Soal Hati Atau Nafsu?

Bismillahirrahmanirrahim

Puji dan syukur pada Tuhan Yang Maha memberi keamanan. Kegundahan dan keresahan yang melanda jiwa hamba, diatasi-Nya dengan mengirimkan ketenangan. Subhanallah, tidak mampu menghuraikan maksud disebalik ketenangan itu. Kerana ia hanya bisa dinikmati dan dirasai sendiri oleh hamba yang melalui. Tetapi percayalah, sekali seorang hamba itu menikmati lazatnya ketenangan, pasti kemewahan dan kelazatan dunia yang menipu ini tidak lagi dipedulikan. Indahnya hidup bersama Tuhan. Allah… 

Selawat dan salam buat junjungan mulia dan tercinta, Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam. Mempamer rasa cinta tidak perlu segan dalam mempamerkan hidup bersunnah. Apabila sunnah mula ditolak ke tepi, bid‘ah pula yang akan mengganti. Wal‘iyazubillah. Amalkanlah walau hanya satu sunnah sahaja yang termampu, sebagai permulaan pembuktian cinta kepada baginda yang mulia. Moga tergolong dalam kalangan pencinta Rasulullah Sallallah ‘Alayh Wasallam dan Ahl al-Bayt yang melayakkan kita memperoleh syafaat baginda kelak. Allahumma Amin.


Hidup mesti diteruskan walau apapun halangan yang mendatang. Untuk sampai kepada Tuhan perlu tabah mengharungi pelbagai ujian. Bukan kerana Dia terlalu jauh dan sukar untuk ditemui bahkan terlalu dekat. Semua itu kerana mahalnya nilai sebuah pengorbanan. Pengorbanan itu mematangkan fikiran. Fikiran yang matang akan mampu melihat hikmah yang tersurat dan tersirat. Apabila hikmah diperoleh, akan tercapailah ‘hakikat’. Lalu dengan kefahaman ‘hakikat’ yang jelas itulah yang akan menyampaikan kepada ‘makrifat’. Maka, apakah seseorang yang tidak sanggup mengharungi ujian-Nya bisa terasa lebih dekat dengan-Nya? Umpama hanya sekadar doa tanpa pengahayatan, mampukah merasai khusyuk dan tawaduk? Atau barangkali membaca ayat-ayat-Nya tanpa memahami maksudnya, apakah terasa indahnya syurga bila disebut nikmat-nikmatnya? Atau apakah terasa gerunnya neraka bila disebut azab dan siksaannya? Ambillah sedikit waktu untuk merenung kembali perjalanan hidup ini. Itu jauh lebih bererti daripada sibuk dengan ucapan kosong untuk berseronok semata-mata. 

Kita sering berbicara soal hati. Tetapi ‘soal hati’ itu lebih tertumpu pada hidup berpasangan dan kehendak diri. Kadangkala sampai menyalahkan pihak yang lain tanpa alasan yang pasti. Itu bukan ‘soal hati’, tapi ‘soal nafsu’. Perlu bijak membezakan antara keduanya. Jangan terlalu mengikut kata hati dalam meluahkan rasa tidak puas hati. Pujuklah hati untuk berbaik sangka dan mencari jalan penyelesaian. Jadilah orang yang berhikmah (bijaksana) dalam menghadapi apa-apa situasi. Orang berhikmah meletakkan nafsunya di tepi dalam membuat sebarang pertimbangan. Wahyu yang utama, ilmu yang memandu. Kebenaran itu tidak semestinya tepat dengan kehendak kita tetapi yang pasti ia tepat dengan kehendak Allah Jalla Wa ‘Ala


Tidak adakah yang ingin berbicara ‘soal hati’ yang tertumpu pada hidup bertuhan? Ataukah mereka sudah berasa selesa sehingga yakin akan mencapai hakikat mukmin? Jika ‘soal hati’ hanya tertumpu kepada makhluk, mampukah makhluk itu menjamin kebahagiaan dan ketenangan. Ingin hidup bersyariat, perlu kembali kepada hukum Tuhan. Ingin hidup mengikut sunnah lebih lagi perlu memperbaiki hubungan dengan Tuhan. Ingin bahagia bersama pasangan hidup dan keluarga, perlu lebih dekat dengan Tuhan. Semuanya kembali kepada Allah. Tidak ada yang terlepas dari pengetahuan dan pandangan-Nya. Lalu mengapa manusia membeza-bezakan antara keduanya? 

Mereka lantang berbicara soal pasangan hidup, tanggungjawab dan amanah mereka sebagai ketua keluarga dan sebagainya. Seolah-olah mereka-lah yang lebih pakar dan paling mengerti tentang hal ini. Tetapi mengapa tidak lantang dan serius tatkala berbicara soal hubungan dengan al-Khaliq? Bukankah Dia juga yang mengurniakan perasaan kepada makhluk? Ketahuilah, kerana mengabaikan hak hati-lah manusia hari ini bertindak mengikut nafsu dan emosi. Jangan hanya pandai berbicara tetapi tidak berminat untuk beramal. Kerana ia bisa mengundang murka Allah. Fahamilah hakikat ‘soal hati’. Dihujung pencarian hakikat itu, diri akan tunduk dan mengakui bahawa ‘soal hati’ itu adalah hidup bersama Tuhan dan tenang bersama-Nya. Tidakkah kita impikan sebuah kehidupan yang jauh lebih menenangkan? Berfikirlah agar terbit zikir di lisan dan hatimu. Moga tergolong dalam kalangan mereka yang diberikan al-hikmah agar terungkap segala resah dan keliru. Allahumma Amin


Hati insan sering berbicara 
Menghurai bisikan antara akal dan nafsu 
Manakah yang bisa dituruti? 
Kehendak akal atau kehendak nafsu? 

Tanyalah akal yang mencadangkan… 
Apakah ia dipimpin oleh wahyu…? 
Tanyakan juga pada nafsu… 
Apakah redha Allah bisa diburu…? 

Usah mempersulit soal hatimu… 
Jangan menyalah tafsir soal nafsumu… 
Keduanya itu tidak akan menyatu… 
Dalam menuju Allah Yang Satu. 

Katamu, soal hati itulah soal perasaan 
Perasaan bersama pasangan hidup 
Barangkali jodoh yang dimaksudkan. 
Semudah itukah tafsiranmu tentang bisiknya hati? 

Kataku, mungkin benar ia soal perasaan 
Namun tidak hanya pada pasangan 
Bahkan lebih dari itu. 
Ia soal tenang atau gelisahnya perasaan 
Tenang itu apabila hatimu bisa merasa dekat dengan Tuhan 
Lalu apakah yang dibicarakan hati? 
Itulah soal dekat atau jauhnya hati insan dengan Tuhan 
Maka persoalkanlah, di mana Allah dihatimu?

No comments:

Post a Comment