Kiriman Tahniah

Bismillahirrahmanirrahim

Segala pujian bagi Allah Jalla Wa ‘Ala yang mengurniakan pelbagai nikmat buat para hamba-Nya. Bersyukurlah atas segala nikmat yang dimiliki. Jangan mengungkit dan mencaci yang terlihat keji atau tidak mengikut kehendak hati. Siapa yang lebih mengetahui keperluan makhluk selain Allah? Siapa yang lebih menyayangi makhluk selain al-Rahman? Maka perhitungkanlah setiap pemberian-Nya sehingga terasa diri kerdil dan tidak punya apa-apa. Moga menjadi hamba-Nya yang syakur. 

Selawat dan salam tertuju buat kekasih Allah yang juga kekasih kami Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam serta seluruh Ahl al-Bayt. Pelajari dan teladanilah bagaimana baginda bersyukur. Meneladani baginda bererti menghidupkan sunnah. Moga hari-hari kita dipenuhi dengan menghidupkan sunnah yang indah. Sollu ‘Ala al-Nabiy! Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammadin ‘Abadi-Ka Wa Rasuli-Ka al-Nabiyyi al-Ummiy Wa ‘Ala Aalihi Wasahbihi Wasallim

Tempoh praktikal hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Selepas ini akan sambung semula pengajian di UKM. Setahun setengah lagi untuk menamatkan pengajian di peringkat pengajian tinggi, insyaallah. Moga Allah Jalla Wa ‘Ala mempermudahkan segala urusan dalam menuntut ilmu. Allahumma Amin

Gembira mendengar berita kejayaan orang lain. Tapi kali ini tidak mampu untuk mengucapkan ‘tahniah’ buat yang sedang bergembira dengan kejayaan itu. Ada halangan yang dicipta sendiri. Bagaimanapun, moga kejayaan itu tidak hanya di sijil tetapi dipraktikkan dan dimanfaatkan ilmu yang dimiliki dengan selayaknya. Besar amanahmu terhadap agama. Perjuangkanlah dengan cara yang benar pula. Mabruk ‘Alayh


Mungkin selepas ini ada lagi sahabat-sahabat yang akan berangkat ke Mesir untuk menyambung pengajian. Tahniah diucapkan. Memang cemburu melihat mereka yang berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Anbiya’ itu. Tetapi tidaklah membenci atau dengki. Bahkan gembira dengan nikmat yang Allah berikan kepada mereka. Mereka itu insan pilihan Tuhan. Maka layakkah untuk diri membenci mereka yang dimuliakan Tuhan? Bersyukur dengan apa yang dimiliki. Kerana apa yang dikurniakan Tuhan buat diri pastinya itu yang lebih baik. Ya, yakin tentang itu. 

Cerita tentang Mesir, mengingatkan kepada inti kuliah di UKM semester lepas. Untuk subjek jabatan, di bidang Tamadun Islam, kami didedahkan dengan sejarah yang berkaitan Mesir. Entah kenapa, semester lepas banyak mendekatkan saya dengan sejarah Mesir. Pernah suatu waktu, berhajat untuk sambung pengajian di sana. Tetapi rencana Allah tempat terbaik ketika ini adalah di sini. Maka keinginan tersebut dilupakan sahaja. Bila disebut-sebut kisah berhubung Mesir, saya ambil sebagai pengetahuan sejarah. Secara takdirnya, tugasan assignment pun diberi tajuk yang ada hubungannya dengan Mesir secara khusus. Meneliti sejarah-sejarah tersebut membuatkan keinginan lalu hadir kembali. Terbit rasa kagum pada tamadun Islam Mesir yang gilang-gemilang. Hanya mampu belayar ke sana di alam imaginasi. Beruntungnya mereka yang berpeluang menuntut ilmu di sana. Pasti dapat melihat kesan-kesan perjuangan Islam dahulu. Bumi para Anbiya’, juga digelar sebagai Bumi pembalasan, sesiapapun pasti teringin untuk menyaksikan. Moga sahabat-sahabat yang berada di sana tidak jemu-jemu mengutip mutiara berharga yang terdapat di sana. 

Buat sahabat-sahabat di Mesir dan yang akan ke sana juga tahun ini, selamat berjuang di medan ilmu yang lebih mencabar dan menguji. Perbaiki niat agar menuntut ilmu semata-mata kerana Allah Jalla Wa ‘Ala. Sungguh, setiap niat yang terlintas di hati akan diuji. Jangan melalaikan kewajipan utama kalian di sana kerana tergiur dengan tawaran-tawaran hebat dunia hatta atas nama ‘perjuangan Islam’ sekalipun. Jangan menyalah tafsirkan makna perjuangan Islam. Perjuangan Islam kalian di sana adalah perjuangan menuntut ilmu agar ia menjadi thaqafah pada diri bukan terlibat dalam berpolitik dan sebagainya. Dakwah kalian adalah dengan menghadiri setiap majlis-majlis ilmu sama ada yang wajib atau sunat. Supaya apabila kalian memperjuangkan agama Islam nanti, kalian berjuang dengan kebenaran dan kefahaman. Moga Allah merahmati kalian dan mempermdahkan urusan kalian dalam menuntut ilmu Allah Jalla Wa ‘Ala. Allahumma Amin. 

Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment