Citra Dunia

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, segala pujian kepada Allah Jalla Wa ‘Ala yang menggerakkan hati untuk terus tetap berada di atas jalan-Nya. Nikmat dan rahmat-Nya tidak putus-putus kepada sekelian makhluknya, baik yang taat mahupun yang menderhaka. Pemurahnya al-Rahman terhadap hamba-Nya. Sedang diri ini kerap kali berlaku zalim terhadap kurniaan-Nya. Astaghfirullah al-‘Azhim. Muhasabah dan tafakur ini membuat diri tertunduk malu di hadapan-Nya. Kerap kali kemurahan-Nya dibalas dengan penderhakaan dan maksiat. Ya Ilahi, ampunilah hamba-Mu yang sering mengulangi dosa ini. Allahumma Amin

Selawat dan salam buat junjungan mulia Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam, seluruh Ahl al-Bayt dan para sahabat Radiyallah ‘Anhum. Basahi lidah dengan zikrullah dan selawat sebanyak-banyaknya. Moga keberkatan mengalir dalam diri dan syafaat baginda diperoleh di akhirat kelak. Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Aalihi Sayyidina Muhammad


Menyentuh kisah masyarakat untuk dikaji dan diteliti. Tidak lain hanyalah untuk mengungkapkan hikmah-hikmah yang tersembunyi dibalik peristiwa orang lain. Semua itu ada ‘ibrah untuk dipelajari dan difahami. Pernah terbaca kisah seorang wanita yang ditinggalkan oleh kekasihnya atau orang yang dikasihinya kerana kekasihnya itu sudah bertunang atau menikahi wanita lain. Sukar untuk dia menerima pada awalnya tetapi akhirnya dia redha melepaskan. Namun, yang menjadikan hati wanita itu terus-terusan dalam keadaan sedih dan terluka adalah pada saat dia ingin membina hari-hari hidupnya yang baru dan penuh semangat, dia terus diburu oleh insan yang sudah berstatus tunang orang atau suami orang tadi. Kalaulah orang ramai mengetahui apa yang disembunyikan di dalam hati wanita itu, pasti tidak menyangka bahawa kegembiraan dan keceriaan yang tampak pada wajahnya hanyalah delusi dan lakonan semata. Barangkali manusia mampu untuk melakonkan pelbagai watak, tetapi ketahuilah bahawa anak mata itu takkan mampu menyembunyikan setiap duka atau gembira yang ditanggung. 
“Mengapa terus memburu sedangkan dirimu sudah memiliki kehidupan yang baru?” 
Itu cuma sebuah sketsa kehidupan yang direka atau diolah dalam cerpen dan novel-novel. Namun kali ini realiti kisah ini dihadapkan di hadapan mata sendiri. Apabila orang yang hampir dengan diri melalui kisah ini, membuat diri teringat kembali kisah tersebut. Bukan seorang, tapi tiga orang sudah menghadapi kisah yang sama. Suatu ketika aku bertanya kepada seorang kakak yang pernah melalui peristiwa ini. Hubungan yang agak rapat dengannya membuat diri agak berani untuk bertanya. Tambahan, dia yang aku kenali, tidak bercakap dengan emosi semata tetapi berbicara dengan kebenaran yang nyata. 


“Akak, sebenarnya kenapa lelaki bersikap macam tu sedangkan apa yang mereka buat tu hanya bagi harapan palsu je pada orang perempuan? Kalau berlaku pada seorang je mungkin tak persoalkan sangat. Tapi beberapa orang yang saya kenal pernah lalui cerita yang sama. Kenapa ye? Adakah itu memang sikap mereka atau ada mesej lain disebalik semua tu?” 


“Entahlah. Tak pernah pula terfikir tentang ni. Bila awak tanya baru akak mula nak fikir. Mungkin sebab mereka tak sanggup nak lepaskan tapi tak mampu juga nak dapatkan. Ibarat gantung tak bertali. Macamana rasanya? Tapi itulah, akak ambil pengajaran dari kisah Qays dan Laila (Laila Majnun) yang awak pernah cerita dulu. Yang walaupun Laila dah berkahwin dengan lelaki lain tapi hati dia yang kalau Allah dah tetapkan hanya untuk Qays, dia tetap akan ada untuk Qays. Dan semua tu hanya disembunyikan dalam hati. Dunia bukan tempat untuk mereka tapi tempat mereka adalah di akhirat yang akan menyatukan mereka. Kadang-kadang kalau teringat tu, kena tengoklah. Kalau ingat tu boleh buat kita lemah, ingatan tu datang dari bisikan syaitan. Tapi kalau ingat tu bagi kekuatan dan semakin dekat dengan Allah, Allah-lah yang datangkan perasaan tu. Mohonlah kebaikan daripada Allah. Allah nak kita ingat pada Dia” 

“Habis tu, kalau lelaki tu terus cari dan contact. Macamana? Mesti pedihkan kalau nak teruskan hubungan lagipun tak eloklah kalau ganggu hak orang lain. Boleh tak kalau buat tak tau dan tak payah layan langsung?” 

“Tak payah layan. Biar je dia dengan hidup dia. Kita teruskan je hidup kita. Mungkin dia pun tak perasan tentang tindakan dia tu. Tapi kita yang sedar, kita lah yang perlu bertindak. Memang apa-apapun, perempuan yang kena jaga dan kawal diri dari berlaku fitnah” 


Mengangguk-angguk mengiyakan kata-katanya. Ya, kisah Qays dan Layla bukanlah kisah cinta biasa seperti pasangan galak bercinta hari ini. Kisah mereka takkan mampu difahami oleh sesiapapun kecuali bagi yang ingin mencari kebenaran dan hikmah dari kisah mereka. Ia hanya mampu difahami dengan pandangan mata hati yang inginkan kebenaran. Ia takkan difahami oleh mereka yang menurutkan emosi dan nafsu. Begitu juga ia tidak dapat difahami oleh mereka yang hanya menggunakan akal semata. Kisah cinta mereka adalah kisah cinta sufi yang terpelihara dari dosa dan maksiat. 

Hakikat cinta mereka bukanlah pada diri insan yang dicintai tetapi kepada Allah Jalla Wa ‘Ala yang layak dicintai. Cuma ia diterjemahkan dalam gambaran cinta antara pasangan kekasih. Itulah yang mengelirukan. Dan itulah yang membuatkan manusia menganggap mereka ini taksub dengan cinta duniawi. Hakikatnya, tidak sedemikian. Itu menurut pandanganku setelah meneliti perjalanan hidup mereka dari awal hingga akhirnya. Penelitianku bukan pada kisah cinta mereka sahaja tetapi dari pelbagai aspek. Barangkali Qays digelar Majnun (orang gila) oleh masyarakatnya hingga hari ini, tapi siapa tahu di sisi Tuhan, dia adalah antara hamba yang paling dicintai-Nya? Aku tidak ingin menghukumnya sepertimana masyarakat menghukumnya. Tapi aku ingin mengambil ‘ibrah dari kisahnya. Itulah kisah cinta mengenal Tuhan. Andai dengan pendirian ini masyarakat menghukum aku pula yang gila, ketahuilah aku tidak pernah peduli semua itu. 


Ya Tuhan, 
Berbual dengan-Mu di segenap ruang dan ketika 
Menutur madah rindu dan cinta 
Kadangkala terlihat diri tersenyum ceria 
Kadangkala terpandang diri berbicara sendirian 
Mereka mengatakan aku gila kerana berkelakuan seperti itu 

Apakah mereka tidak pernah merasakan kehadiran-Mu?
Sehingga mereka menuduh aku sedemikian rupa? 
Tidakkah mereka pernah larut dalam munajat kepada-Mu? 
Sehingga mereka dengan mudah menilaiku seperti itu? 

Ataukah dunia memang begitu sifatnya?
Menuduh sesiapa tanpa usul periksa? 
Sungguh aku tak mengerti citra duniawi

Lalu aku biarkan mereka dengan dunianya
Kerana aku mengerti dan meyakini 
Bahawa ada-Mu sempurnalah segalanya 
Sedangkan tanpa-Mu punahlah semuanya 

Ya Shahid, 
Kepada-Mu aku berserah diri sepenuhnya dan selamanya 
Terimalah diriku Ya Rahim

No comments:

Post a Comment