Pengkhianatanku

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah Rabbil ‘Alamin. Puji dan syukur ditujukan kepada Allah Jalla Wa ‘Ala. Selawat dan salam ke atas peribadi mulia Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam. Himpunkanlah zikrullah dan selawat dalam hari-harimu. Moga yang demikian itu bisa menghubungkan hati kita dengan Allah dan Rasul-Nya yang menerbitkan mahabbah yang sebenar-benarnya. Amin Ya Rabb

Bersama sahabat-sahabat ke Yayasan al-Jenderami tempoh hari. Berhajat untuk bertalaqi kitab bersama Tuan Guru Haji Hafidz bin Selamat. Sampai sahaja di sana, seorang wanita memaklumkan bahawa Tuan Guru berada di Kelantan kerana ada sambutan Mawlid di sana. Seusai bertukar nombor telefon dengan wanita tersebut, kami bergerak pulang. Walaupun ada sedikit hampa, tetapi tidaklah sesedih mana. Cuba berbaik sangka, mungkin hari itu kami cuma diizinkan melihat tempat belajar sahaja dulu. Pasti ada hikmah yang terselit di dalamnya. Ya, kami yakin tentang itu. Apapun, bersyukur atas kurniaan-Nya. Melihat tempatnya sahaja sudah menenangkan, bagaimana agaknya mereka yang berpeluang belajar di sana. Subhanallah, damainya. 


Memang sangkaan kami tidak sia-sia, mungkin pembatalan kuliah itu hanya satu asbab sahaja kerana selepas itu secara takdirnya, kami pergi ke pesta buku di PWTC. Rasanya, kalau bukan kerana tiada kuliah pasti kami tak berpeluang langsung untuk ke sini. Syukurlah, Sungguh Allah Maha Mengetahui segala-galanya. Dalam perjalanan pergi dan balik, berbual dengan sahabat yang salah seorangnya adalah adik usrah saya. Berbual dengan mereka yang ada rasa cinta yang sama pada majlis talaqi sungguh menyeronokkan. Tak sabar rasanya nak bertalaqi bersama. Mudah-mudahan selepas ini kami berpeluang ke majlis-majlis talaqi bersama. Moga Allah merezekikannya. Allahumma Amin

Namun, dalam ungkap katanya ada sedikit kerisauan yang menggamit hatinya. Mungkin itu ujian untuknya di kala izin dari ayah telah diberikan, dipertanggungjawabkan pula dengan tugasan-tugasan persatuan yang pelbagai. Moga Allah Jalla Wa ‘Ala memberikan rahmat kepadanya dan memberikan jalan keluar bagi setiap masalah dan kerisauan. Semangatnya membuatkan diri sedikit tercuit gembira. Sudah lama rasanya tak seseronok ini. Bebanan masalah benar-benar menghalang untuk menikmati kehidupan ini. Silap diri juga kerana sudah lama tidak mengatur usrah bersama mereka. Ada sedikit rindu yang disembunyikan dari pengetahuan mereka. Mudah-mudahan masih ada lagi pertemuan sebelum terpisah selamanya. 


Menzahirkan perasaan itu amat rumit dan payah sebenarnya pada diri. Bukan kerana ego, tapi kerana tidak mampu dan kelu, walaupun pada ahli keluarga, apatah pula pada sahabat handai dan lain-lain. “Tidak ada perasaan”, ucapan yang biasa ditujukan kepada diri ini sejak di bangku sekolah lagi. Argh…biarlah apapun bicara mereka, aku tidak pernah hirau dan peduli. Cukuplah ucapan itu hanya dalam pengetahuan-Nya sahaja. Berbicara dengan manusia membuatkan diri letih dan penat. Kadangkala apa yang ingin dimaksudkan, difahami yang sebaliknya. Kadangkala seolah menunjuk pandai sahaja. Hakikatnya hanya menipu diri. Benarlah kata mereka yang bersih nuraninya, banyak berbicara itu boleh menimbulkan riya’ dalam hati. Wal‘iyazubillah

Nasuha (Mestica) 

Pada-Mu kuserah segala 
Harta sepenuh jiwa raga 
Hanya Kau Yang Maha Pemurah 
Meredakan hati yang gundah 
Ya Allah… 

Pada-Mu kucurah segala 
Perasaan yang melara 
Engkaulah yang punyai cinta 
Membawaku ke puncak nasuha 

Kukesali kealpaan diriku 
Kutangisi kesilapan lalu 
Walaupun sekali takkan kuulangi 

Ya Allah Tuhanku 
Bantulah hamba-Mu 
Jangan biarkan diriku terus dibelenggu 
Ampuni dosaku 
Terangi hatiku 
Izinku kembali ke jalan redha-Mu 

Tiada lain yang kuharap 
Hanya kasih sayang-Mu Tuhan 
Membawaku ke rimbun keampunan 

Ya Allah 
Pada-Mu kuserah segala 


Dalam tak sedar, sikap begini mengundang rasa pelik dan kagum pada mereka yang lain. Mereka menyangka bahawa diri ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Tiada masalah yang mengganggu fikiran. Sedangkan mereka setiap hari dibebani masalah yang pelbagai. Cukuplah! Jangan terlalu memandang tinggi pada insan yang kalian tidak pernah kenal. Luaranku mungkin kelihatan tenang, tapi batinku menderita dengan penjara dunia ini. Aku ini hanyalah pendosa yang setiap hari mengulangi dosa-dosa lalu. Setiap waktuku adalah pengkhianatan yang tidak berkesudahan kepada Tuhan. Jangan menyanjungi aku dengan kata-kata kalian yang berbunga dan indah. Semua itu hanya membuat jiwaku terhiris dan terluka. Semua itu hanya mengkhayalkan aku di alam ilusi. Cacilah aku kerana aku layak dicaci dan dihina. Aku ini munafik yang memungkiri janji. Sedangkan pujian hanya layak untuk Tuhan dan buat mereka yang mulia di sisi Tuhan. 

Jika kalian mengakui hakikat ukhuwah, nasihatilah aku atas nama sahabat dan teman. Hidupku sudah cukup lama dibuai kesenangan yang melekakan. Pujian hanya mematikan hati. Tatkala kalian meminta nasihat dariku, ketahuilah bahawa akulah yang lebih layak dinasihati. Tatkala aku menukilkan kata-kata para kekasih Allah, ketahulilah bahawa aku hanya ingin memujuk diri. Itulah hiburanku. Aku berhibur dengan kalam mereka. Mudah-mudahan dengan keberkatan kalam mereka bisa menguatkan ruh kembali. Dan ketahuilah, semua itu kulakukan kerana aku adalah hamba-Nya yang hina dan lemah. Aku tidak pernah jujur terhadap Tuhan. Hatiku memberontak tatkala Tuhan berkehendak. Maka selayaknyalah aku dipandang keji pula oleh penduduk dunia. 


Ya Ilahi, walau diriku sering berlaku khianat kepada-Mu, jangan Kau kenalkan aku erti jemu dalam memburu keampunan dan rahmat-Mu. Kerana hanya dengan rahmat-Mu hamba bisa memiliki cinta-Mu. Ya Razzaq, rezekikanlah kepadaku perasaan cinta kepada-Mu dan juga kepada Rasul-Mu yang tidak berbelah bahagi untuk selama-lamanya. Allahumma Amin


------- April 2012---

No comments:

Post a Comment