Merenung Dosa

Bismillahirrahmanirrahim

Segala pujian bagi Allah Jalla Wa ‘Ala atas segala nikmat dan kurniaan-Nya yang tidak terhingga. Seketika menyaksikan keindahan alam ciptaan-Nya, bertafakurlah. Moga dengan tafakur itu menerbitkan zikir yang tidak putus-putus. Tatkala waktu terluang, bermuhasabahlah. Agar dengan muhasabah itu meningkatkan lagi ‘ubudiyah kepada Allah Jalla Wa ‘Ala

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam. Insan mulia yang suci nuraninya. Menjadi qudwah pada seluruh makhluk di dunia. Menyebut tentangnya menghadirkan rindu yang direstu. Teruskan mengungkapkan mahabbah kepada kekasih agung-Nya itu. Mudah-mudahan kita dihimpunkan bersama baginda di akhirat kelak. Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Alihi Sayyidina Muhammad

Menyingkap tabir yang menutupi pandangan di luar sana. Subhanallah, segar dan damai suasana di waktu subuh. Betapa alam masih tidak jemu menghiaskan pandangan mata ini dengan kecantikan dan keindahannya. Subhanallah, Indahnya Pencipta yang menciptakannya. Mudah-mudahan hati tidak dibutakan dari mengakui kebesaran-Nya. 



Mukmin Sejati – Hasnul Jamal 

Orang mukmin yang sejati 
Jika terbuat dosa 
Hatinya luka punah, sedih dan derita 
Jiwanya parah tak boleh melupakannya sepanjang masa 
Kalau ia anggota lahir tentu nampak berdarah 
Kalaupun sembuh dari lukanya 
Namun parutnya masih ada 

Begitulah halus perasaan seorang hamba yang berdosa 
Ia tak boleh melupakannya sepanjang masa 
Bagaimana dia boleh melupakannya 
Kerana parutnya masih ada 
Ertinya, ingatannya pada dosa tak boleh dilupakannya 
Teringat sahaja jiwanya tersiksa 
Teringat sahaja hatinya derita 
Payah sekali dia mahu melupakannya 

Perasaan ini anugerah dan nikmat dari Tuhannya 
Takut dengan dosanya itu 
Jadi syafaat padanya 
Tersiksa dengan dosa 
Derita dengan kesalahan 
Dianggap oleh Allah, itulah hukuman pada hamba-Nya 
Moga di akhirat kelak terselamat 
Daripada siksa neraka 

Begitulah hati seorang mukmin 
Sentiasa sahaja ia bergelora 
Kerana takut dengan Tuhannya 
Lebih lagi setelah terbuat dosa 

Syahdunya alunan nasyid dendangan Hasnul Jamal, vokalist kumpulan Diwani satu ketika dahulu. Menjentik hati yang buas agar kembali jinak dengan rasa kehambaan. Liriknya biasa tetapi mampu menusuk ke dalam jiwa. Allah Akbar! Moga perkongsian ini ada manfaatnya buat kita.

No comments:

Post a Comment