Mencari al-Hikmah

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala pujian bagi Allah Jalla Wa ‘Ala yang membukakan mata untuk melihat ciptaan-Nya dan mencelikkan hati untuk menghayati kebesaran-Nya. Subhanallah, Alhamdulillah. Besarnya kekuasaan Allah. Terasa kerdilnya diri insan bila disedari. Sungguh, suntikan dan ketukan pintu hati itu atas rahmat-Nya. Syukurlah kerana masih diperhati. Allah…

Selawat dan salam ke atas kekasih tercinta Habibuna Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam. Insan termulia ciptaan Tuhan. Memancar nur Muhammad ke seluruh alam. Menghapus segala kegelapan yang sekian lama mencengkam. Sollu!…Sollu ‘Ala Khair al-Anam! Ya Nabiyyuna, syafaatmu kami dambakan. Syafaatkanlah kami umatmu akhir zaman. ‘Alayka Sallallah Ya Khaira Khalqillah Wal Aali Wal-As-hab Wal-Qawmi Ahl Allah. Allahumma Solli ‘Ala Muhammad Wa ‘Ala Aalih.

Empat minggu berpraktikal. Menjalani kehidupan sebagai seorang pra-staff. Masih baru dan banyak perkara yang perlu dipelajari. Itu tidak dimungkiri. Rasanya empat minggu sudah cukup untuk menguji hipotesis awal sebelum membuat kesimpulan akhir. Pelbagai perkara disaksikan. Entah. Berkerja itu seronok kerana ia sebahagian dari tugas dan melaksanakannya termasuk dalam ibadah. Tetapi ia menjadi kurang menyenangkan apabila mereka yang berstatus ustaz-ustazah bermuamalah seperti orang biasa yang kurang pendedahan agamanya. Ikhtilat masih banyak yang perlu diperbetulkan. Mungkinkah diri terlalu syadid sehingga mengatakan mereka tidak benar? Tidak, bukan begitu. Cuma tidak selayaknya mereka yang terbiasa dan tahu tentang hukum melakukan hal yang sedemikian. Agak terguris hati dan perasaan melihat hal sedemikian diambil mudah. Mungkinkah senario ini yang hendak ditunjukkan sebenarnya sebelum benar-benar melangkah ke dunia pekerjaan? Semoga ia menjadi suatu pengajaran buat diri.

Ingatan terhadap Tuan Syeikh semakin menebal. Tatkala melihat satu persatu adab tidak diambil peduli, pasti terbayang wajah guruku yang mursyid itu. Bagai hendak menangis menghadapi keadaan ini. Dua bulan perlu berkampung di sini. Hendak tidak hendak perlu kuatkan rohani dan jasmani menghadapi situasi ini. Mungkin Allah ingin menguji ilmuku di sini. Bagaimana hendak mempraktik ilmu dan sunnah saat berhadapan dengan dunia yang manusia di dalamnya sudah melupakannya. Mujurlah Ketua Pusat merangkap penyeliaku kelihatannya lebih thiqah dan menenangkan untuk bermuamalah. Alhamdulillah, terubat sedikit kesedihan dan kebimbangan tadi. Wahai diri, yakinlah, pasti ada hikmah ditempatkan di sini.


Ya Allah, berikan kekuatan hati dan al-hikmah kepadaku. Agar dengan kekuatan hati itu aku bisa menjalani kehidupan ini dengan tabah dan sentiasa mendekatkan diri kepada-Mu. Dan agar dengan al-hikmah itu aku bisa merungkai rahsia dan maksud-Mu dibalik tiap peristiwa. Perkenankanlah Ya Mujib. Allahumma Amin.

No comments:

Post a Comment