allah memberikan kegagalan, itu adalah kerana keadilan-Nya. Dia tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya. Hanya saja kita yang selalu bersikap sambil lewa dalam mencari keredhaan-Nya. Ahbabuna Fillah, sesungguhnya perjalanan menuntut ilmu itu sangat mulia kerana ilmu itu sangat tinggi dan mulia. Apatah pula jika ilmu itu adalah ilmu yang mampu mendekatkan kita kepada Allah (s.w.t.). Sayyiduna Rasulullah (s.a.w.) pernah bersabda, “…Sesiapa yang melalui sesuatu jalan untuk menuntut ilmu nescaya Allah (s.w.t.) memberinya kemudahan jalan menuju syurga-Nya dan sesungguhnya para malaikat rahmat akan meletakkan sayap-sayap sebagai tanda keredhaan mereka terhadap penuntut ilmu itu” (HR Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi, Ibn Majah dan Darimi).



Jika kita memahami dengan benar perihal ilmu, guru dan penuntutnya, pastilah kita tidak akan mencari yang lain selain ingin kekal dalam dunia ilmu sehingga kembali ke pangkuan Allah Jalla Wa ‘Ala. Bahkan kita akan sanggup menjadi khadam kepada ilmu itu sendiri. Kerana Nabiyyuna Sayyidina Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam pernah bersabda: “Tiada sesuatu kaum yang berhimpun menghadap kitab Allah dan saling mempelajarinya nescaya mereka itu menjadi tetamu-tetamu Allah dan diliputi oleh malaikat rahmat sehinggalah mereka berdiri atau mereka berbual-bual hal selainnya. Dan tiada seorang alim yang keluar menuntut ilmu kerana takutkan ilmu itu mati atau membukukannya kerana takutkan ianya sirna melainkan dia itu adalah seumpama pejuang yang pergi berjuang di jalan Allah. Dan (janganlah berbangga dengan nasab keturunan!) Kerana sesiapa yang amalannya kurang maka nasab keturunan itu tidak dapat mengejarnya bersama orang yang banyak amalannya” (HR al-Tabrani)


Ya Allah berkatilah kami dalam menuntut ilmu. Masukkanlah kami dalam kalangan ahli Ilmu yang benar di sisi-Mu dan bantulah kami dalam mengamalkan ilmu. Amin Ya Rabb.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وبارك وسلم والحمدلله رب العالمين

2 comments:

  1. Alhamdulillah satu penyampaian ilmu yang mendedahkan realiti sebuah kejayaan.

    semoga Allah berkatimu dan teruslah menulis kerana ulama dahulu tidak pernah jemu untuk menulis mengajak manusia beriman kepada Allah.

    (^_^) اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

    ReplyDelete
  2. Syukran Ya Ukhti Kabir...

    Harap dapat tampung mana-mana bahagian yang kurang.

    ReplyDelete