Berteman Cahaya Yang Indah

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Allah Jalla Wa ‘Ala atas kesempatan waktu yang masih berbaki untuk terus memburu cinta-Nya. Selagi kaki masih berpijak di bumi, bawalah ruh dan jasadmu mencari kebenaran. Hanya dengan kebenaran manusia bisa mengenal Tuhan. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Nya. Yang berkuasa menghidupkan dan mematikan segala makhluk. Teruslah mencari-Nya dalam setiap helaaan nafasmu. Ketahuilah, Dia tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh-sungguh mencari kebenaran kerana itu janji-Nya. Hidayah-Nya hadir pada sesiapa yang dikehendaki-Nya, apatah pula buat mereka yang bersungguh-sungguh mencarinya. Sedarlah, Tuhan tidak pernah berdusta tetapi kita-lah yang sering berdalih. Astaghfirullah al-‘Azhim…. 

Selawat dan salam buat Habibullah Wa Habibuna Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam dan seluruh Ahl al-Bayt. Memburu cinta Ilahi perlu dahulu membina cinta Rasul-Nya. Subhanallah, mulia dan indah pekertinya meruntun jiwa umat. Nilai qudwahnya terlalu mahal dan bernilai namun sedikitpun tidak memerlukan wang ringgit untuk membelinya. Kenali dirinya, pelajari sunnahnya dan amalkan dalam kehidupan, itulah bayaran untuk mendapat kasih dari-Nya. Tiada cinta makhluk yang kuburu selain cinta Rasul-Nya yang mulia. Mungkin cintaku tidak setulus insan lain. Namun besar harapanku, mudah-mudahan benih cinta ini akan mekar juga sehingga tercuit pandangan peribadi itu ke arahku, walau hanya sedetik, itu sudah mampu membuat senyumku ceria. Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Aalihi Muhammad

Berjalan dan terus berjalan, itulah kehidupan. Dalam setiap langkah perlu waspada. Jalan di bumi banyak yang lurus dan banyak pula yang bersimpang siur. Tanpa pedoman pasti tersesat tanpa haluan. Manakah jalan yang harus dilalui? Mampukah jalan-jalan di dunia ini membawa hamba kepada Tuhan? Bukan itu jalan yang dimaksudkan. Dan bukan itu jalan yang harus dilalui. Lurus atau tidak jalan di bumi, itu tidak akan menyampaikan hamba kepada Tuhan Yang Satu. 

Jalan yang diburu itu terlalu halus. Sangat sukar dilihat dengan mata kasar. Kerana hakikatnya bukan jasad yang berjalan tetapi ruh yang sedang mengembara. Ruh yang suci akan memimpin jasad ke tempat-tempat yang suci dan diredhai. Sebaliknya ruh yang dikotori akan memandu jasad ke tempat-tempat keji dan dimurkai. Moga Allah mengurniakan taufiq dan mengekalkan hidayah-Nya untuk tetap di atas jalan kebenaran. Allahumma Amin

Bagaimana ruh itu bisa melalui jalan yang lurus? Di situlah pentingnya ilmu. Untuk tetap atas jalan yang benar perlu kenal jalan-jalan yang bersimpang siur. Jalan yang bersimpang siur itulah laluan syaitan dan Iblis untuk menyesatkan anak adam. Di situlah tipu dayanya bermain. Tanpa ilmu pasti nafsu dan hasutan jahat menguasai. Tanpa iman yang kukuh pasti terjeratlah ke dalam perangkap durjana itu. Wal‘iyazubillah. Sementara jalan yang lurus itu adalah jalan yang membawa kepada keredhaan Allah. Jalan ini terlihat seperti penuh onak dan duri. Selangkah berpijak cukup terasa peritnya. Hakikatnya bukan kerana benar ia berduri. Tetapi kerana tarikan dan keindahan yang terdapat pada jalan yang bersimpang siur tadi cukup memukau. Sehingga mendorong keinginan hamba untuk menikmatinya. 

Meninggalkan nikmat sementara untuk nikmat yang kekal abadi, itulah ujian dunia yang harus dilalui dan dilepasi. Ilmu itu syarat utama. Mujahadah menyusul saat beramal dengan ilmu. Sangat sedikit orang yang ingin melalui jalan menuju Tuhan. Laluannya terlihat sunyi namun ketahuilah bahawa dalam sunyi itu berteman cahaya yang indah. Indahnya hanya mampu dinikmati sendiri, tidak mampu digambarkan kepada yang lain. Carilah jalan yang bercahaya itu dalam setiap helaan nafasmu. Dengan untaian zikir dan selawat mampu menghidupkan hati yang mati. Moga hatimu terus bercahaya selama engkau terus mengingat Allah dan Rasul-Nya dengan sebenar-benar ingat. Ya Razzaq, kurniakanlah kami lisan, hati dan ruh yang sentiasa mengingati-Mu dan Rasul-Mu dalam setiap waktu dan ketika. Allahumma Amin.

No comments:

Post a Comment